BAB 14

276 4 0
                                    

Isabelle mengemaskan simpulan hujung tudungnya yang terjurai ke depan, tidak bersilang ke bahu, tidak juga diikat ke belakang. Nenek tak benarkan. Kata nenek, kalau pakai tudung tunjuk dada juga, baik tak payah pakai tudung. Itu ajaran agama. Isabelle mengerti dan dia bertudung bukan kerana nenek atau sesiapa tetapi kerana dia memahami tuntutan itu.

Dia menyorong motor tua milik arwah Tuk Khalid yang masih tersimpan elok di bawah rumah. Dia mahu ke kedai untuk membeli sedikit barang dapur.

Kedai Ah Tong, bapa Chan. Kedai itu memang pilihan utama mereka di kampung kerana Ah Tong baik hati dan tidak cekik darah walaupun dia bukan orang Islam. Ada sebuah kedai lain milik Mamak Kareem tapi dia kedekut. Barangannya begitu mahal. Tak ramai yang sanggup ke kedainya. Jika boleh berjimat, mengapa perlu membazir?

Begitu aneh dunia ini. Yang sepatutnya membantu sesama sendiri tidak mahu membantu dan yang tidak akan mendapat apa-apa atas kebaikannya di akhirat kelak pula yang kerap membuat kebaikan tanpa meminta balasan.

Enjin motor dihidupkan. Nek Zizah menjenguk ke luar sebaik saja motor tua itu pergi meninggalkan pekarangan rumah. Nek Zizah mengatur langkah ke arah telefon di atas meja kecil. Dia mula mendail.

"Helo, assalamualaikum Rashid. Ya, saya bercakap. Rashid ada dapat apa-apa berita ke fasal anak saya? Belum lagi?" keluhan berat dilepaskan.

"Tak apa, saya cuma nak tahu perkembangannya saja. Maaflah kalau saya mengganggu Rashid. Baiklah, terima kasih banyak-banyak. Assalamualaikum..."

Gagang diletakkan semula. Nek Zizah menghela nafas dalam. Baru semalam Rashid diminta mencari Haliza, mustahil boleh bertemu sekejap itu.

Nek Zizah semakin tidak keruan. Haliza perlu ditemui secepat mungkin kerana nasib Isabelle perlu dibela jika dia tiada kelak. Masalahnya, tak siapa tahu bilakah masanya akan tiba. Kerana itu dia bimbang, bimbang untuk berlengah lagi. Isabelle perlukan sebuah keluarga. Dia yakin Haliza boleh membantu, walaupun tidak sebanyak mana.

Selama ini Isabelle terperuk di situ tidak ke mana-mana. Bukan Nek Zizah tak pernah meminta Isabelle mengaktifkan diri dengan persatuan, puas dipujuk. Isabelle enggan kerana bimbang dia tiada masa kelak untuk sentiasa di rumah.

Mungkin hanya bila dia tiada Isabelle akan berpeluang melihat dunia. Nek Zizah masuk ke biliknya dan dikuak pintu almari kayu. Berkeriut bunyinya apabila engsel lama itu berlaga.

Dikeluarkan sebuah peti besi bersaiz sederhana dan dia duduk di hujung katil. Peti itu dibuka. Di dalamnya terdapat beberapa helai kertas lusuh. Surat-surat Dato' Dini sebelum pemergiannya dan beberapa keping gambar. Dia merenung gambar-gambar itu satu persatu. Mereka bukanlah orang yang suka bergambar kerana itu beberapa keping gambar yang ada pada mereka itu begitu berharga.

Tahun ini, Isabelle akan berumur 18 tahun. Hari lahirnya cuma beberapa bulan saja lagi. Bulan Oktober. Harta Dato' Dini yang ditinggalkannya akan sah menjadi milik Isabelle dan Isabelle akan menjadi jutawan. Itu yang Isabelle tidak tahu. Sangka Isabelle, dia tidak punya apa-apa.

Itu juga satu perkara yang merunsingkan fikirannya. Apa akan jadi kelak apabila Isabelle menjadi pewaris sah harta Dato' Dini? Pasti dia menjadi sasaran orang lelaki mata duitan. Memang duit membuatkan kita hidup senang tapi kerana duit jugalah manusia kehilangan kasih sayang. Nek Zizah mengeluh lagi.

"UNCLE, selamat petang..." tegur Isabelle ramah sebaik dia memarkirkan motornya di depan kedai runcit itu.

"Haiya, Isabelle, lama talak datang?"

Isabelle sengih.

"Barang banyak lagilah uncle. Uncle dan aunty sihat?"

Ah Tong angguk. Dia yang sedang menyusun roti di raknya kembali menumpukan perhatian pada kerjanya.

Istilah Cinta Untuk DiaWhere stories live. Discover now