Bab 5

20.8K 114 0

Sedang mereka berjalan beriringan menyusur trek pejalan kaki di tepi jalan raya, bunyi hon kereta menampar gegendang telinga. Serentak itu, kedua-duanya menoleh.

Cermin BMW berwarna merah garang dilihat turun perlahan-lahan.

"Excuse me, boleh kita bercakap sekejap?!" tutur lelaki di dalam kereta sambil memanjangkan leher menjengul dua orang gadis yang sedang berjalan di luar.

"Tiara, siapa tu? Dia nak culik kita ke?" Wajah cemberut Reena sudah terlakar di segenap wajah.

"Kalau dia culik kita, apa yang dia dapat?" soal Tiara pula.

"Kita kan cantik, manalah tahu dia nak jual kita ke?" teka Reena masih sempat membangga diri.

"Isy, takkan kut!" Bibir Tiara tersungging dengan senyuman. Lucu!

"Beri I sepuluh minit. Ada perkara yang I nak bincang."

"Bincang?"

"Yup! Tunggu..." BMW merah dipandu sedikit ke hadapan lalu diberhentikan di bahu jalan. Selang beberapa saat, pemandu tadi keluar dari perut kereta lalu berpusing lantas menapak menghampiri mereka yang masih berada di belakang.

"My name, Megat Danish! You all boleh panggil Danny." Tangan dihulur untuk berjabat. Namun, dengan senyuman nipis, Tiara dan Reena menggeleng perlahan.

"Ops sorry, bukan mahram! Tak boleh bersalam." Senyum senget lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Danny tersapa di ruang mata.

Melihat pandangan aneh di riak wajah kedua-dua gadis di hadapannya itu, Danny segera menyusun kata.

"Cik berdua boleh perkenalkan diri? Senang sikit I nak panggil."

Reena merenung Tiara sejenak sebelum menjawab ringkas.

"Saya Fazreena, panggil Reena. Dan yang ni kawan saya, Tiara."

"You all baru berhenti kerja, kan? Tadi I nampak apa yang berlaku di restoran tu. I tumpang simpati," tutur Danny berhati-hati.

Reena dan Tiara diam membatu diri. Memikirkan figura lelaki yang menyapa. Sebaik memorinya terpanggil, Reena menjingkit kaki lalu mendekatkan bibir di telinga Tiara.

"Eh, ni bukan mamat handsome dekat restoran tadi ke?"

"Haah... Dialah orangnya! Dia nak apa?" bisik Tiara juga perlahan.

"Errr... Boleh tak kalau kita bincang dekat tempat yang lebih selesa?" Sapu tangan berjalur halus dikeluarkan dari poket hadapan baju kemejanya lantas dahi yang berpeluh disimbah terik matahari, diseka perlahan-lahan.

"Dekat mana?"

"Kopitiam! Boleh tak?"

Reena dan Tiara saling berpandangan.

"Amacam? Boleh? I tak culik you all. Trust me," aju Danny sekali lagi cuba meyakinkan Reena dan Tiara.

"Erm... Bolehlah!" sahut Reena membuat keputusan hingga Tiara yang mendengar, menyiku perlahan.

"Kalau dia apa-apakan kita macam mana?"

Mendengar apa yang disebut oleh Tiara, bibir Danny cepat-cepat membalas.

"Don't worry, pretty ladies. I takkan apa-apakan you all. Trust me."

"Kalau macam tu, kami setuju. Tapi janji, jangan apa-apakan kami?" ujar Reena seraya mengunjuk jari telunjuk sebagai amarannya.

"Ya, I takkan apa-apakan you all. Jom, masuk dalam kereta. Kita ke kopitiam, dekat sana I akan beritahu apa yang I harapkan daripada you berdua."

Senyuman Danny tersungging manis. Persis dirinya sudah dipertemukan dengan dua bidadari yang sudi membantu dia yang dibelenggu kesulitan.

"Jomlah," ajak Reena seraya mengatur langkah mengekori jejak Danny yang sudah hampir ke keretanya.

"Kau tak takut?" Tiara masih berbisik. Ragu-ragu dengan keputusan yang diambil oleh sahabatnya itu. Tambahan pula mereka tidak mengenali lelaki ini, dah mengapa begitu mudah mereka menuruti kehendak jejaka tinggi lampai ini.

"Tiara... Tak mungkinlah dia nak buat jahat! Dari apa yang aku nampak, dia ni macam lelaki yang baik-baik. Entahlah, aku tak boleh nak komen lebih-lebih. Yang pasti, air muka dia bersih! Lagipun, kalau dia nak buat jahat... Kenapa dia pilih kita?" soal Reena buat Tiara terdiam sejenak.

Benar juga kata-kata Reena, jika lelaki itu berniat jahat, masakan mereka pula yang menjadi mangsa. Bukannya boleh dapat apa-apa pun!

"Silakan." Bersama anggukan Reena dan Tiara memboloskan diri ke dalam perut kereta. Manakala Danny pula sudah selamat duduk di bahagian tempat duduk pemandu.

"Kami duduk di belakang. Tak mengapa, kan?" soal Reena sambil memandang Tiara yang duduk di sebelahnya.

"Okey! I tak kesah!" sahut Danny sambil tersenyum memandang cermin pandang belakang. Kedua-dua gadis ini persis gadis naif, namun kenaifan yang dipertontonkanlah membuatkan hatinya terpikat untuk menjadikan kedua-duanya pengasuh untuk si kecil bernama Rara Dhiyani.

Pujaan Hati KandaRead this story for FREE!