Bab 11

21.4K 91 3

Usai menikmati makan malam mereka, Danny dan Tiara beriringan menuju ke parkir kereta. Sepanjang berada di dalam restoran makanan barat itu, anak mata pengunjung yang keluar masuk pasti akan melirik ke arah si kecil bernama Rara. Siapa yang tidak tertarik dengan kehadiran si kecil itu, bijak mencuri tumpuan dan ramah menyapa dengan senyuman yang secomel itu.

"Kenyang?"

"Alhamdulillah... Terima kasih, abang," gumam Tiara, pendek.

"Ni, Tiara nak balik atau nak singgah ke mana-mana?"

"Tiara rasa nak balik, dah lewat ni."

"Okey, jomlah! Oh, ya... Sebelum abang terlupa... Susu dengan lampin Rara ada lagi?"

"Ada, tapi dah tinggal sikit!"

"Okey, kalau macam tu, esok abang hantar stok kat Tiara. Boleh?"

"Boleh... Tapi sebelum abang nak datang, telefon Tiara dulu tau. Tiara takut last minutes, lecturer buat kuliah! Buat penat abang datang aje nanti."

"Alright! Nanti sebelum abang datang, abang inform Tiara, okey? So, jom balik..." Dengan segera Danny membuka pintu kereta untuk Tiara. Belum pun sempat Tiara memboloskan diri ke dalam perut kereta, bunyi tayar kenderaan bergesel dengan jalan raya menujah pendengaran. Sebuah Proton Satria Neo berhenti betul-betul di kotak parkir bersebelahan.

Danny dan Tiara menoleh dan melihat pintu kereta itu ditolak dari dalam. Beberapa saat kemudian, pemandu Proton Satria Neo menunjukkan diri.

"Pali?" Suara Tiara bagaikan orang tercekik. Tidak menyangka hingga ke sini lelaki itu menjejak dirinya.

"Kenapa? Terkejut?!" Senyuman senget sudah terpeta di pinggir bibir.

Untuk seketika, Tiara terkedu, namun cepat-cepat dia tersedar lalu mengaju soalan berikutnya.

"Errr... Awak buat apa dekat sini?"

"Saja!" Lelaki disapa Pali itu tergelak kecil.

"Saja ronda-ronda tengok keindahan malam," ujarnya sinis bersama kening yang sengaja dijongket tinggi.

"Oh..." Tiada apa yang mampu Tiara katakan saat ini. Hanya ayat itu sahaja yang mampu dilafazkan.

"Siapa dia ni? Tak nak perkenalkan ke?" Pali bertanyakan perihal Danny. Lelaki berjaket kelabu bersama kenderaan mewah itu dijeling sekilas. Pasti anak orang kaya!

"Errr... Abang saya," jawab Tiara, gugup.

"Well... Berapa banyak abang yang awak ada ni, Tiara?" tanya Pali yang sudah mengenali abang sulung Tiara sewaktu hari pertama pendaftaran lagi. Gadis yang menjadi pujaan hatinya ini terdiri daripada tiga orang adik-beradik. Seorang abang dan seorang lagi kakak.

"Abang saudara!" sahut Danny menjawab pertanyaan Pali yang mahukan jawapan. Tambah-tambah Tiara seakan-akan kelu untuk berbicara.

"Abang saudara? Jangan nak auta sangatlah, bro! Tiara ni tak ada saudara-mara! Aku tahulah pasal keluarga dia, kami ni sekampung!" balas Pali seraya mengerling tajam wajah Danny. Nyata, Tiara dan lelaki ini sepakat untuk membohongi dirinya. Tak guna!

"Tiara, siapa dia ni?" tanya Danny, perlahan.

"Dialah orang yang Tiara cakap tadi."

"Oh..." Danny mengangguk perlahan. Rupa-rupanya, inilah lelaki yang sering kali mengganggu Tiara. Tak padan dengan rupa! Ada hati nak kontrol hidup orang lain!

"Kenapa awak keluar melepak malam-malam ni, Tiara?"

"Saya keluar makan, bukan keluar melepak!"

Pujaan Hati KandaRead this story for FREE!