DINGIN angin malam menerpa kulit. Mata sudah begitu berat tetapi dia enggan untuk tidur. Rasanya tidak menyenangkan jika tidur sendirian.
"Argh!" jeritnya apabila tiba-tiba sahaja bahunya disentuh.
"Sorry," ucap Nain seraya membetulkan jaket yang dia pakaikan pada Naiz. Rasa bersalah pula ketika melihat raut ketakutan Naiz tadi.
"Reen!" Naiz marah namun matanya berkaca-kaca. Naiz fikir ada yang menceroboh rumah mereka. Dia jelas ketakutan dan panik. Mengapa Nain tidak boleh menegurnya seperti orang normal? Mengapa perlu mengejut begitu?
"I'm sorry, Kiizran." Naiz menyeka air matanya dan Nain sedikit menjauh daripada adiknya yang sedang panik.
Naiz berusaha mengawal nafas dan rasa takutnya. 'Itu cuma Nain. Itu cuma Nain.' Berkali-kali kata itu diulang dalam kepalanya.
"Reen, orang nak masuk bilik. Orang tidur sorang je harini. Maaf susahkan Reen," tuturnya kemudian terus pergi tinggalkan Nain.
Nain hanya melihat. Suara Naiz bergetar. Jelas sekali lelaki itu sedang tidak baik-baik sahaja. Nain mengeluh kecil. Dia hanya berniat untuk bantu Naiz yang kedinginan. Daripada jauh Nain sudah melihat adik kembarnya itu sedikit menggigil. Tidak sangka pula akan jadi begini.
Sementara itu di dalam bilik Naiz dia sedang meringkuk di bawah selimut. Setiap kali dia merasakan perasaan yang sama, dadanya akan sering merasa seakan-akan dicengkam kuat oleh sesuatu.
"Reen je... Dia cuma Kazreen. Dia abang aku. Dia abang aku..." gumamnya.
"Reen tak pernah cuba buat apa-apa dekat aku. Dia boleh dipercayai. Dia tak pernah sentuh aku macam orang sentuh aku. Dia tak pernah... Aku boleh percayakan dia... Aku boleh..."
Namun sekuat mana pun Naiz cuba, dia hanya mengingat kenangan pahit. Rasa sakit itu terus terasa dan dia tidak mampu percayakan sesiapa walau orang itu ialah abang kembarnya sendiri. Nain Kazreen.
Esak tangisnya perlahan. Tetapi cukup memilukan.
"Kiiz..."
"Reen jangan dekat... Tolong jangan dekat... Orang takut. Orang tak boleh. Orang minta maaf... Maaf, Reen. Maaf..."
Nain diam melihat Naiz dari balik selimut. Kata siapa keadaan Naiz membaik? Nyatanya masih sama. Tiada perubahan.
"Reen ada dekat sini kalau Kiiz perlu."
"Tinggalkan orang. Reen tak perlu teman. Orang tak boleh kalau Reen dekat sini. Orang tak boleh lawan. Orang tak kuat, Reen. Orang tak percayakan Reen. Maaf."
Nain mengangguk faham. "Okay." Nain kemudian terus keluar dan pintu bilik Naiz dibiarkan terbuka sedikit.
Nain duduk bersandar pada dinding di tepi pintu bilik itu. Suara tangisan Naiz kedengaran kuat bahkan daripada luar. Hal ini pernah terjadi dulu...
"Awak ni Nain... Papa dah pesan banyak kali kan? Jangan terkejutkan adik. Jangan sengaja buat dia resah. Adik tu bila dah trigger susah untuk okay balik." Nain meringis perlahan apabila lukanya ditekan.
"Sorry."
"Biasa sangat buat adik macam tu. Nanti kalau papa dah tak ada, awak masih macam ni juga, siapa yang nak tolong adik? Awak dengar tak tu, Nain? Dia menangis daripada tadi lagi."
Nain tarik tangannya dan sembunyikan di belakang badan. Tuan Muaz mengeluh.
"Papa cakap sikit je awak dah merajuk. Sentap. Papa bukan nak marah awak, Nain. Papa cuma nak nasihatkan awak." Nain menunduk.
"Nain... Adik tu perlukan kita. Sama macam awak yang perlukan papa setiap kali awak rasa hilang arah. Bila awak silap sikit je, adik boleh hilang. Sama macam papa yang hilang awak, Nain."
"Kiiz sejuk. Nain cuma selimutkan."
"Dan awak tahu yang adik masih dalam keadaan tak stabil. Awak patutnya tegur dia dulu sebelum sentuh dia. Bukannya awak tak tahu kan, Nain?" balas Tuan Muaz. Nain kemam bibir.
"Maaf..."
"Papa tak marah. Papa cuma nak awak belajar bertanggungjawab dan bertimbang rasa. Papa nak awak fikir dulu apa kesannya sebelum awak buat sesuatu."
Nain menyeka air mata yang mengalir tanpa izin. Entah mengapa boleh menangis pun tidak tahu. Nain merengus kecil. Naiz yang cengeng benar-benar mengusik kehidupannya.
"Tanggungjawab?"
JAM di telefon dilihat. Mulut ditekup kerana menguap. Sekarang sudah jam dua pagi dan dia merasa sejuk kerana terus duduk begini.
Uhuk! Uhuk!
Risau. Sejak dua jam yang lalu Naiz jadi batuk-batuk. Nain ingin merawat adik kembarnya itu tetapi dia ragu. Takut dia malah semakin menyakiti Naiz.
Uhuk! Huwek!
Nain tidak tahan lagi. Dia bangun dan tolak daun pintu perlahan-lahan. Naiz dihampiri.
"Kiiz..."
"Kiiz, bangun minum air." Naiz membuka matanya berat. Nain dipandang.
"Minum air." Botol air Naiz di atas meja diambil dan dihulurkan di hadapannya.
"Keluar, Reen..."
"Minum air tu. Kiiz tak sihat ni."
Naiz menerima botol itu dan meneguk air beberapa kali bagi menghilangkan rasa perit pada tekaknya.
"Dah. Reen keluar." Naiz menghalau seraya meletakkan botol air kembali ke atas meja.
"Kalau ada apa-apa panggil Reen. Jangan diam. Reen ada depan tu." Naiz acuh. Selimut ditarik menutupi tubuh hingga ke leher.
"Kiiz, Reen minta maaf."
"Keluar."
"Reen tak sengaja. Reen betul-betul minta maaf." Naiz membelakangi Nain.
"Reen tak buat lagi."
"Nain Kazreen, keluar." Lambat-lambat Nain akur dan menapak keluar dari sana.
Naiz pula menoleh sedikit memastikan Nain betul-betul pergi. Nafas dihela. Syukurlah Nain tidak perhatikan tangannya yang menggigil dan terluka.
Ternyata rasa selamat tadi hanya bertahan sesaat. Apabila tubuhnya letih, ingatan buruk selalu datang tanpa izin dengan begitu mudah. Dia mahu Nain ada. Tetapi dia tidak mampu menerima kehadiran Nain di dekatnya sekarang.
Sementara itu, Nain kembali ke tempatnya tadi dan menunggu. Saat azan dari telefonnya berbunyi barulah dia beranjak pergi. Itu pun tidak sampai dua puluh minit. Nain kembali semula dengan masih memakai kain pelikat dan kopiah untuk membangunkan Naiz.
Tetapi Naiz tidak dapat bangun. Dia tidak bermaya bahkan untuk sekadar angkat tangan.
Awalnya Nain menawarkan bantuan supaya Naiz tetap boleh solat walau dengan berbaring. Namun Naiz dengan keadaan sekarang tidak boleh disentuh walau sedikit. Jadi pujukan dan tawarannya sia-sia.
Tiada yang dapat dilakukan lagi sekarang selain berikan Naiz ruang sendirian.
"Reen nak masak dekat bawah. Kalau ada apa-apa Kiiz boleh call."
Naiz masih mengacuhkan dirinya. Nain mengeluh. Enggan memaksa lagi tetapi ini cukup mengelirukan. Dia jadi tidak tahu bila Naiz akan menerimanya dan percayakan dirinya kembali. Dia juga jadi tidak tahu bila perlu bersikap lembut dan bila perlu bersikap acuh.
"Rest well."
-BERSAMBUNG
ANDA SEDANG MEMBACA
[C] NAIN NAIZ 2
Random"Papa dah tak ada, Kiiz..." -Nain Kazreen Mendengar berita itu Naiz jadi hilang arah. sedih, marah, semua sudah tidak dapat dia bezakan. Tambahan pula Nain yang seakan-akan tidak peduli dengan pemergiaan papa mereka. Nain kejam. "Kalau Reen tak ada...
![[C] NAIN NAIZ 2](https://img.wattpad.com/cover/404594915-64-k199492.jpg)