Bab 13

10.4K 95 0

"Sekejap... Sekejap!" pinta Nadia cuba menghentikan langkah Ain. Nafas ditarik sedalam-dalamnya.

Dia masih terkejut tau!

Walaupun tadi dia memang mengharapkan Aidan memperkenalkan dia kepada orang tua lelaki itu. Tetapi waktu ini, dia seperti tak cukup nafas nak berdepan dengan mak dan ayah Aidan. Macam nak berjumpa dengan mentua pula lagaknya. Gementar tak sudah!

"Akak kenapa?" Hairan Ain memandang Nadia. Peluh di dahi wanita itu mula merenik.

"Bagi akak masa sikit."

"Akak sakit ke?" Suara Ain sudah mula bertukar risau. Dia tahu kisah silam Nadia walaupun tak semua diceritakan oleh Diana. Pemindahan jantung yang berlangsung dulu itu tak menjamin untuk Nadia sihat 100 peratus atau bebas daripada penyakit lama. Jika Nadia tidak menjaga kesihatan dengan baik, tak mustahil sakit itu akan datang kembali.

"Awak sakit?" soal Aidan seraya mencari wajah Nadia agar wanita itu memandangnya.

"Tak! Mana ada sakit." Cepat Nadia menafikan. Dia sihat lagi la. Jangan minta-minta dia sakit.

"Yang dahi akak berpeluh ni, kenapa?"

Berubah sedikit riak wajah Nadia. Apa dia nak jawab, ya? Takkan nak jawab dia takut nak berdepan dengan orang tua Aidan?

"Errr... Panas. Tak sangka hari ni panas."

"Kalau macam tu, awak rehat kat dalam kereta saya."

Gelengan diberikan segera. Nampaknya Aidan betul-betul fikir yang dia tengah sakit sekarang ni.

"Tak apa. Saya okey la. Cuma nervous sikit nak jumpa parents awak." Akhirnya Nadia memberitahu dengan jujur.

Meletus tawa di bibir Ain bila Nadia berkata begitu.

"Akak dengan Abang Aidan ni ada apa-apa ke? Cepatnyaaa..." Meleret gadis itu berkata.

"Eh, tak la. Kita kawan, kan?" Nadia pandang Aidan.

Aidan hanya diam. Senyuman di bibir juga disembunyikan.

"Nanti kalau jumpa mak dan ayah, nak Ain kenalkan sebagai apa? Bakal kakak ipar?" usik si gadis itu pula yang membuatkan kedua-dua belah pipi Nadia membahang panas.

"Ain, enough..." ucap Aidan lembut. Dia tidak mahu Ain terus-terusan menyakat Nadia. Nanti semakin gelabah wanita itu.

"Okey. Now, saya dah okey. Jom jumpa mak dan ayah kau orang." Kali ini, lengan Ain pula yang dirangkul untuk mengajak gadis itu membawanya berjumpa dengan orang tua Aidan.

Aidan dan Ain ingat dia takut agaknya. Dia bukan takut cuma gementar saja. Keinginan untuk menjadi menantu Encik Ahmad Abhar itu ada. Sebab itu la dia gementar.

"Mak!" panggil Ain dengan teruja.

Wanita yang bertudung biru tadi menoleh. Begitu juga dengan lelaki yang seusia ayahnya.

"Ain nak kenalkan seseorang kat mak dan ayah. Yang ni, Kak Nadia. Kakak Diana. Dan yang penting, Kak Nad ni kawan Abang Aidan."

Kedua-dua orang tua itu memandang dia dan Aidan silih berganti. Reaksi yang diberikan seolah-olah tidak percaya.

"Kawan Dan?" tanya Hajah Samsiah pada Aidan.

Aidan hanya menganggukkan kepala. Tersentuh hatinya melihat wajah Hajah Samsiah yang jelas seperti tidak percaya itu. Masakan tidak, selama 10 tahun ini, dia tidak pernah sekalipun memperkenalkan kawan wanita kepada keluarganya. Walau dipinta berkali-kali oleh Hajah Samsiah untuk melupakan Sumayyah, namun permintaan emaknya itu tidak diendahkan. Cintanya hanya untuk Sumayyah. Dulu, kini dan selamanya.

Shhh... I Love YouRead this story for FREE!