"Kalau pilihan papa tu lebih baik, apa salahnya," sahut Tengku Wildan lalu bangun.

Mencerlung mata Puan Sri Raja Mona dengan kata-kata anaknya. Dia memandang Tengku Wildan yang sudah mahu melangkah keluar.

"Wildan, mama tak setuju tahu. Wildan kena kahwin dengan Bella!" jerit Puan Sri Raja Mona kuat agar didengar oleh anaknya yang sudah menapak keluar.

Tengku Wildan mengeluh. Sudahlah kini dia bertambah runsing dengan keputusan papa untuk mengahwinkan dia dengan gadis yang tidak dikenalinya. Mama pula mahu menjodohkan dia dengan Bella. Kedua-duanya dia tidak mahu. Kalau perempuan seperti Ana Julia, uiii... lagilah dia suka.

Gadis manja, menggoda yang dikenali di kelab malam itu benar-benar menambat hatinya. Namun, sayang sekali kerana Ana Julia suka bermain tarik tali dengannya. Kadang-kadang Ana Julia sengaja menari dengan lelaki lain supaya dia cemburu. Argh, betulkah?

Tengku Wildan menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Daripada dia teringatkan Ana Julia, lebih baik dia fikirkan tentang keputusan papa untuk mengahwini gadis desa yang entah mana papa kenal. Tengku Wildan semakin runsing. Kali ini dia benar-benar terasa parah dengan keputusan papanya.


"HAI, jom breakfast."

Tengku Wildan yang jauh termenung tersentak sebaik sahaja dia disapa oleh Bella yang melangkah masuk ke biliknya. Berani benar gadis itu masuk tanpa kebenarannya. Sudahlah Bella sudah diberi kuasa oleh mamanya untuk datang ke sini berjumpa dengannya bila-bila masa sahaja. Haru dia dibuatnya.

"Maaf Tengku. Saya dah halang dia daripada masuk tadi," beritahu Khaty, setiausahanya yang berkaca mata tebal.

"Tak apa. Awak boleh pergi," kata Tengku Wildan.

Terus Khaty berlalu pergi.

Leher Tengku Wildan dipeluk dari belakang. Cepat-cepat Tengku Wildan menarik tangan Bella agar tidak berkelakuan begitu dengannya. Dia benar-benar rimas dengan perangai Bella yang mengada-ada. Satu lagi sikap Bella yang dia tidak suka, walaupun Tengku Wildan tidak pernah mengaku mereka sebagai kekasih, Bella suka mengongkong kehidupannya. Malah, suka mengadu dengan mamanya tentang sikapnya itu dan ini.

"I tak suka you ganggu I macam ni." Tengku Wildan bersuara tidak senang. Harap benar Bella akan mengerti.

"Kenapa pula? I kan kekasih you? Takkan peluk macam ni pun tak boleh?" Bella mencebik geram.

"Berapa kali I nak cakap kat you, antara kita tak ada apa-apa hubungan pun. Bila masa pula you jadi kekasih I ni?"

Bella melabuhkan punggungnya di bucu meja. Kedua-dua tangan memeluk tubuhnya. Betis putihnya yang terdedah langsung tidak menarik perhatian Tengku Wildan.

"Sejak mama I dan mama you dah setuju nak satukan kita," beritahu Bella angkuh. Tersenyum dia memandang Tengku Wildan.

Dia berharap kali ini Tengku Wildan akan menerimanya sebagai pasangan kekasih. Dia mula cuak apabila Tengku Wildan selalu sahaja mahu mengelak berjumpa dengannya. Namun, kerana kekacakan Tengku Wildan dan harta keluarga Tengku Wildan yang banyak, sesekali dia tidak akan berputus asa untuk mendapatkan lelaki ini.

Tengku Wildan ketawa kuat dengan kata-kata Bella. Sengaja dia mahu menyakiti hati gadis itu. "I tak pernah minat pada you. Dan I takkan pernah kahwin dengan you Bella. Sebab you bukan taste I."

Kata-kata Tengku Wildan membuatkan wajah Bella berubah 180 darjah. Langsung Tengku Wildan tidak menjaga hatinya. "Habis, you minat dengan perempuan kelab malam tu? Perempuan ala-ala mat salih yang pakai kain tak pernah cukup. Tayang badan sana sini?"

Isteri Untuk DiiktirafWhere stories live. Discover now