BAB 1

26.3K 168 2
                                    

AKU tak pernah suka dia. Sejak dulu, sejak kami sama-sama di bangku sekolah, tidak pernah terdetik di hatiku untuk cuba jatuh cinta pada dia. Walau ketika itu ramai pelajar perempuan terkejar-kejar mahu mendapatkan perhatian dia, aku pula tarik handbreak kuat-kuat. Bukan sebab dia tak kacak. Tidak! Dia memang layak digelar lelaki idaman malaya. Keturunan baik-baik, ada harta dan rupa. Ada gaya dan aura. Pendek kata, dia ada segalanya.

Ya! Haris Aryan itu lelaki yang punya segalanya. Dan kerana 'segalanya' itulah aku tak berani walau hanya untuk menjeling ke arahnya. Aku tak berani walau hanya untuk menyimpan secebis rasa suka terhadapnya.

Tapi tiba-tiba, aku disajikan dengan berita mengejutkan. Berita yang aku percaya akan merubah seluruh hidupku.

"Datin Maria dah setuju. Dato' Hijaz pun sokong kita satukan Adira dengan Haris." Suara mama pada pagi yang indah itu buat tenang di hatiku terus ditarik pergi. Tiba-tiba, rasa bergelora dalam dada.

Adira itu ialah aku. Dato' Hijaz dan Datin Maria itu ialah umi dan papa Haris Aryan. Tapi, kenapa topik aku dan Haris tiba-tiba muncul pagi ini?

"Inah, awak dah tanyakan Dira ke?" Suara abah membalas.

Mereka tak sedar, aku sedang berdiri di balik dinding menuju ke ruang rehat keluarga.

"Alaaa.. Dira tu anak yang baik bang. Inah percaya dia akan setuju saja apa jua perancangan kita."

"Tapi Inah, Dira tu masih belajar. Tak boleh ke tunggu dia habis belajar dulu." Abah seperti tidak bersetuju.

"Bang... kalau tunggu Dira habis belajar, lagi dua tahun. Maknanya lagi dua tahunlah Ikmal tak akan balik Malaysia."

Abang Ikmal? Apa kaitannya Abang Ikmal tak mahu balik Malaysia dengan rancangan 'penyatuan' ini? Dan..kenapa harus melibatkan Haris?

Aku jadi makin teruja untuk tahu rahsia yang tersembunyi. Memasang telinga penuh hati-hati agar tidak terlepas walau sepatah perkataan.

"Ikmal tu anak kita bang. Anak kandung kita. Abang tak rasa apa-apa ke bila anak kandung sendiri terpaksa hidup jauh dari kita hanya sebab mereka dua beradik bukan mahram, tak elok tinggal sebumbung."

Oh! Aku mula faham. Ya! Walau aku dan Abang Ikmal digelar adik beradik tapi hakikat yang satu itu tidak mampu diubah. Kami bukan mahram. Aku hanya anak pungut yang ditemui di depan pintu masjid. Bukan darah daging Puan Zarinah dan Tuan Bahktiar.

Kerana leka dengan kasih sayang melimpah ruah keluarga ini, aku lupa tentang hal yang satu itu. Walau aku ditatang bagai minyak yang penuh, kenyataan tetap takkan berubah.

"Dan Ikmal kata, kalau dia balik pun, dia akan cari rumah lain. Saya tak sanggup bang. Dah terlalu lama dia pergi. Sambung belajar, kerja di negara orang sampai sekarang." Suara mama bagai merintih. Abah pula berterusan diam.

"Mulanya saya tak fikir tentang semua tu. Tapi bila Ikmal cakap begitu, saya rasa dah tiba masanya saya carikan calon suami untuk Dira. Lepas kahwin, dia pasti akan ikut suami dan Ikmal sudah tidak ada alasan untuk tidak balik tinggal bersama kita. Bolehlah bantu abang di pejabat."

Dan aku yang mendengar hampir terduduk. Ya! Sudah tiba masa untuk aku keluar dari rumah ini, itulah yang dimaksudkan mama. Sungguh... aku tak pernah menyangka bahawa aku menjadi penyebab keluarga ini terpisah.

Aku tak pernah menyangka perginya Abang Ikmal untuk sambung belajar bukan semata-mata untuk satu tujuan. Tetapi dia pergi kerana tidak mahu tinggal sebumbung denganku. Kenapa tidak dijelaskan dari awal? Kalau dari awal aku tahu, pasti aku akan meminta izin mama untuk tinggal di asrama atau menyewa dengan kawan-kawan.

Mama dan abah sudah mengubah topik bicara dan langkah aku lencong semula naik ke bilik. Tak jadi untuk turun bersembang dengan mereka seperti kebiasaannya di petang hujung minggu begini.

Tubuh aku baring ke tilam. Mata aku pejam rapat.

Haris... nama itu tersebut dalam hati. Kenapa harus lelaki itu yang dipilih mama? Kenapa tidak orang lain? Lagi pun, rakan niaga Abah bukan hanya Dato' Hijaz sorang yang ada anak lelaki. Tahu tak yang Haris tu suka perempuan yang bagaimana?

Aku bangkit duduk berjuntai kaki di katil. Kenangan di zaman sekolah aku kutip satu persatu. Haris yang aku tahu, perempuan yang mendampinginya adalah stok jenis potongan model, yang berjalan tak jejak bumi, yang jenis pakai baju tak cukup kain. Sangat-sangat kontra dengan aku yang bertutup atas bawah ini.

Itu cerita alam persekolahan. Cerita hari ini, selepas dia sudah menjawat jawatan besar di syarikat papanya, aku dah tak pernah tahu hal dia. Sebabnya, kami dah jarang jumpa. Kalau jumpa pun, masa ada keramaian. Itupun, hanya sekejap dan memandang dari jauh.

Bunyi deringan telefon mematikan lamunanku dari mengingati lelaki itu.

"Assalamualaikum adik manisss... Tengah buat apa?" Suara Abang Ikmal menyapa sebaik aku menjawab panggilannya.

"Tidur." Sepatah aku menjawab.

"Isk! Anak dara tak elok tidur petang. Nanti tak ada lelaki yang nak masuk meminang."

"Kalau tak ada, abang ajelah kahwin dengan Dira." Celupar mulutku menjawab gurauannya.

Dan, Abang Ikmal terus terdiam di hujung sana.

Sebenarnya aku geram. Geram bila mengingatkan apa yang mama katakan tadi. Kalau betul Abang Ikmal tak mahu balik Malaysia sebab aku ada di rumah ni, kenapa tak cakap terus terang.

"Dira nak kahwin dengan abang?" Tiba-tiba Abang Ikmal bersuara. Serius nadanya buat aku tak tahu nak jawab apa.

Kahwin dengan Abang Ikmal? Oh! Tak mungkin. Dia sudah kuanggap seperti abang sendiri.

"Dira gurau jer."

"Abang tanya serius."

"Tak nak!" tekanku.

Abang Ikmal gelak mendengar jawapanku. Dan aku agak dia bergurau tentang hal ini.

"Abanggg.. bila nak balik? Dira tak ada kawan laaa, nak sembang-sembang." Aku ubah topik bicara, merengek manja. Memang aku manja pun kalau dengan Abang Ikmal.

"Kalau Dira kata setuju kahwin dengan abang, sekarang juga abang balik."

"Eeee... tak naklah. Okey! Tak payah balik." Aku buat-buat merajuk.

"Okey! Takpe. Abang tak nak pujuk. Bye!." Abang Ikmal terus matikan talian.

Eh! Macam tu aje? Aku pandang skrin telefon dan kacip gigi geram. Selalu Abang Ikmal tak buat perangai begini. Pantang aku buat merajuk, sibuk dia pujuk dengan kata manis bergula.

Kenapa kali ni lain pula?

Ada apa yang tak kena ke?

Atau... atau sesuatu yang aku tak tahu?    

ASALKAN DIA BAHAGIATempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang