Bab 1 - Balu Syurga

85.9K 296 25
                                    



Syazni termenung jauh. Hari ini tidak ramai pelanggan masuk ke kedai. Biasanya waktu senja-senja begini sudah ramai yang bertandang. Yang baru balik dari tugas. Yang baru ambil anak dari sekolah. Yang malas nak solat Maghrib. Semuanya mahu mengisi perut lapar dengan Mee Janda Leha yang terkenal melangkaui sempadan daerah Alor Gajah.

Menungannya jauh melangkaui parkir di depan kedai. Terus menembusi deretan kedai selepas itu. Tangan kirinya menongkat badan pada meja sambil bercekak pinggang sebelah. Syazni sekadar pekerja sambilan di sini. Mak Leha yang sudah lima tahun menjanda itu merupakan tuan kedai dan juga mak cik dari sebelah bapanya. Dia sengaja mencari pengalaman bekerja di sini walaupun gaji di McD lebih lumayan. Ada suatu yang menarik perasaan untuk bekerja di situ.

"Menung apa tuh? Mata air ke?"

"Eh Mak Leha ni! Terkejut Syazni..."

Mak Leha hanya tersenyum. Jari yang mencuit pinggang Syazni masih belum ditarik. Mak Leha atau gelaran Leha Janda menjadi buah mulut para bujang dan laki orang. Matanya bulat berbulu lentik asli. Rambutnya ikal mayang berdahi luas berdagu runcing. Badan Mak Leha yang seperti kerengga itu pasti memberhentikan jantung jejaka yang pertama kali melihat.

Wak Gebang pernah memujinya sebagai Che Ta daerah Alor Gajah. Din Syair menggelarkan pula balu syurga sesat di dunia. Ramai juga yang bertepuk tangan dalam diam bila suami Mak Leha meninggal dilanggar lori ayam. Kecantikan Mak Leha memang menjadi igauan lelaki dalam daerah. Kesimpulan pantas 'anda gay' diberikan jika sedikit pun tidak ghairah melihat.

"Penangan Man Parit lari..."

Mak Leha merujuk pada tukang masaknya yang lari tiga hari lepas. Dia lari bukan sebab tidak dibayar gaji. Sekadar mahu mengikuti aweknya ke Kuala Lumpur untuk memulakan hidup baru sebagai penulis alternatif.

Syazni mengeluh pendek. Tukang masak ganti tidak seampuh Man Parit. Masakan Dollah Rongak tak pernah konsisten. Kejap masin kejap manis. Bukan Mak Leha tidak mahu memasak. Dia mahu menjaga manicure kukunya yang dibuat di pekan tempoh hari. Syazni pernah juga menawarkan diri. Malangnya dia tidak tahu bezakan antara cuka dan minyak tanah.

"Dah toksah pikir lagi... Tuh, Sidang Senget minta kira tuh." Mak Leha menjuihkan bibir yang cukup seksi itu ke arah warga emas yang bersongkok senget. Syazni mengangguk patuh lalu melangkah malas. Mata Sidang Senget tertancap pada Mak Leha yang kembali ke arah dapur. Rendah sungguh sudut pandangnya.

"Mee Janda satu.. Kopi kaw keras satu... 6 ringgit". Sidang Senget perlahan menghulurkan not berwarna hijau dan berwarna biru.Matanya masih belum berkalih dari Mak Leha.

Kedai Mak Leha hanya menjual masakan bertemakan mee. Dari segala jenis mak nenek mee ada di sini. Cuma Mee Sua sahaja yang tidak dijual sebab itu hidangan semasa kematian. Segalanya bakal berubah sebaik sahaja seorang pelanggan masuk ke kedai.

Seorang pemuda berkulit putih bermata agak sepet. Tingginya sederhana dan rambutnya dipotong crew cut. Yang paling menarik mata adalah sebiji taik lalat timbul di bahagian tulang pipi kanan. Dia melangkah laju dan terus duduk di meja berhampiran.

"Nak minum apa?" tanya Syazni sebaik sahaja mendekati.

"Limau ais nipis"

"Makan?"

Dia mengangkat tinggi kepalanya dan melihat terus ke arah dapur kedai. Terlihat Mak Leha sibuk menarik teh dengan berpakaian kebaya nyonya dengan rambut disanggul anggun. Adegan yang diimpikan oleh setiap lelaki yang suka mengeteh disini.

Dia menggeleng tanda tidak mahu makan. Namun bibirnya mengatur satu permintaan. Terbuntang Syazni mendengarnya.

<bersambung>


NyamanWhere stories live. Discover now