"Ha cerita cepat," sampuk Iman lagi membuatkan Qhalish ketawa geram.

Setelah tawa antara mereka berdua reda, Qhalish mula bercerita. "Sebenarnya kakak aku okey aje dengan Arisa tu. Cuma masalah sekarang ni aku."

Iman pandang temannya itu. Kali ini dia tidak menyampuk lagi, sekadar menjongket kening sedikit dan tarik nafas, tanda suruh Qhalish teruskan cerita walalupun dia dah terbelit dengan kata-kata temannya itu. Sekejap salahkan kakaknya, sekarang diri sendiri pulak.

"Aku tak sampai hati nak langkah bendul."

Bekerut juga dahi Iman tapi lama kelamaan dia faham. Tapi... masih was-was. "Cop! Maksud kau bendul kakak kau?"

Qhalish mengangguk perlahan.

"Kakak kau belum kahwin lagi ke?"

Qhalish angguk lagi.

"Ni kakak yang kau selalu cerita tu ke?" Memang diakui Iman antara sahabat yang selalu menjadi tempat Qhalish bercerita dahulu.

Mungkin juga kerana hampir tiap semester mereka sebilik. Kalau tak sebilik, serumah. Dan mungkin juga disebabkan Iman setahun lebih tua daripada Qhalish, jadi dia mudah bercerita dan meminta pendapat.

"Yalah... aku kan dua beradik aje dengan kakak aku."

Iman sekadar senyum menunjuk gigi. Dia hampir terlupa tentang itu. "Asal, tunang kakak kau tak nak kahwin lagi ke?" Pelik juga Iman. Seingatnya beza umur antara Qhalish dengan kakaknya jauh juga, takkanlah kakaknya masih belum mahu berkahwin.

"Kalau ada." Cebik Qhalish.

Okey sekali lagi Iman tak faham. Apakah pertemuan selepas enam tahun terpisah dia perlu belajar teknik membaca otak Qhalish? Owh dia belum ada kelebihan itu lagi.

"Dah tu boyfriend?" duga Iman lagi.

"Macam ni ajelah. Kakak aku tu kawan baik pun dia tak ada, kau rasa possibleke tuk dia ada boyfriend?"

Soalan Qhalish itu buatkan Iman terdiam seketika. Kemudian dia menyoal. Tapi sedikit teragak-agak takut ia menyentap perasaan temannya itu pula. "Erk... dia tu ada sejarah hitam ke? Maksud aku putus tunang ke, atau boyfrienddia meninggal ke?"

"Tak ada pulak. Maksud aku, aku tak tau sebab kakak aku tu bukannya jenis suka cerita bab-bab macam tu. Tapi dulu masa arwah ibu aku ada pernahlah jugak aku dengar dia cerita kat ibu aku yang dia tengah berkawan dengan seseorang. Tapi lepas tu diam aje. Aku pun tak tau apa jadi. Putuslah kut."

"Kau tak pernah tanya?" korek Iman lagi.

"Tak payah tanya pun aku dah ada jawapan. Kalau dah rutin harian dia bangun pagi, pergi kerja, dah malam baru balik, esok ulang benda yang sama. Bila cuti duduk dekat rumah aje, telefon pun bukan selalu melekat kat tangan melainkan hal kerja, jawapannya memang tak ada boyfriendlah kan?"

"Hmm... betul jugak tu. Dah tu macam mana kau nak selesaikan masalah kau ni?" soal Iman ingin tahu kalau temannya sudah ada perancangan atau strategi.

"Entahlah. Famili Arisa dah bising sebenarnya. Adik Arisa yang baru bertunang tiga bulan lepas pun dah nak kahwin. Kita orang yang dah lama bertunang pun tak kahwin-kahwin lagi. Itu yang aku tengah pening ni."

"Tak payah pening-pening. Kalau dah memang kakak kau tu tak ada boyfriend, apa kata kau carikan aje untuk dia kalau kau takut sangat nak langkah bendul dia." Tiba-tiba terpancul kata-kata itu daripada mulut Iman.

Mungkin juga dia berada dalam situasi mamanya mencarikan jodoh untuknya, jadi dia cadangkan perkara yang sama juga kepada Qhalish walaupun dia tahu perkara itu merimaskan dan tidak menyeronokkan pun.

"Itulah, aku pernah terfikir macam tu jugak. Kakak aku tu nampak macam garang, sebab tu laki susah nak dekat dengan dia. Tapi bila dah kenal baru orang tau dialah orang yang paling baik hati."

Iman sekadar mendengar penjelasan Qhalish. Air yang hampir habis itu disedut terus. Tapi saat air itu melalui kerongkongnya, dapat dirasakan anak mata Qhalish tepat memandangnya. Memanglah dari awal pertemuan tadi Qhalish memandangnya, tapi kali ini dengan pandangan yang berlainan. Macam ada yang tak kena pula pada dirinya.

"Kau cakap tadi kau solo lagi, kan?" soal Qhalish dengan nada serius.

Iman mengangguk perlahan dengan wajah yang masih cuak. Dalam hatinya, apahal pulak kawan aku ni tiba-tiba jadi serius?

"Kau... normal lagi kan?" soal Qhalish lagi dengan nada yang masih serius walaupun sedikit teragak-agak.

Terus Iman tepuk meja. Dia faham maksud soalan itu. Dia bukan... Nak sebut pun dia tak sanggup. "Kau ingat aku dah hilang akal ke?"

Balasan Iman langsung tidak memberi kesan kepada Qhalish. Wajahnya masih serius. Dengan selambanya dia terus menyoal, "Kau nak kakak aku tak?"

Kali ini Iman terdiam terus. Wajah marah digelar gaytadi bertukar kaku. Dia jadi tercengang dengan soalan itu.

Ini pelawaan atau soalan perangkap? soalnya dalam hati.

Salah dia juga mencadangkan supaya Qhalish mencari bakal suami buat kakaknya.

"Kau nak tak jadi abang ipar aku?" pelawa Qhalish lagi setelah mengetahui lelaki di depannya itu bukan bapa, suami, tunang atau kekasih kepada sesiapa.

"Apa kau merepek ni?" Iman cuba untuk ketawa. Dia cuba buang perasaan yang terpancar di wajahnya.

"Tak. Aku serius ni," balas Qhalish membunuh tawa lelaki berkulit putih bersih yang sememangnya kacak sedari dulu lagi. Kalau tak, tak mungkinlah dapat gelaran mat romeo.

Iman pandang Qhalish. Sambil menongkat dagu, Qhalish menunggu jawapan daripadanya. Dia jadi keliru. Mana dia kenal kakak kepada temannya itu. Dulu pun dia hanya dengar cerita sahaja. Lagipun kakak kepada temannya itu lebih tua daripada dia.

Bola matanya merenung Qhalish yang setia menunggu jawapan seolah mengharapkan dia bersetuju.

Apa yang patut aku jawab ni? 

CINTA BELUM TAMAT TEMPOHWhere stories live. Discover now