Tiga

1.4K 31 5
                                    

"Minum Yus, dah sejuk tak sedap." kata Cikgu Basri sambil mematahkan biskut cap pingpong. Cikgu Basri memang berpengalaman luas dalam bidang ini. Dia akan memastikan biskut yang dipatahkankan itu lurus selurus-lurusnya. Setelah yakin, dengan penuh tertib dia mencelup biskut ke dalam teh o panas.

"Macam mana cikgu? Ramai tak setuju dengan idea saya ni. Tapi, saya dah nekad. Dan memang ini yang saya mahu." Yusri kemudian mengangkat cawan dan meniup teh o.

Sebenarnya buah pendapat Cikgu Basri memang sering dipinta oleh Yusri. Bagi Yusri, Cikgu Basri bukan orang lain dan sudah menjadi seperti bapa keduanya sendiri. Bapa keduanya ini lebih penting dari Bapa Kemerdekaan dan Bapa Pembangunan. Begitulah betapa penting Cikgu Basri pada dirinya.

Di alam persekolahan, Cikgu Basri adalah seorang yang garang. Pantang salah sedikit, beliau pasti mengangkat tangan membuat sudut 170 darjah, kemudian seperti roket rotan akan lancar menuju punggung murid. Entah kenapa Cikgu Basri perlu menonjolkan diri sebagai guru yang garang tidaklah diketahui. Padahal dia cuma ajar muzik.

Pernah sekali kerana sudah terlampau bosan mendenda muridnya dengan rotan, Yusri disuruh Cikgu Basri berdiri di atas kerusi dan didenda menyanyi lagu. Yusri kaget. Beliau bukanlah seorang yang berjiwa muzik. Apatah lagi menghafal lirik.

"Aku tak kira, kau nyanyi jugak. Tak kisah lagu apa." kata Cikgu Basri di zaman mudanya.

Berbekalkan pengalamannya menonton televisyen di rumah, Yusri akhirnya teringat satu lagu.

"Zaitun, kenali kesucianmu...
Aneka jenis barangan bermutuuuu.
Zaitun, untuk anda sekeluargaaaaaa, Zaitun jenamanyaaaaaa."

Seluruh kelas ketawa dan bersorak, kemudian terdiam kembali bila melihat Cikgu Basri.

"Sedap betul nyanyian awak Yusri. Saya tak sangka awak boleh nyanyi sebaik ini," puji Cikgu Basri.

"Terima kasih cikgu, mak saya pun selalu kata suara saya sedap," balas Yusri.

Cikgu Basri kemudian menyambung,
"Sekarang awak turun, lari 2 pusingan dekat padang. Dah habis 2 pusingan, buat lagi 2 pusingan dan terus begitu sampai loceng berbunyi."

Kalau diikutkan hati Yusri, mahu sahaja dia buat-buat seperti disampuk hantu.

Entahkan jadi entahkan tidakWhere stories live. Discover now