Bab 15

45.1K 216 61

Minggu yang sibuk bagi Tiara sudah berlalu. Dia labuhkan duduk dan memerhatikan raut wajah Rara yang sedang pulas tidur. Comel dan nampak polos. Rasa kasihannya tumpah lagi. Anak sekecil ini dibesarkan oleh tangan lain selain tangan kedua-dua ibu bapanya.

Allahuakbar, beratnya ujian si kecil ini. Mujur Allah utuskan insan semulia Danny lalu mempertemukan dirinya kepada Rara yang kehausan kasih ibu dan ayah.

"Kau pandang apa?" tanya Reena sewaktu melihat Tiara leka memerhati. Dari berdiri di sisi tingkap yang terbuka, Reena berpaling lalu mengatur langkah menuju ke kerusi kayu bertentangan dengan kedudukan televisyen.

Dengan teguran ringkas sahabatnya itu, Tiara menguntum senyum. Lambat-lambat bibirnya menyusun kata.

"Tengok Rara puas-puas. Lepas ni, entah bila lagi aku dapat jumpa dengan si kecil ni." Suaranya jauh ke dalam. Sedikit sebak bercampur pilu.

"Kalau kau rindukan Rara... Kau datanglah ke sini. Mesti abang kesayangan kau tu akan tunaikan permintaan adik kesayangan dia, kan?" sakat Reena buat Tiara tersenyum nipis. Suka benar Reena mengusik dan mengenen dirinya dengan Danny.

"Bila tugas kita sebagai pengasuh Rara berakhir, bermakna kerja kita juga dah selesai, Reena. Abang Danny pun mesti sibuk dan tak ada masa nak layan kehendak aku." Kendur nada suara Tiara buat Reena berpaling memandang wajah itu.

"Aku tak rasa abang kau tu akan sibuk dua puluh empat jam. Yalah, kau pun tahu macam mana perangai dia tu, kan?! Walaupun kau tak izinkan dia datang ke sini, tahu-tahu aje dia dah tercongok di depan pintu rumah kita. Hendak atau tidak, kau terpaksa juga keluar berjumpa dengan dia. Tapi aku berani cakap, bila berjauhan nanti... Kau rindukan Rara dan Rara juga rindukan kau. Aku yakin dia akan bawa kau jumpa dengan budak kecik ni," tutur Reena, yakin!

"Betul ke ni, Reena?" Dahi Tiara sudah berkerut. Sukar untuk mempercayainya seratus peratus. Yalah, tak mungkin Danny yang menceburi bidang perniagaan itu punya masa untuk melayan kerenah dan kehendaknya yang tidak berapa penting.

"Betul! Aku yakin. Kadang-kadang hati kita ni suka menipu." Suaranya perlahan.

"Maksud kau?"

"Mulut kata rindu pada Rara... Tapi hati pula lebih rindukan si papa Rara. Ya tak?" Kening kanan Reena terjongket bersama senyuman yang lebar.

"Ceh... Ada aje idea kau nak kenakan aku, kan!" Bantal peluk Rara digapai lalu dilemparkan ke arah Reena yang sudah tergelak-gelak. Asyik menyuai padan dirinya dengan Danny, entah apa faedah yang Reena dapat. Dia sendiri tak pasti.

"Sekali-sekala nak kenakan kau, apa salahnya?! Lusa kita akan kosongkan rumah ni! Sedih rasanya nak tinggalkan rumah yang kita huni sejak dua tahun lepas." Kali ini suara Reena pula kedengaran sedikit lirih.

Tiara panggung wajah dari menancap Rara yang masih lena. Mendengar kata-kata yang lahir dari ulas bibir Reena. Hatinya juga tersentuh pilu. Rakan baiknya sejak mereka sama-sama masuk ke dalam rumah sewa ini direnung sejenak.

"Masa terlalu cepat berlalu. Macam-macam perkara kita dah lalui di rumah ni. Kena tipu dengan housemate sendiri, kena sabotaj dengan member-member, kena buang kerja hinggalah jadi pengasuh bidan terjun untuk Rara. Semuanya kita hadap sama-sama. Dua tahun yang cukup memenatkan, namun aku tak sangka kita boleh lalui semua dugaan ni dengan hati yang tabah. Memang tak sangka," ucap Reena bersama kepala yang digeleng perlahan.

"Betul tu, Reena. Kalau aku fikirkan semula... Aku pasti aku tak kuat nak hadap semua ni. Namun, berkat kesabaran dan kata-kata semangat kau, akhirnya kita berjaya juga lalui ujian ni dengan sabar. Esok, tuan rumah akan datang untuk serahkan duit deposit. Lusa, kita akan tinggalkan rumah ni. Sedih rasanya!" ujar Tiara, panjang lebar.

Pujaan Hati KandaRead this story for FREE!