"Awak tu hanya PA saya. Bukan sesiapa pun. Tak ada sebab kenapa saya akan rindukan awak, faham!" Zul Zafri semakin panas. Tak pasti sama ada panas disebabkan sakit hati ataupun apa yang Lisa kata tadi betul.

"Kalau macam tu, saya cabar bos bagi saya cuti!"

"Awak fikir, awak boleh pedayakan saya lagi?"

"Saya bukan nak pedayakan bos tapi saya nak bos yakin yang bos boleh hidup tanpa saya. Bos tahu tak, hidup bos akan lebih parah kalau bos dah terjatuh cinta dengan saya tanpa bos sedar. Oleh itu... untuk buktikan yang bos tak ada apa-apa perasaan terhadap saya, bos kena hidup tanpa saya. Lagi satu, saya penulis novel. Bukan senang tau bila dah jatuh cinta dengan penulis novel ni. Hero keliling pinggang!"

Stres Zul Zafri dibuatnya. Hatinya kucar-kacir. Akhirnya dia mengambil borang cuti Lisa dan turunkan tandatangan di situ. Cuti diluluskan!

"Awak memang pandai Lisa. Saya doakan suatu hari nanti awak dapat suami yang lagi kejam daripada saya. Biar hari-hari awak kena buli!" kata Zul Zafri mengembalikan borang cuti Lisa.

"Amin. Orang baik boleh jadi kejam. Orang kejam boleh jadi baik. Nanti saya didik suami saya jadi lebih baik dan lebih romantik!" jawab Lisa selamba.

"Dah. Keluar sekarang. Jangan ganggu saya. Bertambah stres saya dibuatnya," Zul Zafri menghalau Lisa. Selagi dia tak halau selagi itulah dia rasa tak puas hati dengan Lisa.

"By the way, sepanjang saya cuti saya akan masuk gua. Maknanya, saya akan tutup handset, tutup internet dan tutup semua yang berkaitan dengan dunia luar. Bos jangan rindukan saya tau..."

"Awak nak saya batalkan cuti awak ke?" ugut Zul Zafri.

"Tak nak..." cepat-cepat Lisa lari keluar.

Sebaik sahaja Lisa keluar, Zul Zafri menarik nafas lega. Dadanya diurut-urut. Bukan sakit tapi asyik berdegup tak sekata saja. Sekejap laju sekejap perlahan. Badannya juga seram sejuk. Macam baru jumpa hantu. Dia tak tahu apa dah jadi.

Jatuh cinta dengan Lisa?

Takkanlah! Mana mungkin dia jatuh cinta dengan PA yang tiga suku itu. Mengarut! Orang gila saja yang akan jatuh cinta dengan Lisa. Cintanya pada Nazurah tetap utuh sampai bila-bila. Dia hanya setiap pada yang satu. Hanya Nazurah. Kalau tidak, masakan dia sanggup tunggu Nazurah sampai sekarang.

Lapan tahun bukan sekejap. Lama! Mana mungkin dia akan sia-siakan pengorbanannya selama lapan tahun menanti. Biarpun Nazurah sering buat dia pecah kepala dan sakit hati tapi dia yakin, Nazurah tetap pilihan terbaik untuknya!


****


Hari pertama Lisa bercuti...

"KENAPA dengan kau hari ni? Aku tengok kau macam tak dapat tumpukan perhatian masa mesyuarat tadi," tanya Nazri setelah selesai mesyuarat tadi.

"Tak ada apa-apa," Zul Zafri menafikannya.

"Kau ingat kau boleh tipu aku? Aku dah lama kenal kau. Kau jarang tak tumpukan perhatian masa mesyuarat. Ini mesti pasal Nazurah lagi, bukan? Kali ini apa yang Nazurah dah buat sampai tumpuan kau terganggu?" tanya Nazri lagi sengaja timbulkan nama Nazurah. Padahal dia tahu sangat yang Lisa sudah mula bercuti hari ini.

"Bukan pasal dia. Aku dah lama tak contact Nazurah..." jawab Zul Zafri. Anehnya. Dia langsung tak rasa apa-apa bila Nazri sebut pasal Nazurah.

"Habis tu? Siapa pula yang berani buat tumpuan kau terganggu?" Nazri terus menyoal.

"Nazri, aku nak tanya kau. Kau pernah tak minum kopi yang sama dan dibancuh oleh orang yang sama setiap hari dan tiba-tiba satu hari, orang lain bancuh kopi yang sama tapi rasanya lain?" tanya Zul Zafri penuh rasa ingin tahu.

PLOT CINTA UNTUK BIG BOSSWhere stories live. Discover now