"Si ka.. Ehh si kakak belum tidur lagi? Pura-pura tidur ya?? Ingat nenek tidak tahu?"

"Mahu nenek temankan? Boleh sahaja. Nenek duduk di sebelah kakak yaaa"

Tiba-tiba nyanyian itu berhenti. Keadaan berubah menjadi sunyi sepi. Qisrina mula berasa tidak sedap hati. Dia segera memandang ke arah kirinya iaitu menghadap adiknya yang sedang tertidur lena.

"PSSTTT" bisik Qisrina.

"PSSTTTT" Bisiknya lagi tetapi dengan nada yang lebih kuat berbanding tadi.

"Kakak buat apa tu? Kenapa nak gerak adik? Nenek kan ada di sebelah ni. Pandanglah sini.."

Suara itu datang semula. Tetapi ia betul-betul datang dari arah kanannya yang menghadap pintu.

Qisrina tidak berani memandang ke arah itu. Dia pantas menutupkan matanya. Setelah itu, surah al fatihah mula dibaca di dalam hati. Habis berterabur semuanya. Ayat yang semudah itu menjadi tunggang langgang akibat takut ya amat.

Nenek yang seperti tahu apa yang sedang dilakukan oleh gadis itu terus ketawa geli hati. Bukan ketawa yang kedengaran biasa bagi manusia, tetapi ketawa yang mampu meremangkan bulu roma bagi yang mendengarnya.

"Kakak tidak mahu bermain dengan nenek? Nenek kesunyian... nenek tiada kawan... Nenek sudah tiada cucu.. semua tidak mahu kawan dengan nenek. kakak janganlah tidur dulu.. kita main dulu ya? Kakak.. pandang lah sini......"

Suara itu datang lagi dan lagi. Ia bergema dan terus bergema di seluruh bilik itu. Tina pula masih tidur dengan nyenyak dan langsung tidak sedar apa yang sedang berlaku pada kakaknya.

"Pergi. Aku mahu tidur." Qisrina terketar-ketar bersuara. Hatinya menjadi luruh apabila lengan kanannya terasa disentuh oleh sesuatu.

"Pergi!" Qisrina meninggikan suara. Kali ini dia sudah naik angin. Matanya masih tertutup rapi, tidak berani bertentang mata dengan makhluk yang sedang bertenggek pada lampu tidurnya.

Lima minit sudah berlalu. Keadaan suasana bilik itu sudah kembali seperti biasa. Qisrina berasa lega.

'dia sudah pergi agaknya.' Bisik Qisrina dalam hati.

Dia bersiap sedia untuk memberanikan dirinya bagi memandang ke arah kanannya itu.

Satu.. dua...tiga! Qisrina memusing ke kanan. Haaa nasib baik tiada apa-apa!

Kepalanya ditoleh ke arah Tina pula. Masih tiada apa-apa yang mencurigakan. Semua peralatan dan perabot terletak dengan elok. Langsung tiada yang berubah.

Qisrina menarik nafas lega. Dia bangun dan segera menarik selimutnya yang berada di bahagian kakinya. Dia ingin menutup mukanya dengan selimut tersebut. Dia segera baring semula.

Dia memandang ke atas dan..

Jantungnya terasa berhenti buat beberapa saat. Alangkah terkejutnya Qisrina apabila matanya menatap sepasang mata putih yang sedang melekat di dinding betul-betul di atas bahagian kepalanya.

Satu entiti yang wajahnya persis seperti seorang nenek tua berkulit reput dan terdapat cacing putih itu sedang tersenyum menyeringai kepadanya lalu menampakkan giginya yang tajam serta kotor. Cecair merah pekat juga mengalir keluar dari mulutnya apabila dia membuka mulut.

Gadis di hadapannya itu sudah tidak bergerak seperti patung cendana. Qisrina mahu menjerit memanggil Tina tetapi mulutnya terasa seperti berat sekali.

Badannya juga tidak boleh digerakkan. Dia terpaku, melihat makhluk hodoh itu. Air matanya mengalir dengan deras turun mengena baju tidurnya.

Nenek itu dengan pantas memegang kasar lengan Qisrina. Qisrina mahu melawan namun berhenti bergerak apabila lidah milik nenek itu mula keluar dari mulutnya dan berada betul-betul di hadapan matanya. Lidah itu kelihatan jijik sekali dan berbau hanyir. Nenek itu ketawa mengilai.

Qisrina pantas menutup matanya berdoa agar perkara itu akan berakhir. Badannya terhenjut-henjut akibat menangis serta menggigil.

"Kakak.. bukalah mata..." rayu nenek itu dengan suara tangisan pula. Perasaan ingin tahu Qisrina membuak-buak. Dia membuka matanya dan melihat wajah ngeri itu.

Kedua-dua belah mata nenek itu mula berubah saiz. Mata makhluk yang normal saiznya itu serta merta bergerak ke tepi dan menjadi panjang. Dia menyeringai sekali lagi membuatkan Qisrina menjerit seperti terkena histeria.

Nenek itu mengilai lagi melihat mangsanya yang semakin ketakutan melihat dirinya itu. Kepalanya bergerak laju ke kiri dan ke kanan sambil menghasilkan bunyi seperti tulang yang patah.

Qisrina semakin galak berteriak kuat.

Tina lantas terkejut dan bangkit dek terdengar jeritan kakaknya itu. Dia segera berlari membuka suis lampu utama.

Selepas lampu terbuka, Tina dapat melihat satu lembaga besar yang tingginya cecah ke siling keluar dari bilik melalui tingkap bilik mereka.

Dia memandang kakaknya yang sudah pengsan tidak sedarkan diri.

"Kakak??" Gerak Tina. Dia berlari mendapatkan air di bilik air lalu dipercikkan pada wajah kakaknya. Dia berzikir ke arah telinga kakaknya. Beberapa saat kemudian mata kakaknya terbuka luas.

"AAAH!!" Qisrina menjerit ketakutan. Dia cepat-cepat memeluk Tina apabila sedar akan Tina berada di sisinya.

Tangisan Qisrina mula memenuhi bilik mereka pada awal pagi itu.







Sixth Sense : KembarWhere stories live. Discover now