Episode 3

126 5 0
                                        



AIMAN berlari menuju ke bilik wad VIP suaminya dengan tergesa-gesa sebaik sahaja menerima panggilan daripada ibu mertuanya yang memaklumkan bahawa suaminya telah sedar. Sampai di hadapan pintu bilik wad 2235, langkahnya terhenti. Tangannya terkaku di tombol pintu, dadanya berombak. Hati resah. Takut dimarahi kerana meninggalkan suaminya sebentar tadi. Takut bertentang mata dengannya. Takut akan reaksi lelaki itu. Bagaimana harus dia berhadapan dengan suaminya buat pertama kali?

Mana tidaknya, sewaktu akad nikah, dia hanya sempat melihat belakang tubuh suaminya sahaja. Usai akad, lelaki itu terus menghilang, meninggalkannya tanpa sebarang kata. Kini, mereka akan bertentang mata buat pertama kali. Mampukah dia diterima, atau sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dalam wad ini, lafaz cerai yang akan menyambutnya?

Aiman menunduk, merenung cincin yang tersarung di jari manisnya. Hatinya bergetar.

'Tak apa, Iman. Masuk je. Apa pun jadi, kau hadap. Yakin dengan ketentuan Allah.' Hatinya memujuk sendiri.

Dengan nafas berat, dia membuka pintu. Mata ibu mertuanya menyambut dengan senyuman, tangan kanan dihulurkan meminta dia mendekat. Aiman melangkah dan menyambut pelukan itu.

"Sayang, Ibal dah sedar," ujar Puan Sri Sharifah Aminah dengan nada lembut.

Wanita itu menolak tubuhnya perlahan, menghampirkan Aiman ke sisi katil. Kemudian, dia dan suaminya, Tan Sri Syed Kadir, berlalu keluar memberi ruang kepada mereka berdua.

"Assalamualaikum, beautiful."

Aiman terkedu. Pandangannya jatuh pada lelaki yang kini sedang tersenyum ke arahnya. Tangan kanan lelaki itu dihulurkan. Aiman menyambutnya dengan tangan yang sedikit menggigil, lalu mencium lembut belakang tangan itu. Iqbal tersenyum lebar. Comel.

"Wa... waalaikumsalam..." Aiman menjawab ragu-ragu. Dia tak tahu mahu memanggil lelaki ini dengan apa. Ibal? Abang? Darling? Intan payung?

"Sayang boleh panggil 'abang', okay?" seakan mengerti kegusaran isterinya, Iqbal menenangkan.

"Ab... abang..." ucap Aiman perlahan, masih terpaut erat pada tangan suaminya.

Iqbal menarik lembut tangannya, memberi isyarat agar Aiman duduk di sisi katilnya. Perlahan-lahan, Aiman melabuhkan punggung. Kedua tangannya masih dalam genggaman erat suaminya. Iqbal yang bersandar pada kepala katil, memerhatikan wajah Aiman yang semakin lama semakin merah menahan malu.

Jari manis Aiman disentuh, cincin yang tersemat di situ ditarik keluar perlahan. Aiman terkedu. Dadanya terasa dihimpit sesuatu. Panas bahang di muka, air matanya bertakung. Digigit bibir bawah menahan tangisan, namun gagal. Setitis demi setitis air mata mengalir membasahi pipi.

"Abang... maafkan Iman. Iman salah tinggalkan abang sekejap. Iman cuma pergi sarapan sebab malam tadi tak sempat makan. Maafkan Iman... Tapi... abang... abang nak lepaskan Iman ke?" suara Aiman bergetar, esakannya tertahan-tahan.

"Hey sayang... kenapa menangis ni? Siapa kata abang nak lepaskan sayang?" Iqbal bersuara lembut, ibu jarinya mengusap pipi isterinya, menyapu air mata yang mengalir.

Ya Allah, kenapa comel sangat isteri aku ni? Polosnya dia. Tangisannya, rayuannya... buatkan dia bertambah cantik. Wajahnya jadi merah menahan malu.

"Sayang, abang buka cincin ni sebab abang nak sarungkan semula... dengan cara yang betul."

Aiman mengangkat wajahnya, matanya sayu. Iqbal mencapai jari manisnya semula, menyarungkan cincin nikah itu dengan cermat.

"Selepas kita nikah, abang tak sempat sarungkan cincin ni untuk sayang. Abang tahu abang salah, tinggalkan sayang macam tu saja. Dan balasannya, abang dah terima, sayang. Abang ikutkan kata hati. Bagi abang peluang, ya?" rayu Iqbal penuh harapan.

TEPAT PADA WAKTUNYA (HOLD)Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang