Bab 2

5.8K 163 44
                                    

Aku bukannya tidak pernah bergaduh sebelum ini. Namun itu tidak bermakna aku seorang kaki gaduh. Bergaduh bukanlah rutin harian hidupku. Kalau setahun sekali itu sudah kira banyaklah itu. Jadi apabila aku dituduh mencuri telefon pintar orang lain, dan mereka yang menuduh itu berdiri mengelilingi aku, aku cuma rasakan satu cara sahaja untuk aku lepaskan diri: Gaduh.

Sebab itulah aku membuat keputusan untuk menumbuk dagu lelaki di hadapanku tadi. Ya, aku yang tumbuk dia. Bukan dia tumbuk aku. Aku harapkan dengan satu tumbukan itu cukup untuk membuka ruang supaya aku boleh melarikan diri.

Aku bukannyalah lembik. Tumbukan aku tadi itu memang aku lepaskan sekuat hatiku. Aku tahu, sebab buku lima aku sedang amat kesakitan sekarang. Rasa macam nak patah. Jadi secara logiknya, mestilah dagu lelaki yang aku tumbuk itu lebih sakit lagi. Ataupun sekurang-kurangnya sama sakit dengan buku limaku ini.

Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Dia sedikit pun tidak menunjukkan rasa sakit. Maknanya hanya ada dua kemungkinan. Pertama, dia seorang alien kebal yang datang daripada planet asalnya yang sudah musnah. Tetapi disebabkan tiada t-shirt tertulis huruf S di dadanya, hipotesis ini salah. Jadi aku fikirkan kemungkinan kedua. Iaitu dia sedah biasa kena. Dia kaki gaduh sampaikan dia sudah lali dengan rasa tumbukan ke dagu. Maknanya dia seorang kaki gaduh.

Maknanya, masalah besar bakal menimpa diri aku.

Mungkin memang silap aku sebab aku tumbuk lelaki yang paling besar. Kalau aku tumbuk si Aiman itu mungkin ada peluang.

Aku terus melutut sambil mengusap-usap buku limaku yang kesakitan. Aku mendongak melihat ke sekelilingku. Lelaki yang aku tumbuk itu sedang mengusap-usap dagunya. Kawan-kawannya yang lain semua sedang gelak terbahak-bahak. Aku tidak pasti sama ada mereka menggelakkan aku ataupun dia.

Lelaki itu melangkah setapak ke arahku. Aku bangun segera dan bergerak undur ke belakang. Malangnya langkahku terhenti apabila aku berlanggar dengan si Aiman yang menghalang laluanku.

Tanpa berkata apa-apa, dia menolak aku ke arah lelaki yang aku tumbuk tadi. Lelaki itu pula dengan sepantas kilat mencengkam leherku dengan tangan kirinya. Genggamannya kuat, membuatkan aku rasa yang dia seorang kidal. Namun apa yang menyusul adalah tumbukan padu daripada tangan kanannya tepat kepada rusuk kiriku. Dia lepaskan cengkaman dan aku menggelupur di lantai, mencari nafas.

Aku diludah.

Kemudian aku tidak dapat dengar dengan jelas perbualan mereka. Aku cuma dengar "batang besi" diucapkan salah seorang daripada mereka. Aku yakin yang ia merujuk kepada senjata yang akan digunakan untuk memukul aku dan bukannya merujuk kepada mana-mana organ badan.

Aku tidak boleh tunggu lagi. Aku perlu melepaskan diriku.

Aku mendongak sedikit dan melihat ke sekelilingku. Aku cuba mengagak siapa yang paling lemah antara mereka.

Aiman.

Tanpa berfikir panjang, aku melepaskan tumbukan ke arah telurnya dan dalam sekelip mata, aku terus berlari. Bajuku direntap salah seorang daripada mereka tetapi aku berjaya meronta melepaskan diri.

Aku terus berlari ke arah berlawanan daripada gerai burger. Aku tidak menoleh ke belakang, tetapi aku dapat dengar bunyi tapak kaki yang mengejar.

Aku terus berlari masuk ke dalam kawasan semak, menjauhi lampu jalan. Selepas beberapa saat berlari baru aku teringat yang aku sedang menuju ke arah yang salah. Kerana apa yang ada di hadapan hanyalah tebing bukit. Dan ianya sangat curam.

Sebelum ini, di bawah tebing bukit itu ada kolam. Sejak sebulan lalu ia sudah dikambus dan diganti dengan tanah merah. Jika tunggu setahun lagi, akan ada kawasan rumah baru di situ.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Sep 10, 2015 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Burger Ayam Double SpecialWhere stories live. Discover now