prolog🔥

357 11 1
                                        


Wad itu sunyi. Hanya kedengaran bunyi kipas siling yang berputar perlahan, seolah-olah malas mengusir udara beku yang menyelimuti ruang itu. Deru pendingin hawa menikam tulang, membuatkan tubuh kecil itu semakin meringkuk di atas katil hospital. Kedua lututnya dirapatkan ke dada, cuba mencari sedikit rasa selamat. Selimut putih menutupi tubuhnya, namun dingin itu tetap menyelinap masuk hingga ke tulang sumsum.

Di tangannya, boneka lusuh yang sudah pudar warnanya digenggam erat, satu-satunya peneman sejak malam hitam itu. Boneka itu berbau debu dan sedikit hanyir, seakan masih menyimpan memori peristiwa yang cuba dilupakannya.

Di luar tingkap, hujan renyai-renyai membasahi bumi. Titik-titik air membentuk alur yang memanjang di kaca, seakan mengalirkan kesedihan yang berat. Dia tahu, di luar sana tanah pusara seorang kanak-kanak perempuan masih merah. Pengebumian itu berlangsung tanpa dirinya.

Dia hanya melihat dari jauh, dari dalam ambulans yang membawanya pulang ke hospital.

Tiba-tiba... PRANG! pintu wad terkuak kasar. Bau minyak wangi mewah yang terlalu kuat menyusup masuk, bersama hentakan tumit kasut yang keras, laju, dan penuh amarah.

Seorang wanita berdiri di ambang pintu. Wajahnya pucat, namun matanya merah menyala seperti bara yang tidak pernah padam. Pandangan itu menikam tepat ke arah tubuh kecil di katil, membawa bersama gelombang kebencian yang membuatkan nafasnya tersekat.

“Puaskah hati kau sekarang, hah?!” suaranya memecah kesunyian, lantang dan bergetar. “Sebab kau… satu-satunya anak perempuan aku dah mati!”

Budak kecil itu terkaku. Matanya membulat, bibirnya terbuka, tetapi tiada suara yang mampu keluar. Nafasnya pendek-pendek, seakan dicekik oleh udara yang semakin pekat.

Wanita itu mara, hentakan tumitnya semakin dekat. Tok! Tok! Tok! Bunyi itu bergema, seperti memaku jantung budak itu ke tulang rusuk. Kini dia berdiri di tepi katil, menjulang tubuhnya di atas anak kecil yang kerdil dan ketakutan.

“Kalau bukan kerana kau, dia takkan mati!” suaranya lantang, menikam tanpa belas. “Kau tu sial… anak pembawa malang! Dari lahir, kau bunuh mak kau… sekarang kau rampas nyawa anak aku pula!”

Setiap perkataan itu bagai sebilah pisau yang menyayat perlahan. Anak kecil itu menggeleng lemah, air mata mula bergenang. Namun wanita itu tidak berhenti.

Dia menunduk, wajahnya kini hanya sejengkal dari wajah kecil itu. Matanya menusuk masuk, seolah mahu mengorek terus ke dasar jiwa. Nafasnya panas, menghembus tepat ke muka budak itu.

“Kau patutnya yang mati, bukannya dia,” bisiknya perlahan tetapi berbisa. “Kau patut ikut mak kau mati.”

Kata-kata itu meresap seperti racun. Dunia kanak-kanak itu terasa gelap. Segala bunyi di sekeliling hilang, hanya gema ayat itu bergema tanpa henti di dalam kepalanya. Tangannya semakin kuat memeluk boneka lusuh itu, seakan mahu melindungi dirinya daripada dunia yang begitu kejam.

Sejak hari itu, kata-kata itu menjadi sumpahan yang membelenggu hidupnya. Rasa bersalah itu membina penjara yang tidak pernah membebaskannya… walau bertahun-tahun berlalu.

 Rasa bersalah itu membina penjara yang tidak pernah membebaskannya… walau bertahun-tahun berlalu

К сожалению, это изображение не соответствует нашим правилам. Чтобы продолжить публикацию, пожалуйста, удалите изображение или загрузите другое.


PLUMERIANA

Erica Juwita : Strings Of Fate (Og) Место, где живут истории. Откройте их для себя