Bab 1

5.6K 133 4
                                    

JAM di pergelangan tangan dilirik sekali. Sudah 12.30 pagi. Aku mengeluh dan meliarkan pandangan ke kiri dan kanan. Semerta bulu romaku meremang. Keadaan sungguh gelap dan sunyi. Bagai berada di sebuah pekan hantu. Angin sejuk menusuk-nusuk segenap tubuh, membuatkan aku menggeletar kuat.

Ingin sekali aku mengetuk kepala sendiri. Entah bagaimana aku boleh terleka dengan pemandangan di Gion sebentar tadi. Sepatutnya aku lebih berhati-hati kerana Nijojomae, kawasan tempat aku tinggal agak jauh dari Gion. Aku perlu berjalan selama setengah jam. Nijojomae pula bukanlah tempat yang meriah seperti Gion. Sudah pasti pada waktu begini, semuanya sudah sunyi sepi. Apatah lagi, aku tidak biasa dengan jalan-jalan di sini yang bersimpang-siur. Walaupun dengan peta di tangan, aku tetap keliru. Sudahnya, aku sesat.

"Karera o korosu!!!"

Tanpa semena-mena, telingaku menangkap tengkingan kuat. Spontan aku mengerutkan dahi. Bunuh mereka? Aku tidak salah mendengar, bukan?

Ragu-ragu, aku mengambil langkah hingga menghampiri hujung lorong. Separuh muka ditala keluar, mahu melihat apa yang sedang berlaku. Tidak jauh dari kedudukanku, kelihatan kira-kira dua puluh orang lelaki berpakaian hitam sedang menghadap satu sama lain di tengah-tengah jalan besar. Dari bawah samar-samar cahaya lampu jalan, aku dapat melihat dengan jelas pedang dan parang yang tergenggam di tangan masing-masing.

Sepantas kilat, aku mengalihkan kepala dan menyembunyikan tubuh di sebalik dinding bangunan. Mataku membulat luas. Jantung berdegup kencang. Ya Allah! Masalah apa yang sudah aku jumpa?

Seketika kemudian, telingaku mula mendengar pekikan demi pekikan dalam bahasa Jepun. Semuanya bercampur baur, hinggakan aku sukar memahami. Yang pasti, semua pekikan tersebut bukan untuk bertanya khabar.

Aku menekup mulut kuat-kuat, tidak mahu walau bunyi nafas menarik perhatian mereka. Peluh merecik-recik membasahi dahi. Jantung sudah tidak ubah seperti bom jangka yang menanti masa untuk meletup. Tik... Tok... Tik...Tok...

Setelah beberapa minit berlalu, aku memberanikan diri untuk mengintai keluar. Automatik, aku terbeliak besar. Anak mataku tepat pada manusia-manusia yang ralit berlawan sesama sendiri. Ada yang dilibas, ada yang dirodok kejam, ada yang dikelar. Darah pekat tidak habis-habis membasahi bumi. Baunya yang hanyir mencucuk-cucuk hidung. Tekakku terasa mual. Isi perut mula menggelupur minta dimuntahkan.

Krang!

Satu bunyi kuat tiba-tiba menyentakku. Sedikit-sedikit aku melirikkan mata ke sebelah, pada sebatang penyapu yang kini jatuh mengenai tong sampah besi. Oh, Tuhan! Bila masa pula ada penyapu di sebelahku? Dengan bibir yang diketap rapat, aku mengalihkan kembali perhatian kepada kumpulan manusia yang menjadi tontonan tadi. Beberapa orang daripada mereka kini sedang...

Merenung dan berjalan ke arahku!

Tanpa menunggu lagi, aku bingkas bangun dan berlari selaju mungkin. Bukan ke arah jalan besar yang dikuasai lelaki-lelaki berbaju hitam, sebaliknya ke arah lorong yang dilalui sebentar tadi. Entah ke mana aku membawa langkah, tetapi setiap jalan yang aku tujui hanyalah lorong-lorong gelap. Habis segala benda yang tersadai di tepi jalan, aku rempuh. Sesekali aku melirik ke belakang, ke arah lelaki-lelaki yang sedang mengejar. Tangan mereka tergapai-gapai cuba mencapai aku. Tidak ubah seperti zombi yang aku tonton di televisyen.

"Tasukete! Tasukete kudasai!" Mulutku lantang menjerit meminta tolong. Tetapi semuanya sia-sia sahaja. Hanya kesunyian yang menyambut.

Dadaku mula termengah-mengah. Nafas putus-putus. Langkah semakin perlahan. Namun aku tetap cuba bertahan. Ini soal nyawa. Aku tidak boleh berhenti! Sama sekali tidak boleh!

Akan tetapi...

Aku kini terpacak elok di hadapan tembok hitam. Tinggi dan tidak memungkinkan aku untuk memanjat.

Salju KyotoWhere stories live. Discover now