Seperti yang telah dirancang, aku dan Piah menghabiskan sisa petang di kedai tom yam siam di hujung kampung. Wi-fi percuma yang disediakan lebih menarik minat aku berbanding kuah tom yam yang terhidang di depan mata.
Aku order tom yam pedas dan milo ais. Piah hanya order sirap limau ais. Satu mangkuk tom yam mungkin sudah cukup untuk kami kaji dan selidiki.
"Kau betul-betul nak telan ke resipi tok bomoh siam ni?" tanya Piah dalam nada berbisik.
Aku menjegilkan kan mata dan menggeleng laju. Memang tak lah!
"Kau gila! Kau nak aku ketagih macam budak-budak lain ke? Aku sayang hidup aku lagi lah. Aku tak nak habiskan sisa hidup aku dengan makan tom yam tanpa jemu," kataku tetapi masih dalam nada berjaga-jaga. Aku khuatir jika ada yang memasang telinga.
"Habis tu kenapa order kalau tak nak makan? Kau ingat benda ni murah? Nak membazir macamtu jek?"
"Sirap limau kau tu pun tak luak lagi. Kenapa kau tak minum? Takut ketagih jugak ke?"
Piah senyap.
"Sirap limau ais RM 1.20 tu kira duit jugak tau. Membazir kalau tak minum," sambungku.
Piah senyap. Namun, alis matanya masih menampakkan yang dia menjelingku. Dia mendekatkan bibir di straw minuman. Airnya disedut cuma sekali.
Aku berfikir sejenak dengan apa yang Piah katakan tadi. Kenapa beli tom yam kalau tak nak mencuba? Tom yam itu untuk testimoni, hiasan, atau apa?
Kuah tom yam di dalam mangkuk itu ku kocak perlahan dengan sudu sup. Isi ayamnya ku cincaikan menjadi kecil.
Bacaan kalimah bismillah enam terkumat-kamit di bibir.
Akhirnya ketulan ayam kecil di dalam mangkuk tom yam itu berjaya ku sua ke dalam mulut. Ku kunyah ia menjadi hancur dan ku telan ia hingga masuk ke dasar perut.
Sedap!
Aku mencuba pula isi kuahnya.
Masam-masam manis.
Otakku mengatakan bahawa semua pelanggan kedai tom yam siam ini bukan terkena bomoh atau ubat guna-guna dari pawang tapi ternyata memang kualiti dan kelazatan tom yam-nya terasa.
"Woi! Kau mengelamun apa?"
Eh si Piah ni. Melayang terus lamunan dari benakku.
"Wei, aku rasa diorang semua ni tak kena game dengan bomoh siamlah. Tom yam dia memang sedap meletup tip top. Cuba kau rasa," Aku menolak mangkuk tom yamku hingga betul-betul berhenti di hadapan mata Piah. Aku memberi idea sahaja.
"Kau jangan buat lawak dengan aku tau Rif. Semalam kau cakap pasal bomohlah dukunlah pawanglah, tup tup harini cakap lain. Cakap sedaplah, lazatlah, enaklah Apa ni?" nadanya mula meninggi.
"Ssshhhhhuuuuu!" Jari telunjuk ku rapatkan ke bibirku.
"Cakaplah perlahan sikit. Kantoilah nanti," sambungku lagi.
"Apa benda ni? Info yang kau korek tu sahih ke tak?"
Aku terkedu dan terdiam. Takkan mak, abah, adik, dengan Fauzi menipuku. Mustahil!
Neuron otakku kembali bersambung.
Aku mengangkat tangan. Anak dara makcik siam datang menghampiri dengan pinggul melenggok kiri dan kanan. Aku terliuh seketika.
"Kira dik. Bungkus sekali tom yam ni ya. Tiba-tiba rasa macam nak makan kat rumah pulak."
Dia tersenyum.
"Lapan ringgit pat posen encik."
Aku mengeluarkan dompet dari poket di punggung seluar. Dompet itu ku buka luas. Not merah bersama 2 keping dua posen ku hulurkan kepada si dara. Tangan kami bersentuh. Jantungku mula dup dap dup dap laju. Kenapa dengan aku ni?
YOU ARE READING
KETAGIH
Mystery / ThrillerAku baru tinggal di kampung selama sebulan tapi macam-macam cerita pasal orang kampung aku dengar. Ketagih! Disebabkan hobi aku yang suka menyiasat, aku bongkar satu persatu kenapa dan mengapa mereka semua ketagih. Ikuti rahsia disebalik insan-insan...