PERASAAN Aiman bercampur baur takut, sedih, dan cemas silih berganti. Dengan langkah yang semakin laju, dia berlari ke arah ibu bapa mertuanya yang setia menunggu di depan pintu bilik pembedahan. Nafasnya termengah, tetapi dia tetap menghampiri Puan Sri Sharifah Aminah lalu duduk di sebelah wanita itu di ruang menunggu.
Puan Sri yang mendengar derapan langkah segera menoleh. Saat matanya menangkap wajah menantunya, tanpa sepatah kata, dia terus menarik Aiman ke dalam pelukan. Tubuhnya menggigil, esakannya pecah di telinga Aiman.
"Insya-Allah, mama... semuanya akan baik-baik saja. Mama kena banyak berdoa. Doa seorang ibu itu mustajab, mampu menembusi langit." Pujuk Aiman, tangannya lembut mengusap belakang tubuh ibu mertuanya yang tersedu-sedu.
Tan Sri Syed Kadir pula hanya diam. Tubuhnya tegak, namun jemari digenggam erat, tanda gelora dalam hati yang cuba disembunyikan.
Tepat jam 4.30 petang, selepas majlis akad nikah berlangsung, telefon Tan Sri Syed Kadir berdering nyaring. Panggilan itu datang dari pihak polis.
"Tuan, anak tuan, Syed Al Iqbal... dia terlibat dalam satu kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan."
Dada Tan Sri Syed Kadir berdentum hebat.
Mangsa lain hanya mengalami kecederaan ringan, tetapi tidak bagi Iqbal. Kereta yang dipandunya hilang kawalan ketika cuba mengelak daripada melanggar kenderaan yang berhenti mengejut akibat sebuah lori gula yang terbabas, menghalang laluan.
Namun, keputusan refleks yang dibuat oleh Iqbal telah mengakibatkan dua buah kereta lain turut terlibat dalam kemalangan kecil.
Berbeza dengan mereka, Nissan GTR milik Iqbal berpusing beberapa kali sebelum terbalik di tepi cerun lebuh raya.
Nasib masih menyebelahinya—beberapa orang saksi segera bertindak, menarik tubuh Iqbal keluar sebelum keretanya meletup. Tubuhnya berlumuran darah, tidak sedarkan diri. Mujurlah, kebetulan ada ambulans berhampiran yang tersekat dalam kesesakan lalu lintas. Iqbal dikejarkan ke hospital secepat mungkin.
'Ya Allah, Ya Rahim, selamatkanlah suamiku...' Aiman merayu dalam hati, air mata yang ditahan menitis jua.
Pintu bilik kecemasan terbuka. Seorang jururawat melangkah keluar, wajahnya tegang.
"Pihak waris, pesakit memerlukan penderma darah segera. Namun, darah yang diperlukan ialah jenis O-, dan hospital kini tiada bekalan."
Aiman tersentak. Darah dalam tubuhnya seperti berhenti mengalir seketika. Namun, tanpa ragu, dia terus bangkit dari kerusi.
"Saya... ambil darah saya! Darah saya jenis O-," katanya, bersungguh-sungguh.
Jururawat segera mengangguk, lalu mengarahkannya ke bilik pemeriksaan untuk memastikan kesesuaian darahnya. Setelah semuanya disahkan selamat, darahnya diambil untuk disalurkan kepada suaminya.
Keluar dari bilik kecemasan, wajah Aiman tampak pucat. Kepalanya terasa berpusing, langkahnya sedikit goyah. Namun, dia gagahkan diri menghampiri ibu mertuanya.
Puan Sri Sharifah Aminah yang melihat keadaan menantunya terus menghampiri, lalu memimpin Aiman duduk di kerusi. Tangannya lembut mengusap belakang tubuh Aiman.
"Iman okey? Pening ke?" soalnya risau.
Aiman hanya mengangguk perlahan.
Tan Sri Syed Kadir yang sedari tadi diam, akhirnya bersuara. "Irfan, pergi ke kantin hospital. Belikan makanan untuk Aiman." Arahnya kepada pengawal peribadinya.
***
SETELAH satu jam menanti dengan penuh debaran, seorang doktor melangkah keluar dari bilik kecemasan dan menghampiri Tan Sri Syed Kadir. Dengan wajah tenang tetapi serius, doktor itu memaklumkan bahawa pembedahan telah berjaya. Namun, keadaan Iqbal masih belum stabil. Dia koma, dan tempoh untuk dia sedar tidak dapat dijangkakan.
Hari demi hari berlalu, minggu bertukar bulan, dan tanpa sedar, sudah hampir satu tahun enam bulan Iqbal terlantar tanpa sebarang reaksi. Aiman, sebagai isteri yang setia, tidak pernah sekali pun meninggalkan suaminya. Setiap hari, dia tidur di sisi katil Iqbal, memastikan suaminya dijaga dengan penuh kasih sayang. Tangannya yang lembut akan mengelap tubuh suaminya dengan penuh ketelitian, memastikan setiap inci tubuhnya bersih dan terjaga. Dia juga akan mencukur jambang halus yang mula tumbuh di wajah suaminya, dan setiap kali wajah tampan itu semakin terserlah selepas dicukur, jantung Aiman berdetak lebih laju.
Namun, apabila tiba waktu untuk menukar pakaian suaminya, wajahnya merona merah dan tubuhnya menjadi kaku. Perasaan malunya mengatasi segalanya, menyebabkan ibu mertuanya yang mengambil alih tugas itu.
Puan Sri Sharifah Aminah sering tersenyum melihat gelagat menantunya yang pemalu itu. Beberapa kali, beliau sengaja membiarkan Aiman melakukannya sendiri, tetapi Aiman tetap teguh dengan sifat malunya. Wajahnya yang putih berseri akan bertukar merah bak delima masak, membuatkan ibu mertuanya semakin menyayanginya.
Pada suatu malam, ketika jam menunjukkan pukul empat pagi, Aiman bangkit dari tidur. Seperti kebiasaannya, dia mengambil wuduk dan menunaikan solat tahajud. Dengan penuh khusyuk, dia membaca surah Yasin di sisi suaminya. Seusai bacaan, dia mengangkat tangan, berdoa sungguh-sungguh dengan hati yang penuh harapan.
"Ya Allah, Tuhan sekalian manusia, hilangkanlah penyakit suamiku, sembuhkanlah dia, kerana Engkaulah Maha Penyembuh. Tidak ada kesembuhan kecuali kesembuhan daripada-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan sebarang penyakit."
Tanpa disedari, jari Iqbal bergerak beberapa kali. Selepas sepuluh minit, kelopak matanya mula berkedip, dan perlahan-lahan, dia membuka matanya. Pandangannya masih kabur, tetapi dia dapat mengenali suasana di sekelilingnya. Dia pasti, dia berada di hospital. Ketika deria penglihatannya mula menyesuaikan diri, telinganya menangkap suara esakan halus.
"Ya Allah, angkatlah segala bala darinya, jadikan sakitnya sebagai penghapus dosa, dan berikanlah aku kesabaran serta kekuatan dalam menerima ketentuan-Mu. Engkau yang menjodohkan kami berdua dan Engkau juga yang menguatkan jodoh kami. Berikan kesempatan kami untuk menjalinkan hubungan kami dengan penuh kasih dan sayang dalam rahmat-Mu. Ampunilah suamiku dan daku. Aamiin."
Hati Iqbal tersentuh mendengar rintihan itu. Hatinya yakin bahawa suara itu milik isterinya. Senyuman kecil terukir di bibirnya sebelum dia kembali terlelap akibat keletihan.
Ketika azan subuh berkumandang dari masjid bersebelahan hospital, Aiman menyelesaikan solatnya dengan zikir dan doa. Telekung dan sejadahnya dilipat kemas sebelum disimpan di dalam laci di sisi katil wad. Dia menoleh sekilas ke arah suaminya yang masih tidak bergerak, kemudian melangkah keluar untuk mencari sarapan. Perutnya yang berbunyi dari malam tadi meminta untuk diisi.
Beberapa minit selepas Aiman keluar, Iqbal terjaga sekali lagi. Kepalanya masih terasa berat dan berpinar, tetapi hatinya tiba-tiba dipenuhi ketenangan. Matanya melilau mencari jam dinding. Melihat jarumnya, dia tahu masih sempat untuk menunaikan solat subuh. Dengan sisa tenaga yang ada, dia menekan butang kecemasan. Tidak lama kemudian, seorang jururawat wanita bersama seorang jururawat lelaki masuk ke dalam biliknya.
"To... long... saya ambil... wu... duk. Sa... yaa... nak... so... lat." Ucap Iqbal dalam nada lemah, suaranya serak kerana tekaknya masih kering.
Jururawat itu tersenyum dan saling berpandangan sebelum jururawat lelaki membantu Iqbal mengambil wuduk. Jururawat wanita pula keluar untuk memaklumkan keadaan Iqbal kepada doktor serta warisnya.
Di dalam hati Iqbal, ada rasa syukur yang tidak terungkap dengan kata-kata. Dia yakin, doanya telah didengari. Dan lebih daripada itu, dia yakin doa isterinya telah menjadi asbab dia diberi peluang kedua untuk hidup.
ANDA SEDANG MEMBACA
TEPAT PADA WAKTUNYA (HOLD)
RomanceKakaknya, Asyikin Amelia, telah terbang ke Amerika untuk mengejar impiannya sebagai model antarabangsa, meninggalkan satu tanggungjawab besar di bahu Aiman Amalina. Selesai solat tahajud, istikharah, dan taubat, matanya tertancap pada baju nikah yan...
