BAB 12

10K 508 192
                                    

PEMANDANGAN di luar jendela, aku pandang sepi. Segala kejadian dan setiap perbualan dengan dua insan sebentar tadi bermain-main dalam fikiran. Hanya dalam pertemuan yang sekejap, aku sudah pun dimomokkan dengan seribu satu informasi.

Tentang Arjuna dan Aizukotetsu-kai. Tentang Badri dan Sanshin-kai.

Ah, otakku hampir biul. Jantungku sebu. Entah apa yang patut aku fikir dan rasa sekarang. Aku tidak tahu.

"Cik Nailah tak apa-apa?"

Tanpa semena-mena, suara Ryohei menujah anak telinga. Aku mengalih pandang kepada dia yang khusyuk memandu.

"Saya okey."

"Apa yang dia bagitahu tentang Tuan Arjuna?" soal Ryohei.

"Kenapa awak rasa dia bagitahu saya sesuatu?" Soalan juga yang aku lontarkan.

"Lepas apa yang dah berlaku, tak mungkin dia berdiam sahaja bila dia ada peluang untuk bercakap dengan Cik Nailah." Ryohei membalas. Agak sinis bunyinya,

"Tak kira yang dia cakap, saya bukannya boleh buat apa-apa, kan? In the end, saya kena balik kepada Arjuna."

"Tolong jangan bercakap seolah-olah Tuan Arjuna jahat orangnya. Saya pernah bagitahu Cik Nailah, kan? Jangan berfikiran buruk tentang dia."

Suara Ryohei kedengaran tegas sekali. Dia sedikit beremosi.

"Dia...penting untuk awak, kan?" tekaku perlahan.

"Bagi orang seperti saya dan Sato, Tuan Arjuna dan Puan Besar adalah segala-galanya."

Aku mengerutkan dahi. "Puan Besar?"

"Ibu kepada Tuan Arjuna."

"Dia sekarang..."

"Dah tak ada. Sudah meninggal dunia," sambung Ryohei.

Aku terdiam sejenak, sebelum ragu-ragu menyoal, "Kenapa? Macam mana?"

Soalanku terbiar sepi. Ryohei membatu tanpa sepatah kata. Aku di belakang cuba melihat pantulan mukanya di cermin. Yang aku nampak cuma sebahagian mata yang jelas sayu.

"Itu hal keluarga Tuan Arjuna. Saya tak ada hak untuk bagitahu." Setelah beberapa minit berlalu, Ryohei akhirnya bersuara.

Keluhan kecil terlepas keluar dari mulut. Terselit rasa ingin membantah tetapi aku faham. Kalau aku jadi Arjuna, aku juga tidak gemar kalau ada orang yang sibuk menyebar cerita tentang kematian ibu kandung sendiri.

"Saya..." Aku menelan air liur sebelum menyambung lagi. "Perlu percayakan dia, kan?"

"Jawapan tu ada di tangan Cik Nailah sendiri."

Aku dipagut hairan. "Maksud awak?"

"Cuba Cik Nailah lihat Tuan Arjuna berdasarkan diri dia sendiri, bukan keturunan dia. Bukan juga hubungan dia dengan Aizukotetsu-kai."

"Awak fikir saya tak cuba? Saya tak buta, Ryohei. Saya boleh nampak dia baik orangnya. Saya juga bukan jenis manusia yang tak kenang budi. Tapi..." Suaraku tenggelam saat hati mula dirasuk emosi berat.

"Tapi apa?"

"Saya...saya takut," akuiku jujur.

"Cik Nailah takutkan Tuan Arjuna?"

Aku senyum kelat dan menggeleng.

"Pelik, kan? Saya fikir saya akan takut kepada dia lepas tahu hal sebenar. Tapi, tak. Saya langsung tak ada perasaan takut kepada Arjuna."

"Kalau bukan sebab dia, jadi..."

"Apa akan jadi lepas ni? Itu yang saya takutkan. Berapa lama saya kena tinggal dengan Arjuna? Berapa lama saya perlu dekat dengan dia? Bagaimana kalau musuh-musuh dia cuba apa-apakan saya? Saya datang jauh-jauh dari Malaysia bukan untuk dibunuh, Ryohei."

SALJU KYOTO (Published)Where stories live. Discover now