Bab 32

1.6K 38 5

"Ain rasa kita perlu pergi bercuti, tak?" Tanya Amran.

Sejak akhir-akhir ni dia lihat Ain terlalu tegang. Walaupun Ain cuba sedaya upaya untuk buatnya bahagia tapi percubaan itu selalu gagal. Dia dapat kesan betapa Ain sedang menahan dirinya dari pelbagai rasa itu.

"Tak kot." Jawab Ain.

Bukan Ain tak mahu tapi dia sedang sibuk. Kerjanya terlalu banyak saat ini. Lagipun, Sabtu ini sehingga ahad depan adalah minggu cuti sekolah. Dia tak suka bercuti saat orang ramai. Percutian untuk merasa tenang akan jadi serabut dan menyesakkan kepala otak.

Amran ambil telefon bimbitnya. Satu nombor ditekan dan dia menunggu seketika. Bila saja orang yang dipanggil menjawab panggilannya segera salam diberikan. Ain perhatikan saja Amran bila nama Tuan Firdaus disebut.

"Saya ingat nak minta cuti untuk saya dan Ain hari ini sampai lusa. Kesian sangat tengok Ain sampai nak senyum pun tak reti dah." Kata Amran.

Ain sudah menjengilkan matanya. Dia bangun dan cuba untuk merampas telefon bimbit Amran tapi Amran mengelak. Akhirnya setelah beberapa kali percubaan untuk merampas telefon itu berlaku, Ain mengalah.

"Tuan Firdaus, tak payah. Saya ada banyak kerja ni." Lantang Ain bersuara berhampiran dengan telefon bimbit Amran.

Amran ketawa.

"Pergilah Amran. Saya izinkan. Nanti singgah dulu di pejabat dan isi borang cuti. Nanti saya approvekan." Kata Tuan Firdaus.

Dia dengar pasangan itu sedang bergelut. Bahagia sungguh dengar mereka bergurau. Walaupun dengan tekanan kerja, mereka masih mampu tersenyum. Cuma Ain tidak tersenyum semanis selalu. Dia risau juga tapi tidaklah dia menegur. Jadi, bila Amran bercadang untuk membawa Ain bercuti. Dia sangat setuju.

"Terima kasih, Tuan." Ucap Amran dengan gembira sekali.

"Am. Ain banyak kerjalah. Inikan dah hujung bulan. Ain ada banyak kerja ni. Nak tutup akaun untuk bulan ni. Nak kira claim semua. Nanti tertangguhlah kerja Ain. Nanti kak Rila marah." Rungut Ain.

"Amran, bagi saya cakap dengan Ain sebentar." Kata Tuan Firdaus. Geleng kepala dia dengar rungutan Ain itu. Asyik fikir kerja sampai diri sendiri tak diendahkan.

Amran menyerahkan telefon bimbitnya pada Ain. Ain ambil dan member salam. Tuan Firdaus menjawab salamnya.

"Ain, pergilah bercuti. Lepas balik bercuti, barulah boleh buat kerja dengan lebih baik. Otak dah fresh, kan? Pergilah." Lembut suara Tuan Firdaus bila bercakap dengan Ain.

Tuan Firdaus tahu yang jiwa Ain sangat sensitive walaupun dia nampak seperti tidak kisah. Sebab tu bila berbicara dengan Ain, dia suka menggunakan suara yang lembut dan seperti memujuk. Disebabkan itu, pekerja-pekerja yang lain mengatakan dia sayang Ain. Walaupun ianya betul tapi semua pekerjanya dia sayang.

Sebagai ketua yang baik, pastilah dia kena tahu cara berkomunikasi yang berkesan dengan pekerjanya. Barulah senang nak menyampaikan misi dan visi syarikat.

"Baik, tuan." Jawab Ain.

Talian dimatikan selepas itu.

"Kalau Tuan Firdaus, senang saja nak ikut cakap. Dengan suami sendiri, banyak betul bantahannya." Rungut Amran.

"Ya lah. Kerja. Am bukan ketua Ain." Jawab Ain.

"Am sentiasa ketua Ain. Dunia akhirat, Ain. Orang paling utama untuk Ain hormat. Orang yang sentiasa Ain kena dulukan dalam segala urusan." Nasihat Amran.

Ain terkedu.

"Kalau kena notis dan diberhentikan kerja, siapa nak bagi Ain duit? Takkan nak bergantung pada Am saja." Ain menjawab tanpa ingin mengalah.

Ain NadiraRead this story for FREE!