BAB 15

299 4 0
                                    

Deruman enjin motor Tuk Khalid yang ditunggang Isabelle memecah keheningan jalan kecil kampung itu. Hari ini, Isabelle perlu ke kebun kerana Said, orang kampung yang lazimnya diupah Nek Zizah tidak dapat ke kebun hari ini kerana urusan keluarga. Pisang-pisang yang ditanam sudah masak. Jika tidak diambil cepat, takut rosak pula.

"Tak payahlah, esok Said boleh datang. Lewat sehari bukan tak boleh..." tegah Nek Zizah apabila Isabelle menyuarakan hasratnya untuk ke kebun menggantikan Said.

Isabelle senyum nipis. Dia sudah siap berpakaian.

"Tak apalah nenek. Takut rosak pulak pisang tu nanti. Sayanglah..." tukas Isabelle.

Nek Zizah cuma mampu menggeleng. Sedikit sebanyak, dia dapat melihat kedegilan Tuk Khalid sudah berjangkit pada Isabelle. Dia mengeluh perlahan apabila mengenangkan sikap Isabelle yang mirip dengan suaminya.

Sampai di pinggir kebun, Isabelle menarik nafas dalam seraya mematikan enjin motornya. Peralatan yang dibawanya bersama yang diikat di belakang motor diambil dan dipegangnya dengan kedua-dua belah tangan. Kebun itu tidak banyak berubah.

Hakikatnya, Isabelle masih belum dapat melupakan kejadian yang menimpa Tuk Khalid. Isabelle memejamkan matanya rapat-rapat dan digeleng-gelengkan kepalanya. Sukar untuk dia melupakan peristiwa itu. Tak mungkin dia mampu lupakan.

Isabelle memulakan kerjanya pantas, tidak mahu dihantui masa lalu. Semoga Tuk Khalid tenang di sana.

Prak!

Gerakan tangan Isabelle terhenti saat dia terdengar bunyi ranting patah dipijak. Matanya melingas ke kiri kanan, depan belakang dan ke semua arah mencari punca bunyi itu. Janganlah...

Ya Allah, peliharalah aku...

Parang di tangan digenggam kuat. Dia sudah bersedia membuka langkah. Datanglah manusia atau haiwan, dia tak kan teragak-agak.

"Siapa?" jeritnya.

"Awak siapa?"

Satu suara menegur dari belakang membuatkan Isabelle hampir melompat. Serta merta parangnya dilibaskan semberono saja membuatkan orang yang menegur memandangnya tidak berkelip dan tidak bergerak. Risau melihat mata parang yang dilibaskan di depan matanya secara menggila.

Melihat empunya suara, Isabelle melepaskan nafas lega.

"Kau, Chan? Aku ingat babi hutan tadi..." marah Isabelle namun dia lega kerana bukan bahaya yang datang seperti sangkaannya.

Chan turut terkejut namun sedaya upaya dia mengawal reaksinya.

"Apa kau buat kat sini?" soal Chan. Dia menghampiri Isabelle seraya menjeling tandan-tandan pisang yang sudah dicantas bersusun di atas tanah.

Isabelle mengerutkan dahinya,

"Aku yang patut tanya kau, apa kau buat kat sini? Ini kan kebun Tuk Khalid, memang patutlah aku dekat sini..." balas Isabelle.

"Aku... saja lalu kat sini. Tiba-tiba teringin nak jenguk kebun ni," jawab Chan. Matanya ralit memerhatikan Isabelle yang menyambung kerja-kerjanya.

Isabelle senyum lagi.

"Nak aku tolong?" soal Chan membuatkan Isabelle berpaling melihatnya.

"Boleh ke? Kau kan dah lama jadi orang bandar..."

Chan tersengih mendengar usikan itu.

"Aku tetap orang kampung walau lama mana pun aku kat bandar. Bagi aku parang tu. Biar aku tunjuk cara orang bandar cantas tandan pisang." Chan menghulurkan tangan.

Istilah Cinta Untuk DiaWhere stories live. Discover now