Bab 5

7.1K 92 2

Arissa risau dengan bayi yang berada di bonet belakang kereta, takut kesejukan. Tapi Arissa sudah menyelimutkan bayi itu elok-elok dengan kain tualanya. Itu saja yang sempat dicapai di rumah lamanya sebelum Pak Cik Karim menahan dan menghalaunya keluar. Sempat juga dia mencapai kain batik arwah ibunya, yang kebetulan dekat dengan kain tualanya itu.

"Lama lagi ke nak sampai rumah encik ni?"

"Taklah. Itu. Depan tu saja."

"Cepat sikit, boleh?"

"Awak nak ke mana cepat-cepat?"

"Bilik air." Arissa cari alasan. Sebenarnya, bukan sebab itu.

"Ohhh... Sabar sekejap, ya? Sebabnya, kereta ni abang saya punya. Saya tak berapa nak pandai sangat bawa kereta ni. Kereta dia menghalang kereta saya sewaktu nak ke masjid tadi, itu sebab saya terpaksa bawa kereta dia."

Arissa memandang Rafa. Tadi kata lain!

"Tadi encik kata, ini kereta encik."

"Kalau saya kata kereta orang tadi, awak nak ke naik dengan saya? Nanti awak ingat saya penculik pula..."

"Tak adalah macam tu, encik ni. Encik pernah tolong saya, takkan saya nak anggap encik macam tu pula? Tak adalah."

Itu sebab Arissa pelik. Takkanlah lelaki yang pernah menolongnya semalam membuat perkara seperti membuang bayi pula, kan? Rafa tak nampak seperti lelaki macam tu. Arissa sedikit lega. Walaupun tak tahu apa nasib bayi itu, tetapi kalau ada lelaki sebaik ini, mungkin nasib bayi itu akan terbela. Arissa berharap. Kalau harapan hanya tinggal harapan... acik jaga kaulah, sayang. Nak buat macam mana, kan? bisik Arissa dalam hati.

"Okey, dah sampai."

Arissa menelan air liur. Terkejut apabila melihat rumah agam di depannya sekarang.

"Besarnyaaa rumah encik."

"Ini rumah mummy, bukan rumah saya dan dah berapa kali saya cakap, jangan panggil saya encik. Saya rasa macam dah tua sangat, tau?"

Rafa menarik brek tangan dan dahinya tiba-tiba berkerut.

"Tapi saya tak biasalah, Encik Rafa. Saya panggil encik sebab saya hormat. Bukan sebab encik tu dah tua."

"Shhh..."

"Kalau saya diterima kerja, saya tetap akan panggil encik, enciklah. Kalau encik tu bukan majikan saya, saya mungkin akan panggil abanglah. Macam Abang Dollah. Abang Dollah tu orang kampung macam saya juga, tapi dia lebih tua. Jadi, saya panggillah dia abang."

"Shhh..."

"Encik..."

"Arissa... Awak diam sekejap. Saya ada dengar bunyi bayi menangislah."

Arissa terdiam. Alamak. Hampir terlupa. Arissa cuba pura-pura meneliti suara bayi.

"Yalah. Entah-entah dekat belakang kereta encik, kut?"

Cepat-cepat Rafa dan Arissa keluar dari kereta dan...

"Ya Allahhh... Ada bayi! Memang betul ada bayi!"

Arissa menekup mulutnya. Pura-pura seperti terkejut. Rafa menarik bakul itu dan Arissa cepat-cepat mendakap bayi yang sedikit kesejukan. Nasib baik ada tuala itu. Kalau tidak, boleh mati kejung bayi tu.

Kasihan kamu, sayang... Tak apa... Bertahan, ya? bisik Arissa dalam hati.

"Tengok ni encik, ada nota."

Arissa menyerahkan nota yang terselit di dalam kain tuala itu kepada Rafa. Dia yang selitkan di situ, takut-takut bila kereta berjalan, ditiup angin. Rafa mengambil nota itu dan membacanya perlahan. Arissa hanya memandang. Dia tahu apa ayat di dalam nota itu, dia yang tulis nota itu tadi.

Saya tahu awak yang meninggalkan bayi yang baru lahir ini di tangga masjid. Saya nampak! Kalau awak tak jaga bayi ini, saya akan buat report polis. Segala perbuatan awak telah pun saya rakam berserta nombor plat kereta awak. Saya tahu di mana awak tinggal dan siapa awak sebenarnya.

Tapi... Arissa tak rakam pun. Manalah dia ada alat rakaman!

Arissa memandang Rafa. Dahi Rafa berkerut.

Rafa menelan air liur sebaik saja membacanya. Siapalah punya kerja ni? Rafi!

"Rafiii!!!"

Rafa meluru masuk ke dalam rumah, mencari Rafi. Arissa di belakang sambil memeluk bayi itu turut mengekori Rafa. Tak tahu apa yang telah berlaku, Arissa cuma ikut. Mungkin Rafilah penyebabnya. Kerana Rafa memanggil nama itu. Manalah tahu.

Tapi, siapa Rafi? Oh, abangnya kut! Arissa hanya mengagak saja sebab kereta itukan katanya milik abangnya tadi.

Rafa menolak pintu bilik Rafi. Rafi yang sedang lena tidur terus dikejutkan. Rafi sedikit berang dan menjerit kuat sehingga menyebabkan bayi yang tadi sudah tenang, mula menangis terkejut.

"Diamlahhh!!!"

"Apa yang kau dah buat, bang?"

Datin Zarina yang berada di bilik sebelah dengan bertelekung, masuk ke dalam bilik Rafi, terkejut mendengar suara anak-anaknya bertekak. Datin Zarina cuba meleraikan pergaduhan itu... tetapi... Rafa semakin menjadi-jadi marahnya. Tak pernah Datin Zarina melihat Rafa semarah itu.

"Aku tanya kau, apa yang kau dah buat?!" Rafa sudah hilang sabar. Sekarang puzzle yang ada dalam kepalanya tentang Rafi, sudah bersambung. Patutlah, berdarah-darah tangga itu. Rupa-rupanya...

"Apa ni bising-bising? Mummy tak fahamlah. Cuba bawa bertenang, Rafa. Siapa perempuan ni? Siapa bayi ni?"

"Mummy tengok apa yang Rafa dah jumpa."

Rafa menunjukkan surat dan bayi di dalam dakapan Arissa yang sedang menangis. Arissa cuba menenangkan bayi itu. Tetapi, semakin kuat pula tangisannya. Ini mesti sudah lapar, dah tiba masa dia nak menyusulah ni, bisik hati Arissa.

"Perempuan ini... Yang..." Datin Zarina memandang Arissa.

"Tidak. Nama dia Arissa. Kami sama-sama jumpa bayi ini belakang bonet kereta Rafi. Tok imam cadangkan Arissa untuk kerja dekat rumah kita. Tok imam kata, mummy cari pembantu."

"Betul-betul, Datin. Saya bukan ibu bayi ni." Cepat-cepat Arissa menggelengkan kepala. Tak mahu salah faham.

"Kenapaaa kau bawa budak ni balik? Bawa dia pergi... Bingitlahhh!!!" jerit Rafi.

"Ini anak siapa, Rafi?! Cakap dengan mummy!" Datin Zarina pula yang naik angin. Tak sangka pula Rafi membuang bayi.

"Diamlahhh!!!"

Rafa menampar pipi Rafi. Rafi tergamam. Tak pernah dia melihat adiknya jadi baran. Tetapi...

"Apa hak kau tampar aku?"

"Supaya kau sedar dengan tanggungjawab kau, bang. Kau sedar tak, kau tinggalkan bayi atas tangga masjid, berdarah-darah. Kau gila ke, bang? Kau tak ada otak ke? Siapa mak bayi ni? Apa yang kau dah buat? Kau beritahu sekarang... Kalau tidak..."

"Kalau tidak... Apa?!"

"Kalau tidak, mummy panggil polis."

Rafa dan Rafi... memandang Datin Zarina. Arissa turut terdiam.

Kasihannya kau, sayang. Ayah kau sendiri tak nak mengaku kau siapa. Tak apalahhh... acik janji, acik jaga kau, bisik hati Arissa sambil cuba mendodoikan bayi itu. Tahu bayi itu kelaparan tetapi... mana nak cari susu sekarang? Tak sempat Arissa nak buatkan. Barang semua dalam kereta.

"Ini anak siapaaa?! Kalau Rafi tak nak cakap ini anak siapa, mummy akan report polis dan biarkan Rafi masuk dalam lokap. Mummy tak kesahlah. Ada anak... anak tak guna buat apa nak dibela?!" Datin Zarina hilang sabar.

"Anak Rafi."

"What?!!!"

"Dia anak Rafi dan mak dia dah mati. Dengar tak mummy?!"

Datin Zarina terduduk. Begitu juga Rafa. Hanya Arissa yang tersenyum di dalam hati.

Yes!!! Acik dah jumpa keluarga kamu, sayang... Alhamdulillah. Tapi, nak ke mereka terima kamu ni? Arissa tertanya dalam hati.

Terima atau tidak, itu Arissa tak tahu!

Perempuan Paling BahagiaWhere stories live. Discover now