Selesai berpakaian dengan sempurna menutup auratnya, Yuhanis mengambil beg sandangnya dari dalam almari. Sneakers yang diletak di bawah katil dijinjit keluar. Di hadapan pintu utama yang sudah dibuka luas, Yuhanis menggaru dahinya. Pintu jeriji besi berkunci! Ada orang terkunci isteri di dalam rumahlah.

"Eee! Macam mana ni?" rungut Yuhanis sambil menggaru-garu dahinya lagi. Yuhanis melihat sekitar ruang tamu. Matanya tertancap ke arah sebuah kabinet berhampiran pintu utama. Yuhanis terus memulakan operasi mencari.

Beberapa minit terbuang kerana Yuhanis terpaksa mencuba beberapa gugusan kunci yang dijumpainya tergantung di dalam kabinet itu. Berjaya juga ikhtiar Yuhanis. Satu anak kunci untuk pintu kayu utama dan satu lagi untuk pintu jeriji besi. Uhhh, satu lagi belum jumpa.

"Aiseyman, mana kunci pintu pagar ni? Macam mana ni?"

Terpaksalah Yuhanis membawa beberapa gugusan kunci untuk dicuba pada mangga di pintu pagar pula. Sempat mata Yuhanis melilau sekeliling. Tidak nampak sesiapa. Beginilah lumrah kehidupan di kota. Namun jika ada sesiapa pun, nak buat apa? Minta didukung keluar pagar? Atau pun... Errr... Minta tolong dipecahkan mangga pintu pagar ke? Berani ke nak pecahkan barang orang, sedangkan dia baru saja sampai. Tak sampai sehari pun.

"Eee, melambatkan orang ajelah. Dahlah lapar," keluh Yuhanis. Argh, kenapalah Mr. rock ni tak macam lelaki lain? Lupa tutup sana, lupa tutup sini. Lupa kunci sana, lupa kunci sini. Kan senang.

Ah, agaknya dia ni spesies Mr. Perfect kut, bisik hati Yuhanis tanpa rasa teruja walaupun sekelumit.

Anak kunci pertama, kedua, ketiga... Anak kunci kelapan, kesembilan. Argh, dah jenuh Yuhanis keluar masukkan anak-anak kunci. Lepas satu, satu anak kunci dicuba, namun Yuhanis tak jumpa anak kunci yang dicari. Macam orang tak ada kerja pula.

Kalau panjat aje pintu pagar ni, okey tak? Yuhanis berbicara sendirian sambil bercekak pinggang. Matanya merenung dan mengukur ketinggian pintu pagar. Atas bawah, atas bawah. Ah, tingginya. Lepas ke tak ni?

Oh! No and no. Dibuatnya tertangkap sedang memanjat pagar? Mana nak sorok muka?! Yuhanis berkira-kira seketika di bawah rembang sang matahari. Kemudian Yuhanis mencuba kunci sekali lagi. Manalah tahu dia telah terlepas pandang. Padahal semua kunci sudah dicubanya sebentar tadi.

Akhirnya, setelah habis semua anak kunci dicuba sekali lagi. Setelah jenuh berpeluh dibawah terik sang matahari, dari berdiri, menunduk, menonggeng dan meninggung, Yuhanis bertemu istilah give up. Kunci untuk mangga pintu pagar memang tak ada!

Alamak, nak kena panjat juga. Keputusaan muktamad dari Yuhanis.

Yuhanis berlari semula masuk ke dalam rumah untuk menyimpan semula semua kunci. Tak ada kerja pula dia hendak membawa semua kunci itu. Pintu utama dan pintu jeriji segera dikunci kembali. Dua anak kunci itu diasingkan dan disimpan di dalam beg sandangnya.

Yuhanis berdiri seketika merenung pintu pagar sambil bercekak pinggang lagi. Dia mula berkira-kira.

Hesy, macam mana nak buat ni? Nak buat lompat kijang dia memang tak reti. Kalau lompat berpagar... Hui, pintu pagar lebih tinggi dari kepalanya. Malah lebih tinggi dari itu. Kalau nak cuba panjat, boleh juga. Tak cuba mana nak tahu. Jika percubaan pertama tak berjaya , boleh aje cuba kali kedua dan ketiga dan seterusnya. Huhuhu. Tinggi bebenor tapi... Lapar!

Sudahnya, Yuhanis terpaksa buat jugalah acara panjat pagar. Langkah pertama, beg sandang disangkut pada pintu pagar. Langkah kedua, kasutnya terpaksa dibuka dan dilempor keluar pagar. Dan langkah terakhir....

Ring... Ring... Ring!

"Isy, siapa pulalah yang mengganggu saat-saat kritikal ni?" rungut Yuhanis lalu menurunkan tangan dan kakinya yang baru diletakkan di jerjak besi pagar. Yuhanis segera menggagau mencari telefon bimbitnya dalam beg sandang.

Pinggan Tak Retak, Nasi Tak DinginRead this story for FREE!