BAB 14

9.1K 485 106
                                    

"STAY HERE. Jangan bergerak selagi aku tak suruh," arah Arjuna dengan belakang tubuh yang mendepaniku. Kami sekarang sama-sama terperangkap di suatu sudut bangunan, dikelilingi lima orang lelaki bermuka bengis. Di sebalik persalinan hitam mereka, jelas tatu yang terukir hingga ke leher.

Rengusan kasar Arjuna menjamah telingaku. Kemudian dia bergerak satu tapak ke hadapan. Aku ditinggalkan bersandar sendiri.

"Berani kau cari pasal dengan aku?" bentak Arjuna. Keras dan dingin.

Salah seorang lelaki bertatu tidak semena-mena, meledakkan tawa. Tekaku, dia merupakan ketua kepada kumpulan penyerang ini.

"Aku cari pasal dengan kau sebab kau adalah kau."

Arjuna gelak sinis. Dari belakang, aku nampak dia mengepal-ngepalkan jari, seolah-seolah sedang memanaskan badan. Langkahnya pula semakin menjauh dan kini berada di tengah-tengah antara lima lawan. Mereka semua mengelilinginya. Tangan masing-masing menggenggam batang besbal, kayu dan pisau.

"Kau tahu tak?" soal Arjuna tiba-tiba. Nada suaranya tetap seperti tadi. Mendatar tidak berperasaan, seolah-olah apa yang sedang berlaku ini tidak memberi apa-apa kesan. Tiada gundah. Tiada gentar.

"Apa?" Lelaki bertatu yang sama bertanya kembali.

"Kau memang bodoh. Tak reti cari lawan."

Usai menyinis, Arjuna terus menyerbu ke hadapan. Tumbukan kuat dilepaskan ke muka lelaki di hadapannya. Serentak itu, empat lelaki lain membuka langkah. Namun, Arjuna lebih pantas bergerak. Lawan di belakangnya ditendang hingga melayang. Kemudian, dia mencengkam leher lelaki yang ditumbuk tadi, memusing badan dan menghadap lawan-lawannya. Lelaki dalam cengkaman digunakan sebagai penghadang badan. Semerta, konco-konco yang lain menghentikan tindakan. Mereka saling berpandangan, tidak pasti sama ada mahu menyerang atau berundur.

"Kau tunggu apa lagi?! Serang dia!!!" Lelaki yang dijadikan 'tebusan' menengking kuat. Secepat kilat, orang suruhannya menerpa ke hadapan.

Sepantas itu juga, Arjuna menghentak tahanannya dan melemparnya ke tepi. Tersembam lelaki tersebut ke jalan. Sesudah itu, Arjuna memulakan serangan. Tanpa sebarang senjata, dia bergantung sepenuhnya kepada tubuh badan sendiri. Tumbukan demi tumbukan, tendangan demi tendangan dilontarkan buat lawan-lawannya.

Sesekali Arjuna menggunakan lengannya sebagai perisai kepada kayu yang hampir mengenai kepala. Batang besbal dan pisau yang datang melibas juga dielak berkali-kali. Setiap serangan berjaya ditepis. Gerakannya tangkas, deras dan tepat. Bahkan, mukanya tetap tenang bersahaja. Sekejap-sekejap, dia menendang dan menumbuk, kemudian melompat tinggi dan menghentak. Kalau tangan kanannya terperangkap, dia menggunakan tangan kiri. Kalau kedua-duanya dipegang, kakinya menjadi senjata. Cekap sekali menyerang dan mengelak. Lawan-lawannya berkali-kali tersungkur dan bangkit kembali. Tiada tanda-tanda mahu mengalah.

Aku melihat semuanya dengan mata yang terbelalak luas. Walaupun Arjuna jelas tidak bermasalah dalam berlawan, namun rasa takut dan bimbang tetap membuak-buak dalam diri. Tolong...tolonglah jangan ada apa-apa jadi kepada dia!

"Arghh!!"

Bahuku terangkat. Jeritan Arjuna menyentak kuat. Dia sudah pun terbang ditendang, terhentak ke dinding dan kemudian jatuh tergolek.

"Arjuna!" Aku menjerit.

"Jangan datang!" tegahnya lantang tanpa menoleh kepadaku. Terhuyung-hayang dia mengangkat tubuh dan kembali menghadap lawan-lawannya. Mereka juga tampak tercungap-cungap. Muka masing-masing lencun dengan darah.

"Nampaknya kau memang sayangkan dia."

Sekonyong-konyong, muncul satu suara di peluput telingaku. Dekat! Mukaku terpusing ke sebelah kiri. Saat itu juga, mataku membuntang. Betul-betul di hadapanku adalah muka lelaki bertatu yang bercakap tadi. Bibirnya yang berdarah senget menyinis. Pandangan mata jelas jahatnya.

SALJU KYOTO (Published)Where stories live. Discover now