Entri 1 - Marah

52.8K 388 26

Entri 1

"Aku kata diam, diamlah!" jerit Aazad yang semakin menyinga. Sesungguhnya wanita ini benar-benar menduga imannya. Benar-benar mahu merobek kesabaran yang sentiasa tipis dalam dirinya.

"Kau nak aku diam?! Jangan haraplah, encik Aazad! Aku sudah cukup berdiam diri selama ini," bentak wanita itu pula semakin berani. Sekelumit pun tiada perasaan gentar lagi. Bersama sisa keberanian yang sedang memuncak dalam diri, dia menapak lebih dekat pada Aazad. Pandangan mata Aazad semakin galak. Namun, tidak kurang hebatnya dengan pandangan mata wanita di hadapannya.

"Kenapa Ella kena diam? Bukan memang betul awak tu lelaki dayus?!" tekan Ella lagi semakin berani sambil mula menekan-nekan dada Aazad dengan telunjuknya. Wajahnya bengis menyindir.

Aazad hilang sabar. Sesungguhnya dia memang hilang sabar. Sekilas itu, dia angkat tangannya dan sekerlipan sahaja jemarinya mendarat di pipi halus Ella. Bukan setakat itu, dia pegang leher Ella dan memaksa kepala Ella merapat padanya. Sekejapan itu sahaja, wajah Ella ditatap penuh benci. Kesabarannya musnah.

Ella tidak menjerit. Meski pun dia diperlakukan seperti binatang oleh Aazad, dia sememangnya sudah menjangkakan semua itu. Dari lelaki itu.

Sakit! Memang dia rasa sakit. Tapi, jeritannya hanya akan mengundang kepuasan pada Aazad. Bukan hari ini. Ella nekad. Dia sanggup mati jika itu kehendak Aazad. Dia sanggup mati diperlakukan ibarat punching bag oleh Aazad. Tapi, untuk dia berdiam diri jauh sekali!

"Kau dengar sini. Apa yang aku buat di luar sana tak ada kena-mengena dengan kau. Dan jangan harap aku akan berubah semata-mata aku cakap yang aku cintakan kau. Kau faham tu!" tukas Aazad, memuntahkan kata-katanya tepat ke muka Ella.

Cinta? Kalau cinta itu lah yang merantai tangannya, mengikat langkahnya dan menutup mulutnya, aaahhh, baik dia tak jatuh cinta. Baik lagi seandainya dia tidak mengungkapkan cinta. Kesal bertimpa-timpa tatkala renungan sambar-menyambar di antara mereka.

Nafas Ella turun-naik. Lehernya terasa sakit. Pipinya terasa kebas. Pergelangan tangannya yang dipulas hebat oleh Aazad, semakin membukit kesakitan yang dirasakan saat itu. Tapi semua itu, tidak mampu menggendurkan pandangan mata Ella yang mencerlung tajam menikam mata Aazad.

Ella kumpul kekuatan. Dia tak mahu suaranya tidak mampu sampai ke pendengaran Aazad.

"Kalau kau hebat sangat, kenapa kau tak kahwin saja dengan perempuan tu? Kenapa mesti dengan aku?"

Suara yang tenggelam timbul itu, seakan lucu pada pendengaran Aazad. Serentak itu, dia lepaskan tangannya yang memulas tangan Ella sambil ketawa menyindir. Tetap pula tidak berganjak seinci pun dari tubuh Ella.

"Apa kau ingat aku nak sangat kahwin dengan kau?" sindirnya, tajam sekali. Tepat menusuk ke hati Ella.

"Kau lupa yang seminggu lagi kontrak kahwin kita akan tamat? Kau lupa yang keluarga kau 'jual' kau pada aku hampir setahun yang lalu. Kau sepatutnya bersyukur sebab aku sudi terima kau sebagai isteri aku!" sinis benar bicara Aazad.

Ibarat belati tajam, menghiris pedih hati Ella tiba-tiba. Semerlapan itu, setitis air mata Ella mengalir tanpa sedarnya.

Melihat air mata di wajah isterinya, terjentik belas kasihan tiba-tiba dalam hatinya. Aazad pantas berpaling. Dia pejam mata rapat-rapat. Sekaligus perasaan kesal membukit tanpa sedarnya. Aazad menghela nafas dalam-dalam. Mahu mengusir perasaan yang sering membuatnya lemah di hadapan Ella.

"Kalau kau rasa aku ni tidak tahu bersyukur...kalau kau rasa aku ni hanya membebankan kau...kalau kau fikir aku tak layak untuk jadi isteri kau, kenapa kau tak ceraikan aku? Kenapa?"

Aazad dengar suara Ella bergema bersalutkan sebak yang sudah berantakan. Keberanian Ella juga telah tampak merapuh.

"Kau tanya aku soalan yang kau dah tahu jawapannya? Untuk apa? Tambahan pula, kau tahu aku cintakan kau," balas Aazad, membelakangi Ella. Kemudian, perlahan-lahan dia berpaling semula sehingga anak mata mereka bertautan sesama sendiri.

"Kalau kau boleh bertahan selama setahun, takkanlah kau tak boleh tunggu untuk seminggu lagi? Kau tahu betapa aku ikhlas apabila aku kata aku cintakan kau. Kau ingat lelaki seperti aku ni begitu mudah menuturkan kalimah maut tu?"

Benar. Lelaki seperti Aazad yang egonya sehinggi langit dan citarasanya sedalam kerak bumi, bukan sembarangan perempuan yang mampu mencairkan dirinya.

"Apa bezanya sekarang atau seminggu lagi? Tidak akan mengubah keputusan yang aku buat. Jangan harap aku akan terima kau sebagai suami aku," tegas Ella akhirnya.

Sekali lagi, Aazad rasa tercabar.

"Jadi tak ada beza langsung sama ada aku cintakan kau atau tidak? Tak ada beza langsung kalau kau atau perempuan lain jadi isteri aku? Tak ada beza langsung sama ada aku laksanakan kewajipan aku sebagai seorang suami atau tidak? Tak ada beza langsung pada kau?" soal Aazad yang sedang menahan kakinya dari menapak kepada Ella. Tetapi, nada suara Aazad yang sekadar mendatar itu entah kenapa tiba-tiba menjentik perasaan seram dalam seluruh tubuh Ella.

Ella tidak menjawab. Fikirannya bercelaru. Tidak tahu perkataan apa yang sesuai untuk menggambarkan apa yang sebenarnya menggendang dalam hatinya.

Melihat Ella membisu dan anak matanya ligat mencari jawapan yang sesuai, Aazad terangsang untuk membantu. Perlahan-lahan dia melangkah.

"Tak ada beza kalau aku cintakan perempuan lain dan bukan Ella?" ulang Aazad, seolah-olah menduga perasaan yang membanjiri jiwa isterinya saat itu.

Ella pejam mata saat jemari kasar Aazad mengelus pipinya yang kebas tadi. Jemari sama yang menampar hebat pipi itu. Terasa hembusan nafas Aazad berlaga dengan hembusan nafas Ella saat itu. Mengundang perasaan asing yang muncul setiap kali Aazad seintim itu dengannya.

Sedaya-upaya Ella menggenggam hebat kain baju kurung yang dipakainya. Seolah-olah meminjam kekuatan dari baju kurung itu untuk menegakkan pendiriannya. Sesungguhnya dia bukan wanita yang rapuh. Dia sudah putuskan untuk menamatkan kontrak kahwin antara mereka. Dia sudah nekad dan yakin sungguh-sungguh bahawa dia boleh hidup tanpa lelaki itu.

"Tak ada beza langsung!" cetusnya tiba-tiba. Tanpa membuka mata pun.

Tanpa sedarnya, jawapan Aazad semakin menggendang hebat perasaannya. "Kalau begitu, takkan ada beza langsung kalau aku tuntut hak aku sebagai seorang suami," bisik Aazad, mendayu-dayu di telinganya.

Serta-merta Ella buka mata. Berkerut dahinya menuntut penjelasan dari Aazad. Sebaliknya, senyuman nakal di wajah Aazad seakan menghantar perasaan seram yang bukan sedikit di segenap pelusuk tubuhnya. Apatah lagi, bila Aazad bertindak tanpa relanya.

CINTA OH CINTARead this story for FREE!