Bab 05

1.5K 62 1

SUDAH lebih sepuluh kali Margina menjeling jam ditangan. Margina juga telah menghantar pesanan whatsapp lebih dari lima kali pada Fattah. Jawapan Fattah pula sejak tadi sama. Kata Fattah, lagi sepuluh minit dia sampai. Sepuluh minit Fattah telah menjangkau satu jam.

"Fattah ni mana?" gerutu Margina lantas sekali lagi menghantar satu pesanan whatsapp untuk Fattah.Jangan tak tahu, Margina sudah memesan dua gelas fresh orange sepanjang menunggu ketibaan Fattah. Lama-lama perut Margina boleh kembung kalau begini.

"Lia, dekat sini."

Suara di sebelah meja berjaya mencuri perhatian Margina. Margina ikut berpaling, mencari pemilik nama Lia yang sedang dipanggil. Bukan apa, Margina alergik sedikit dengan nama Lia. Nama Lia banyak mengundang memori hitam.

"Lia." Kali ini pemilik suara di sebelah meja Margina melambaikan tangan.

Nun di pintu masuk cafe ini, berdiri satu susuk tinggi lampai. Lebih tinggi daripada Margina pastinya. Kulitnya putih kemerahan, warna kulit anak kacukan . Hidungnya kecil dan elok bentuknya. Sepasang matanya yang paling cantik. Tidak cukup dengan itu, busana yang tersarung pada tubuh indahnya sangat moden kontemporari.

Sayang, wajah manis itu terpalit duka. Semakin Lia menghampiri meja di sebelah Margina, semakin jelas kelihatan bekas air mata pada wajah Lia. Belum sempat Lia duduk, air matanya telah berhamburan keluar. Lia menangis tanpa silu. Bercupak mata yang memandang tidak dihiraukan.

"Kau okey tak ni?"

Lia tidak menjawab, tangisannya saja yang semakin panjang.

"Apa dah jadi ni Lia? Ada apa sebenarnya? Kenapa kau menangis ni?"

Bukan Margina sengaja hendak curi dengar perbualan Lia dengan temannya, tapi suara mereka berdua memang jelas masuk ke dalam telinga Margina.

"Lia, cuba tarik nafas. Kalau kau menangis macam ni, aku tak dapat tolong. Tengok, semua orang pandang kita berdua."

Iya, semua mata sedang memandang, termasuklah Margina. Mata bundar Margina hanya melekat pada seraut wajah manis Lia. Meski telah bertahun-tahun berlalu, Margina belum lupa dengan seraut wajah budak comel tetapi berlagak yang dipanggil Lia.

"Aku sedih sangat, Qas. Aku macam dah tak ada guna dalam dunia." Lia mengesat-ngesat hujung matanya. Semua ayat Mak Cik Huda dengan Har anak Pak Ngah jelas terngiang dalam telinga.

"Tak elok cakap macam tu, Lia. Ingat Allah."

Betul. Margina setuju dengan nasihat teman Lia. Lia sepatutnya banyakkan bersabar dan positif.

"Aku sayang dia dari kecil, tapi dia tak sayang aku."

Lia sedang dilanda masalah hati rupanya. Mesti Lia baru putus cinta.

"Siapa yang tak sayang kau."

"Har."

Lenyap semua kesimpulan dalam kepala Margina Cermin mata hitamnya yang sejak tadi tersarung ditanggalkan. Kali ini dia menilik paras milik Lia tanpa penghalang lagi.

"Har nak kahwin tak lama lagi. Dia pilih Margina."

Jatuh cermin mata yang Margina sedang pegang. Bunyi cermin matanya yang jatuh menyembah lantai menarik perhatian Lia dan temannya.

"You pandang apa? You curi dengar?"

Margina menelan liur. Suara Lia yang tadi sendu sudah bertukar garang. Sama seperti ketika Lia marah dan menolak Margina sampai jatuh.

"Maaf," sepatah ayat Margina.

"Suara you berdua kuat. I tak sengaja pandang dan dengar apa you berdua bualkan."

Cik Mar.Gi.NaRead this story for FREE!