Bab 2 - Bagaimana Menulis Novel Boleh Menghasilkan Duit?

9.9K 115 9
                                    

SAYA percaya ramai yang tertanya-tanya atau ingin sekali tahu sama ada dengan menulis novel seseorang itu mampu menghasilkan duit ataupun tidak. Namun saya juga percaya sekiranya dilihat melalui perkembangan yang berlaku di sekeliling kita, kemeriahan di kedai-kedai buku dan juga di pesta-pesta buku sedikit sebanyak memberi gambaran secara realiti.

Lahirnya penulis-penulis baharu setiap masa; tidak kira usia dan dari latar pendidikan yang pelbagai membuktikan bidang penulisan novel ialah satu bidang yang berkembang dan berdaya maju. Begitu juga dengan meningkatkan bilangan syarikat-syarikat penerbitan baharu dan bertambahnya bilangan novel yang dihasilkan setiap tahun. Semuanya menunjukkan peningkatan dan memberikan jawapan yang positif.

Mungkin sukar sekali untuk kita mencungkil berapa jumlah sebenar pendapatan seseorang penulis novel kerana soal pendapatan adalah salah satu perkara yang selalu dirahsiakan dan dianggap peribadi.

Bagaimanapun, mungkin anda pernah terbaca di internet mahupun di media cetak bagaimana sesetengah penulis novel yang berjaya memperolehi pendapatan hampir sejuta setahun. Malah bagi pendapat saya dalam soal ini, pendapatan seorang penulis novel itu sememangnya tidak ada batas; selagi ada novel yang dicetak dan ada pembeli.

Malah sekiranya diperhatikan novel-novel yang lama juga masih dicari pembaca. Sesetengahnya disunting semula dan ditukar kulit buku untuk menyesuaikan dengan perubahan zaman. Misalnya, cerita bersiri seram Bercakap Dengan Jin tulisan penulis Tamar Jalis telah dikumpul dan dibukukan semula.

Kesimpulannya, selagi sesebuah novel itu dicetak dan berada di pasaran bermakna pendapatan seseorang penulis itu sentiasa ada. Itu yang sering dikatakan menulis sekali, dapat duit berkali-kali.

Maksudnya, kita hanya perlu memerah idea, tenaga, tumpuan dan masa untuk menghasilkan sebuah manuskrip sekali sahaja; namun hasil pendapatan melaluinya akan terus mengalir tahun demi tahun selepas itu.

Cara bagaimana seseorang penulis mendapat pendapatan melalui novel yang ditulis:

1. Bayaran penuh (lump sum) – Di mana penerbit membayar sejumlah wang sekali sahaja bagi mendapatkan hak milik penuh kepada manuskrip yang telah dihasilkan. Contohnya: RM 2000.00. Dalam kes ini penulis tidak lagi mendapat apa-apa bayaran tidak kira berapa banyak jumlah naskah yang telah dijual.

2. Bayaran royalti – Ini yang biasa diamalkan di negara kita. Jumlah royalti berbeza-beza. Ada yang 5%, 10%, 12% dan 16% dari harga buku; mengikut ketetapan yang telah dibuat oleh rumah penerbitan. Bayaran royalti akan diperolehi mengikut ketetapan yang sudah dipersetujui di dalam surat perjanjian penerbitan. Ada yang bayar sekali setahun, dua kali setahun ataupun empat kali setahun. Kekerapan berbeza mengikut rumah penerbitan.

3. Bayaran penuh – Sekiranya seorang penulis novel itu bertindak menerbitkan sendiri novel yang ditulis maka keuntungan selepas ditolak kos adalah hak milik penulis sepenuhnya.

4. Upah menulis: Di mana penulis bertindak sebagai 'Ghost Writer' kepada penulis lain. Penulis akan dibayar sejumlah upah untuk manuskrip yang telah dihasilkan. Bagaimanapun penulis akan kehilangan hak ke atas manuskrip tersebut. Ini sesuai untuk penulis yang hanya mahu mencari wang tetapi tidak mahu dikenali sebagai penulis. Jumlah upah bergantung kepada hasil persetujuan antara kedua-dua belah pihak.

Contoh pengiraan yang mudah: Royalti 10% dari harga buku RM 20 = RM 2.00. Sekiranya dijual sebanyak 15K naskhah maka royalti yang dibayar ialah RM 30K.

Oleh itu, jumlah royalti yang diterima bergantung kepada tiga faktor penting: nilai persen royalti, harga buku dan jumlah buku yang dijual.

Selain itu, pendapatan daripada novel akan bertambah apabila novel itu terpilih untuk:

1. Adaptasi drama – jumlah jualan novel meningkat maka jumlah royalti akan meningkat.

2. Adaptasi filem – jumlah jualan novel meningkat maka jumlah royalti akan meningkat.

3. Memenangi apa-apa anugerah.

Bagaimanapun, saya tidak mahu menjanjikan mimpi yang terlalu indah buat anda kerana dalam apa pun bidang yang kita ceburi ada yang gagal dan ada yang berjaya. Oleh itu dalam mencapai tujuan untuk menghasilkan pendapatan melalui novel ada beberapa perkara yang kita harus fikirkan:

1. Di dalam kumpulan khalayak pembaca mana yang paling ramai. Kita boleh lihat pada carta bestseller setiap bulan yang dikeluarkan oleh kedai-kedai buku. Apa yang boleh kita katakan buat masa sekarang ialah, kumpulan novel popular atau arus perdana sedang menguasai carta. Diikuti oleh kumpulan novel Indie dan yang terakhir sekali ialah kumpulan novel sastera.

Oleh itu, tidak menghairankan sekiranya penulis yang bergiat di dalam penghasilan novel popular mendapat pendapatan yang lebih tinggi berbanding penulis dari kumpulan yang lain sekiranya mengikut dari jumlah jualan naskhah.

2. Genre novel mana yang mempunyai jumlah pembaca paling tinggi. Ini juga boleh kita sandarkan kepada carta bestseller yang dikeluarkan setiap bulan. Secara umumnya boleh kita katakan bahawa genre Cinta masih mendahului carta dan diikuti oleh Genre Thriller dan Seram.

Oleh itu, secara umumnya juga tentulah penulis genre Cinta mendapat pendapatan yang lebih tinggi berbanding penulis genre lain. Walaupun mungkin tidak begitu tepat bagi sesetengah penulis yang sudah ada nama besar dalam bidang penulisan.

3. Kualiti novel mengikut kecenderungan khalayak pembeli. Setiap penulis mempunyai bakat dan keunikan masing-masing. Namun adakalanya bakat dan keunikan ini harus dilentur dengan tepat bagi mencapai sesuatu tujuan. Dalam hal ini penulis mestilah memahami apa yang disebut sebagai kualiti.

Kesilapan akan berlaku apabila kita mengukur atau menyukat sesuatu dengan menggunakan ALAT yang salah.

Apa yang dipanggil sebagai berkualiti pada novel-novel sastera belum tentu dilihat sebagai berkualiti pada novel-novel popular. Begitu juga apa yang dilihat sebagai berkualiti dalam novel-novel popular belum tentu diterima sebagai berkualiti pada novel-novel Indie yang tidak ada batas dari sudut idea dan gaya penyampaian.

Maksudnya, sekiranya kita menulis dengan acuan sastera untuk pasaran novel popular, maka harapan untuk melihat manuskrip kita ditolak adalah tinggi. Begitu juga dengan pasaran Indie. Sekiranya kita menghasilkan manuskrip untuk penerbitan Indie dengan gaya novel popular, isu popular maka harapan untuk melihat manuskrip itu diterima adalah tipis.

Akhir sekali, sekiranya kita menulis untuk penerbitan sastera yang mementingkan gaya bahasa, keindahan ayat, pemikiran tinggi dan pengisian yang mendalam dengan acuan Indie maka usaha itu mungkin sia-sia dan merugikan masa.

Oleh itu, lebih elok sebelum kita memulakan langkah menulis atau menghasilkan sesebuah manuskrip kita perlu sedar akan masalah ini dan memilih apa yang paling sesuai dan selesa dengan jiwa kita. Ini sangat penting kerana tanpa kesesuaian dan keselesaan kita tidak akan bertahan lama dan sanggup berkorban tenaga, masa dan wang untuk menghasilkan sesebuah manuskrip.

Tidak ada bidang yang tidak ada masalah dan halangan. Mimpi juga bukan mudah menjadi realiti walaupun kita sudah terjaga. Bidang penulisan juga bukan satu bidang yang mudah dan boleh dibuat sambil lewa. Ada banyak lagi hal sebelum kita mengecapi manisnya sebuah usaha. Namun, sekiranya orang lain boleh berjaya mengapa kita tidak?

Dengan izin Allah S.W.T Yang Maha Pemurah, semoga dilorongkan kita ke jalan ilmu yang tepat, dicurahkan ilham yang baik, diringankan segala perasaan dan bebanan jiwa maka dengan kehendak-Nya siaplah sebuah manuskrip yang diberkati, yang diterima pembaca dan yang memberikan manfaat. Luruskan niat, sentiasa memperbaiki diri dan ingat Allah S.W.T selalu. Moga-moga pendapatan kita melalui menulis novel ini berkat dan tidak putus.

Selepas ini akan mula mengenali hal-hal yang berkaitan dengan penghasilan sebuah manuskrip.


Tulis Novel? Anda Pun Boleh!Where stories live. Discover now