BAB 1

74 3 0
                                              


"Kalau tak de duit, tak payahlah makan di sini!" bentak pemilik gerai makan dengan wajah yang bengis. Mukanya berkerut-kerut menahan marah. Ditenungnya lelaki yang sedang berdiri di hadapannya, seolah-olah mahu ditelan lelaki itu hidup-hidup.

Lelaki yang ditengking itu kelihatan bingung dan tidak dapat menyembunyikan perasaan malu kerana ditengking di depan orang ramai. Tangannya terus ligat menyeluk poket seluar, sekejap poket kiri dan sekejap poket kanan. Sumpah, dia tidak akan makan di gerai itu lagi kalau beginilah sikap pemilik gerai.

"Dompet saya hilang!" dia membela diri, sambil kedua-dua tangan masih menyeluk saku seluar, mencari-cari sesuatu. Dia mengharapkan agar terselit duit lain yang tersimpan di dalam kocek, tetapi hampa. Ah, ke mana hilang dompet aku ni? Takkanlah aku boleh terlupa bawa pulak! Habis! Mahu sahaja dia terbang ke rumah dan mengambil dompet yang mungkin tertinggal di atas meja.

"Tak payahlah nak berlakon! Banyak lelaki macam awak ni, pandai makan tapi tak reti nak bayar!" Pemilik gerai yang usianya dalam lingkungan lewat 40-an terus menengking. Marah betul dia dengan karenah pelanggannya itu. Alasan yang diberikan oleh lelaki berbaju merah itu langsung tidak diambil peduli. Dia yakin dia berada di pihak yang benar. Lelaki itu hanya mahu makan secara percuma. Melihat rupa keadaannya, dia sudah tahu lelaki itu sedang berbohong.

Izhanie, gadis yang bertocang satu masih beratur di belakang lelaki berbaju merah untuk membayar harga nasi bungkus yang baru dibeli. Sekali lagi dia melihat jam di tangan. Dia mengharapkan agar pak cik pemilik gerai melihat gelagatnya itu. Biar pak cik yang sedang menyinga itu sedar dia sudah menunggu berkurun di situ. Tanduk pun hampir tumbuh! Pak cik tuan punya gerai oi, tak nak duit aku ke? Aku nak cepat ni! Dia mengomel dalam hati. Sesekali dia mencuri pandang wajah lelaki malang itu, namun gagal. Lelaki itu membelakanginya dan seolah-olah tahu yang dia cuba mencuri pandang. Dia mahu tahu siapakah lelaki itu. Jika lelaki itu teman sekuliahnya, tentu dia akan segera menghulurkan bantuan.

Sesekali terlintas perasaan simpati di hati Izhanie dengan nasib lelaki yang mengaku kehilangan dompet itu. Dia pun tentu malu jika berada di tempat lelaki itu. Mana tahan kena marah depan orang ramai. Macamlah kita ni budak hingusan yang belum ada perasaan. Namun, jauh di sudut hatinya, dia lebih mempercayai cakap pak cik penjual bahawa lelaki di hadapannya sedang berlakon. Malangnya cara yang digunakan oleh pak cik pemilik gerai dalam menyelesaikan masalah ternyata tidak kena. Seharusnya pak cik tidak menengking lelaki itu di hadapan orang ramai. Baik berbincang elok-elok. Nanti semua pelanggannya lari kalau mereka tahu beginilah sikap pemilik gerai. Garang macam harimau!

"Betul pak cik, saya tak tipu." Lelaki itu kelihatan pucat. Dia berkeras membela diri. Perasaan malu menguasai dirinya tambah-tambah bila menyedari ada seorang gadis yang sedang berdiri di belakangnya. Lelaki mana yang tak malu bila dimarahi depan seorang gadis. Jatuh saham!

Gadis berkulit putih itu sekejap-sekejap melihat jam di tangan. Hampir lima minit perbalahan berlaku. Masing-masing tak mahu mengaku kalah. Pak cik tuan punya gerai makan beria-ia mahu membawa lelaki itu ke balai polis. Dan lelaki itu terus mendakwa bahawa dia kehilangan dompet. Nampaknya, akulah yang kena mengaku kalah. Izhanie menggetap bibir, geram! Pelanggan-pelanggan di belakangnya yang turut beratur untuk membayar makanan juga sudah mula merungut.

"Berapa lelaki ni tak bayar pak cik?" Izhanie terpaksa mencelah. Dia sudah tidak sanggup lagi menunggu lebih lama di situ. Kerjanya bukan menunggu. Dia pun ada urusan lain juga.

Pemilik gerai merenung wajah gadis yang berdiri di hadapannya tak berkelip.

"Berapa pak cik?" dia menyedarkan pak cik pemilik yang merenungnya seolah-olah mahu ditelan. Dia tidak melakukan sebarang kesalahan. Dia sedang berusaha untuk menghentikan perbalahan kedua-dua lelaki tersebut.

Hanya PadamuWhere stories live. Discover now