Bab 3

7.4K 86 1

Rafa masih belum mengantuk. Cuba untuk lelap, tapi tak boleh nak lelapkan matanya. Tak tahu kenapa, Rafa rasa tak sedap hati. Entahlah, seperti ada sesuatu yang tak kena. Rafa mengerling ke arah jam di dinding. Sudah mahu pagi, Rafi tak balik-balik lagi.

Manalah Abang Rafi ni pergi, ya? Rafa tertanya-tanya dalam hati. Memanglah selalu Rafi balik lewat, tetapi tak adalah selewat ini. Apa agaknya yang terjadi dekat Rafi? Mabuk? Accident? Mulalah Rafa berfikir yang bukan-bukan. Tak pernah pun dia nak menunggu Rafi balik, tetapi malam itu, rasa lain sikit.

Tiba-tiba, sinaran lampu kereta masuk ke ruang tamu yang agak gelap itu. Sedikit sebanyak melegakan hati Rafa. Balik juga Rafi. Ingat tak tahu jalan balik ke rumah.

Sebaik saja Rafi masuk ke dalam rumah, Rafa bingkas bangun dan menegurnya.

"Mana abang pergi?"

Langkah Rafi terhenti dan menoleh ke arah Rafa.

"Apa hal kau tak tidur lagi? Jadi pak guard pula? Kenapa? Rumah kita nak kena masuk pencuri ke yang kau sibuk nak lantik diri kau jadi pak guard ni?"

"Rafa tanya simple saja bang, mana kau pergi? Dah pagi ni."

"Tak payah nak sibuk hal abang."

"Bukan Rafa nak sibuk, bang. Rafa tanya saja. Nak jawab ke tidak, suka hati kaulah, bang. Kau pun dah besar. Tapi, satu saja Rafa minta kat kau bang, jangan buat rumah ni macam hotel. Kejap nak balik, kejap tak nak balik. Bertanggungjawab sikitlah, bang. Bukan banyak pun Rafa minta kau buat, at least, jagalah hati mummy sikit."

"Sekarang kau rasa kau dah besar, kau boleh nasihatkan abang ke?"

"Suka hati abanglah."

Rafa malas nak layan Rafi. Lagi layan, lagi bergaduh. Pelik juga dia dengan Rafi. Tak boleh nak berubah. Tak boleh langsung kalau tak buat perangai. Tapi, selalunya kalau Rafi berperangai baik tu, adalah maknanya tu. Tak faham betul Rafa. Kalau nak kata ada beza kasih sayang, sama saja Rafa tengok. Kalau kena tegur atau kena marah, masih sama-sama juga kena. Tapi, Rafi... tetap tak berubah. Nak sangat ikut perangai papa yang tak betul tu. Geram Rafa!

"Kau diamlah, Rafa. Abang letih, abang penat. I need to rest. Abang tak nak dengar kau membebel-bebel macam mummy. Tak letih ke, ada mulut macam tu... Bingit!"

Rafi naik ke biliknya. Rafa hanya memandang langkah Rafi... seakan-akan tak betul. Rafa mula menggelengkan kepalanya. Dah agak, mesti minumlah tu. Balik, kalau tak mabuk... tak sah. Balik, kalau tak menyusahkan... tak sah.

Rafa pun turut naik ke biliknya. Dia memaut kepada pemegang itu... Tiba-tiba rasa tangannya melekit. Dia pelik. Apa yang melekit? Sedangkan dia tidak memegang apa-apa pun. Aduhhh... ini mesti bekas tangan Rafi! Entah apa pula yang Rafi pegang agaknya? Arak? Huh! Rafa membebel sambil masuk ke dapur.

Terkejut Rafa apabila bukan air yang disangkakan... Tapi darah di tangannya. Cepat-cepat Rafa melihat ke pemegang tangga tadi. Hanya di situ saja yang berdarah. Tiada titisan di tempat lain. Cepat-cepat Rafa mengambil kain dan bersihkan pemegang tangga itu.

Dalam hati...

Rafa tertanya-tanya...

Apa sebenarnya yang sudah Rafi lakukan?

Kalau ditanya, mesti jadi lagi gaduh. Baiklah Rafa tak mahu ambil tahu. Harap Rafa, Rafi tidaklah terlibat dengan perkara yang bukan-bukan. Kalau Rafi cedera, takkanlah hanya di situ saja darahnya. Habis tu, siapa pula yang cedera? Siapa pula yang Rafi sakitkan? Atau... Rafi hanya terjatuh?

Atau...

Mungkin bukan darah?

Tapi...

Tadi bau hanyir macam darah!

Arissa memandang bayi itu. Tak tahulah apa yang dia rasa sekarang ini. Perasaan itu bercampur baur. Takut pun ada, kasihan pun ada. Takut kalau-kalau ada yang nampak dan sangkanya yang bukan-bukan. Tok Imam Muntaha kan dah pesan tadi, jangan keluar. Tapi, kalau ditinggalkan, takut dimakan anjing yang berkeliaran pula. Sudahlah masih berdarah-darah. Tergamaknyalah orang yang meninggalkan bayi ini. Bersihkanlah dulu sebelum menyerahkan kepada masjid kalau tak mampu nak menjaganya pun. Berani pula mengandung sampai sembilan bulan, berani pula melahirkan... tapi tak berani nak tanggung risiko. Geram betul Arissa.

Terpaksalah Arissa mengambil bayi itu dan membawa masuk ke dalam bilik Tok Imam Muntaha. Mujurlah di dalam bilik itu semua lengkap. Arissa terus membersihkan bayi itu dan turut menghilangkan kesan di dalam bilik air. Takutlah Tok Imam Muntaha syak yang bukan-bukan. Nasib baiklah ada satu beg barang turut ditinggalkan untuk keperluan bayi itu. Kalau tidak... matilah Arissa. Masalahnya sekarang, berapa lamalah keperluan ini boleh bertahan?

"Apalah malang nasib kamu? Kena tinggal macam tu saja. Acik ingat, acik dah malang. Rupa-rupanya, kamu lagi malang. Macam mana acik nak jaga kamu? Acik nak beli makan untuk acik pun, tak cukup. Macam mana nak beli susu untuk kamu pula? Tengoklah badan kamu ni, budak baru lahir sebesar ini? Mesti empat kilogram ni. Mesti kuat minum susu." Arissa bercakap sendirian.

Seperti bayi itu faham yang Arissa itu susah, bayi itu hanya diam dan tak banyak bunyi. Arissa memberikan susu kepada bayi itu dan lama-lama dia mula tidur. Sikit-sikit dia merengek. Masih kecil sangat. Entah apalah yang dia tahu selain mahu makan dan mahu tidur.

Sebelum tidur, Arissa sempat berdoa supaya bayi itu jangan terkena apa-apa penyakit dan mula buat hal. Sempat Arissa berpesan kepada bayi itu yang mereka berdua sedang menumpang dan jangan bagi Tok Imam Muntaha susah.

"Tidurlah, sayang. Esoklah baru acik fikirkan nasib kita."

Tak tahulah apa yang bakal terjadi nanti, Arissa tak mahu berfikir sekarang. Hari pun sudah pagi, sekejap saja lagi akan masuk waktu subuh. Dia sangat letih dan sangat penat. Dia mahukan tidur yang secukupnya kerana tak tahu... esok lusa, bolehkah dia dapatkan tidur selama ini di tempat sebaik ini.

Kalau Arissa terpaksa bersama bayi itu, nak buat macam mana? Mana tahu mungkin bahagia bersama bayi itu nanti. Apalah yang Arissa tahu tentang masa depan. Yang tahu cuma Tuhan. Dia hanya mampu berserah.

Anak siapalah ini agaknya, ya? detik hati Arissa sambil memandang bayi yang sedang tidur itu. Yang pastinya, ini anak pemilik plat nombor kereta itu.

Mesti!

Pasti!

Arissa menyimpan kertas yang bernombor plat kereta tadi baik-baik.

Jangan risau... Nanti acik carikan keluarga kamu, ya sayang?!

Perempuan Paling BahagiaWhere stories live. Discover now