Bab 1

13.3K 223 7
                                    

"Sayang, anak mak! Buat apa?" tegur Puan Azimah sambil merapati anak lelaki bongsunya yang baru menginjak umur enam tahun.

Dilihatnya wajah Hafiey monyok saja. Entah apa pula yang berlaku kepada Hafiey.

"Adik bosanlah. Tak ada kawan nak main sama." Petah mulut Hafiey memberitahu.

Seketika kemudian, Hafiey menundukkan wajahnya lagi. Hujung jari kakinya pula sudah menguis-nguis permaidani di situ.

"Tak main dengan along? Angah?" soal Puan Azimah lagi.

Hafiey tidak mengangkat wajah. Sebaliknya terus menggeleng perlahan.

"Tak tahu mana along dengan angah pergi."

Puan Azimah tersenyum lebar. Tahu sangat kalau Hafiey sudah mula bermain dengan hujung jari kakinya itu, tentu dia benar-benar kebosanan. Sebentar tadi, Puan Azimah sempat menyembunyikan sesuatu di belakang badannya. Perlahan-lahan dia mengeluarkan barang yang disorok itu lalu diletakkan di hadapan Hafiey.

"Ini untuk adik."

Hafiey terus mengangkat wajahnya. Anak matanya juga sudah bersinar-sinar apabila melihat satu bungkusan comel di hadapan. Tanpa membuang masa, tangan kecil Hafiey rakus membuka bungkusan itu. Dia sudah tidak sabar untuk melihat hadiah yang diberikan oleh emaknya.

"Suka tak?"

Bibir Hafiey sudah tersenyum lebar di situ sambil mengangguk-angguk. Tanda teruja dengan hadiah baru daripada Puan Azimah.

Senyuman lebar juga sudah terukir di wajah Puan Azimah. Mudah benar memujuk anak bongsunya itu. Langsung tak banyak ragam seperti along ataupun angahnya. Bagilah hadiah apa pun, Hafiey tetap menerimanya dengan gembira. Dan mungkin juga disebabkan itu, Puan Azimah jadi rapat dengan anak bongsunya itu kerana mereka berdua banyak menghabiskan masa bersama.

"Adik nak main kat luar. Nak tunjuk arnab ni dekat along dengan angah. Boleh?" putus Hafiey setelah lama bermain dengan patung arnab hadiah baru daripada Puan Azimah.

Puan Azimah mengangguk.

"Boleh. Tapi jangan main jauh sangat, ya?"

"Baik, mak!"

Makin melebar senyuman di wajah Puan Azimah.

Itulah Hafiey. Anak bongsunya. Senang mendengar kata. Pesan apa saja, terus dijawab baik, mak! Tanpa banyak soal. Tak macam along dengan angahnya. Apabila diberitahu, ada saja sesi soal jawab.

Hafiey sempat melambai-lambai tangannya ke arah Puan Azimah sebelum terkedek-kedek ke arah pintu utama untuk mencari along dengan angah katanya.

Kepala Puan Azimah sudah menggeleng perlahan dengan keletah anak bongsunya itu.

Hafiey berhenti di bawah pokok rendang tidak jauh dari rumahnya. Sudah puas mencari along dengan angahnya. Tapi, bayang mereka langsung tidak ditemuinya.

Entah mana pula along dengan angah ni pergi, ya?

Sudahnya, Hafiey bermain saja di bawah pokok itu dengan patung arnab baru miliknya itu. Sesekali, dia bercakap dengan patung arnab itu seolah-olah patung arnab itu dapat mendengar dan memahami setiap butir bicaranya.

Hafiey tersentak. Patung arnab kesayangannya sudah diragut dari tangannya. Di hadapannya kini, sudah ada beberapa orang budak yang umurnya lebih kurang sebaya saja dengan Hafiey.

Riak mimik muka Hafiey sudah berubah. Hilang sudah keceriaan yang tadinya terlukis di wajah kecil itu. Sedikit masa saja lagi, pasti tangisan pula akan kedengaran di situ.

Sayang, Anak Mak!Where stories live. Discover now