#PCUBB-Part 2

11.3K 384 13


LISA keluar dari bilik temu duga dengan perasaan hampa. Dia sudah agak dari awal lagi bahawa dia pasti tidak akan berjaya dalam temu duga itu. Masuk sahaja ke dalam bilik temu duga, badannya sudah diserang seram sejuk. Itu belum lagi bertentang mata dengan tiga orang panel yang menemu duganya.

Ada seorang lelaki dan dua orang perempuan. Lelaki yang menemu duga itu memperkenalkan diri sebagai Pengurus Sumber Manusia. Sekali tengok memang sukar hendak percaya sebab orangnya muda lagi. Mungkin dalam lingkungan umur 30-an. Kacak dan tidak lekang dengan senyuman. Masatu, perasaan seram takut lenyap tiba-tiba.

Tapi perasaan itu datang kembali apabila ditegur oleh salah seorang perempuan. Ada dua orang perempuan di dalam itu. Seorang agak muda dan nampak gaya macam pekerja biasa dan seorang lagi agak berumur. Muka pun macam singa tidak cukup makan. Masam memanjang. Dialah yang banyak tanya soalan yang susah. Dia jugalah yang buat Lisa tergagap-gagap apabila menjawab soalan.

Kesudahannya, dia kata, "Baiklah Lisa. Sampai sini saja pertemuan kita hari ini.Kami akan hubungi awak nanti. Terima kasih."

Ini bukan kali pertama Lisa menghadiri temu duga. Dulu, masa tamat belajar di universiti, sebelum jadi graduan lagi dia sudah masuk bertempur di medan mencari kerja. Macam-macam temu duga dia pergi. Semuanya tidak berjaya. Lebih-lebih lagi syarikat besar seperti ini. Baru sahaja jejak kaki, hilang segala persediaan yang dipraktikkan.

Semuanya sebab dia tiada keyakinan diri. Dia cuba untuk perangi masalah ini sejak dulu lagi tapi tiap kali dia cuba untuk percayakan diri sendiri, ada sahaja yang berlaku sehingga melemahkan semangatnya. Sebab itulah dia mengambil keputusan untuk menjadi penulis novel. Pada awalnya dia ingat kerja menulis hanya berangan dan tulis angan-angan itu tapi jangkaannya meleset sama sekali.

Hai, apalah nak jadi dengan masa depan aku ni. Dari dulu sampai sekarangtak pernah lulus temu duga. Agaknya aku kena mandi bunga kut, barulah masalah ni hilang.

Lisa jeling tengok jam tangannya. Ada setengah jam lagi untuk rehat. Dia teringat pesanan Suhaila malam tadi.

"Kalau kau dah habis interview, tunggu aku tau. Kita rehat sama-sama." Lantas dia keluarkan telefon bimbit dan memberikan mesej kepada Suhaila.

Aku dah habis interview. Sekarang on the way ke cafeteria.

Send! Tanpa berlengah lagi dia terus menapak ke cafeteria yang terletak di tingkat bawah bangunan itu.

Cafeteria pada waktu ini agak lengang sedikit. Belum tiba waktu rehat lagi agaknya. Hanya ada beberapa orang yang sedang makan di sana. Tanpa berlengah lagi, Lisa terus ambil sepinggan nasi dan capai beberapa jenis lauk. Nak tunggu Suhaila turun lambat lagi. Lebih baik dia capai makanan dulu. Kalau tiba waktu rehat, mungkin cafeteria ini akan penuh dengan orang. Sudahlah dia mudah stres dengan orangramai.

Selepas bayar, dia terus duduk di meja yang kosong. Bila sudah duduk barulah dia perasan ada seorang lelaki yang memakai baju T dan berseluar jeans duduk di hujung meja itu. Mata bertentang mata. Mata lelaki itu meliar tengok dia macam orang tak puas hati.

Apa? Salah ke duduk sini? Macamlah cafeteria ni bapak kau yang punya! Gertak Lisa dalam hati. Lantaklah. Dia tidak peduli. Dia sudah terduduk di meja itu. Lagipun jauh benar mereka berdua.

Tiba-tiba telefon bimbitnya bergetar. Panggilan daripada Suhaila. Tanpa buang masa dia menjawab panggilan itu.

"So macam mana dengan interview tu?" tanya Suhaila tanpa beri salam terlebih dahulu. Dia pula yang terlebih teruja.

"Kau rehat nanti aku cerita," kata Lisa sambil jeling tengok jam. Ada dalam 15 minit lagi.

"Aku tak dapat turun rehat kut."

PLOT CINTA UNTUK BIG BOSSRead this story for FREE!