Guru Besar

5.5K 352 63
                                    

#sediakan kerusi urut dan popcorn sbb cerita ni sedikit panjang

Aku ada suatu cerita seram yang berlaku di asrama sewaktu aku menuntut disebuah sekolah di Negeri Sembilan. Cerita ini telah diceritakan oleh senior-senior aku. Begini ceritanya....

Mengikut ceritanya pada zaman 60an dahulu, guru besar sekolah kami ialah seorang yang berbangsa Inggeris. Dia telah pun berkahwin dengan wanita tempatan dan memeluk agama Islam. Malangnya, perkahwinan mereka tak pernah mendapat kebahagiaan. Ada sahaja masalah yang timbul di antara mereka suami isteri. Menurut ceritanya, isterinya telah disihir oleh orang-orang yang tidak berpuas hati kerana dia berkahwin dengan orang luar.

Suatu hari berlaku satu pergaduhan besar antara mereka dan si suami terpaksa menjatuhkan talak keatas isterinya. Punca pergaduhan tiada siapa yang tahu. Ada yang mengatakan si isteri telah berlaku curang dan ada yang mengatakan sebaliknya. Yang pasti guru besar kami itu teramat sedih diatas apa yang berlaku. Hidupnya menjadi tidak terurus. Dia kembali ke perangai lamanya sebelum memeluk Islam seperti minum arak dan sebagainya.

Ada masanya dia berjalan seorang diri mengelilingi padang sekolah diwaktu malam sambil menyebut-nyebut nama isterinya dan selepas itu akan berjalan dikawasan asrama. Tiada sesiapa yang berani menegurnya kerana biasanya dia dalam keadaan mabuk. Dia cuma merenung sesiapa yang ditemuinya dengan renungan yang tajam. Biasanya pelajar-pelajar akan cuma mengelak dari bertemunya apabila dia datang kekawasan asrama.

Suatu hari seluruh sekolah telah digemparkan dengan berita guru besar kami meninggal setelah terlibat dalam suatu kemalangan ngeri. Menurut laporan polis, dia dalam keadaan mabuk ketika kereta yang dipandunya merempuh sebatang pokok besar.

Malam itu satu majlis tahlil telah diadakan dan berakhir lebih kurang pukul 10:30 malam. Suasana malam itu terasa amat berlainan sekali. Dingin dan sunyi. Sesekali terdengar lolongan anjing sayup-sayup kedengarannya. Tiada sesiapa yang berani study lewat malam. Masing-masing tidur awal.

Lebih kurang pukul 2:30 pagi, seorang pelajar bangun untuk ke tandas. Sewaktu ke tandas, dia merasa seram sejuk seolah-olah dia sedang diperhatikan. Sewaktu dia berjalan pulang ke biliknya, dia terdengar suara orang berdehem. Dia cukup kenal dengan suara itu dan disertai dengan bau yang teramat busuk seperti bau bangkai. Dia segera berlari kebiliknya. Pelajar-pelajar lain sedang nyenyak tidur. Dia terus berselubung diatas katilnya sambil menggigil.

Tidak lama kemudian, dia terdengar pintu bilik dibuka perlahan-lahan dan terdengar tapak kasut. Bunyinya memang biasa dia dengar dan dalam masa yang sama dia terbau bau busuk seperti di luar tadi. Bunyi tapak kasut itu seperti orang yang sedang berjalan mundar-mandir dari satu hujung ke satu hujung yang lain.

Pelajar berkenaan tidak berani berbuat apa-apa. Dia cuma mengucap dan membaca segala ayat-ayat suci yang dia ingat. Akhirnya bunyi tapak kasut itu semakin lenyap. Begitu juga dengan bau busuk tadi.

Keesokkannya dia bercerita dengan kawan-kawan yang lain. Rupa-rupa bukan dia seorang sahaja, malah ada dua tiga orang yang lain menyedari apa yang berlaku malam tadi. Mereka mengambil keputusan untuk tidak menghebahkan cerita itu kepada yang lain.

Pada sebelah malamnya, mereka-mereka yang mengalami kejadian pada malam sebelumnya berjaga-jaga dari katil masing-masing. Lebih kurang waktu yang sama seperti semalam sekali lagi mereka terdengar bunyi tapak kasut seperti semalam. Kali ini salah seorang dari mereka memberanikan diri mengintai dari celah-celah kelambu. Dia melihat suatu lembaga putih seperti terawang-awang bergerak ke hulu dan ke hilir disertai dengan bunyi dan bau yang teramat busuk.

Lembaga itu seolah-olah tahu dia sedang diperhatikan. Dia berhenti betul-betul di sebelah almari berdekatan dengan katil pelajar berkenaan. Badannya tetap menghadap kehujung bilik manakala kepalanya menoleh kearah pelajar berkenaan. Pelajar tersebut hilang pertimbangan dan terus menjerit dan melolong seperti orang yang sedang dirasuk.

Jeritannya itu telah mengejutkan semua pelajar. Lampu segera dinyalakan dan semua bertumpu ketempat pelajar tersebut. Dia terus menjerit seperti orang yang terkena histeria.Tidak berapa lama kemudian dia dapat ditenangkan tetapi dia seperti seorang yang bingung. Matanya memandang tepat kehadapan sambil mulutnya terkumat-kamit.

Esoknya seluruh sekolah gempar dengan cerita kejadian malam tadi. Masing-masing membuat andaian. Bagi mereka yang tahu cerita sebenarnya terus berjumpa dengan ustaz sekolah menceritakan pengalaman mereka. Pelajar tersebut telah dihantar pulang ke kampung. Menurut ceritanya, sehingga kini keadaannya masih belum pulih.

Menurut pihak hospital, dia mengalami gangguan mental yang teruk, mungkin kerana terlalu tertekan belajar untuk menghadapi peperiksaan. Bagi pelajar yang tinggal diasrama mereka tahu punca sebenarnya. Bagi pelajar lain, mungkin mereka percaya apa yang diberitahu oleh pihak hospital.

Pada malam ketiga, satu majlis membaca Yassin telah diadakan selepas waktu Maghrib. Ustaz yang memimpin majlis menasihatkan semua yang hadir supaya berserah kepada Allah dengan apa yang berlaku. Mungkin kejadian itu ada hikmah disebaliknya.

Setelah selesai majlis, semua pelajar dinasihatkan masuk tidur awal. Malam itu waktu belajar dipendekkan sehingga kepukul 10:00. Cuma yang tinggal hanya lah dua tiga orang pelajar senior yang bertubuh besar dan ustaz. Menurut ustaz malam ini lembaga tersebut mungkin akan muncul lagi.

Sesiapa yang tidak berani bolehlah masuk tidur awal. Mungkin kerana masing-masing yakin akan diri mereka sendiri atau takut dicap sebagai seorang yang pengecut, maka tiada sesiapa yang menarik diri. Uztaz memberi sedikit penerangan ringkas tentang apa yang akan mereka lakukan pada malam itu.

Tepat jam 2:40 pagi angin dingin bertiup perlahan disertai dengan lolongan anjing yang sayup-sayup kedengaran. Seperti yang dijangka daun pintu dibuka dari luar dan terdengar bunyi tapak kasut dan bau yang teramat busuk.

Kali ini lembaga tersebut seolah-olah menangis teresak-esak. Mereka-mereka yahg terlibat berdebar-debar. Mereka menyorok disebalik almari. Apabila lembaga itu melintasi almari tersebut, ia berhenti. Kepalanya tunduk memandang lantai. Tangisannya semakin kuat seperti orang yang sedang meratap hiba sambil kedua-dua tangannya dihulurkan kearah mereka yang terpaku.

Salah seorang jatuh pengsan sebaik sahaja lembaga tersebut mengangkat mukanya. Uztaz terus melaungkan "Allahuakbar" beberapa kali manakala yang lainnya terus menyerkup lembaga tersebut dengan kain cadar. Lampu segera dinyalakan. Pelajar-pelajar lain terpinga-pinga. Ustaz mengarahkan semua pelajar yang tidak terlibat supaya jangan turun dari katil masing-masing. Mereka semua tidak membantah.

Waktu itu bau busuk dari lembaga berkenaan telah memenuhi di setiap ruang asrama. Sebelum ustaz membuka cadar yang membaluti tubuh lembaga itu, dia meminta sesiapa yang lemah semangat supaya tidak memandang lembaga tersebut.

Seperti yang sebelumnya, masing-masing tunjuk berani. Sebaik sahaja kain cadar dibuka, ustaz terus mengucap panjang. Dua orang pelajar yang bersama uztaz terus muntah. Rupa-rupa lembaga tersebut adalah mayat guru besar yang mati kemalangan beberapa hari lalu.

Mukanya terlalu cengkung dan pucat sehingga hampir menjadi warna hijau. Lidahnya terjulur sehingga ke dada. Kepalanya berlubang dan terdapat sedikit darah yang mengalir. Keadaannya sangat mengerikan. Pihak hospital dan polis segera dipanggil malam itu juga.

Semua menjadi bingung diatas apa yang berlaku. Menurut kata ustaz inilah balasan ke atas orang-orang yang murtad. Oleh kerana jasadnya ditanam di tanah perkuburan Islam maka tanah tidak mahu menerimanya. Begitu juga dengan langit. Sebab itu jasadnya berkeliaran. Menurut ceritanya, keluarga asalnya dari England telah menuntut mayatnya dan ditanam disana.





Horror Stories (Malay)Where stories live. Discover now