بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
TIUPAN angin pantai yang lembut menyapa tubuh Aiman Amalina, membawa sedikit ketenangan di hatinya yang sedang dilanda kesedihan dan kekecewaan atas tindakan keluarganya terhadap dirinya.
"Ayah tak kira! Kau kena kahwin dengan dia. Kau gantikan tempat kakak kau." Tegas Dato' Jalal kepada anak bongsunya, Aiman.
"Tak, ayah! Tolonglah... Iman tak nak! Iman ada cita-cita, ayah. Iman nak kejar impian Iman!" rayu Aiman, bersimpuh di kaki Dato' Jalal.
"Cita-cita konon! Tak ada gunanya pun cita-cita kau tu! Impian kakak kau lagi bermakna daripada impian kau." Sindir Dato' Jalal dengan nada penuh sinis.
"Sekurang-kurangnya, kakak kau dapat membanggakan nama keluarga. Kau? Apa yang kau dah sumbangkan? Nak buka kafe konon! Jadi, kau kena kahwin juga dengan anak kawan aku untuk tolong aku dalam bisnes. Sekurang-kurangnya, ada juga faedahnya kau dalam keluarga ni." Herdik Dato' Jalal tajam.
"Ibu... tolonglah pujuk ayah... Iman tak nak... lelaki tu Iman tak kenal..." Tangisan Aiman semakin kuat, merayu kepada Datin Sakinah yang sekadar duduk diam dengan wajah yang kosong. Tanpa sepatah kata, wanita itu bangun dan berlalu pergi, mengabaikan rayuan anaknya.
"Dah! Jangan nak berdrama di sini! Jumaat inikau nikah. FAHAM?!" tengking Dato' Jalal garang.
***
SETELAH segala luahan hati dicoretkan dalam diari, Aiman bangkit dari batu besar yang terletak di kawasan berbatu di Pantai Tengah, Langkawi. Dia melangkah perlahan ke arah kereta Kancilnya, membuka pintu, lalu masuk ke dalam. Enjin dihidupkan, namun hatinya terasa begitu pilu saat memandu pulang ke rumah.
Hanya tinggal satu hari sahaja lagi sebelum pernikahannya berlangsung. Kakaknya, Asyikin Amelia, telah terbang ke Amerika Syarikat untuk mengejar impiannya sebagai model antarabangsa.
Usai menunaikan solat tahajud, istikharah, dan taubat, Aiman merenung kosong ke arah baju nikahnya yang tergantung di rak kot. Tiada perasaan gembira atau bahagia seperti bakal pengantin lain. Hatinya seakan-akan menanti hari terakhir kehidupannya.
'Ya Allah, aku berserah segala ketentuan hidupku kepada-Mu. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui setiap aturan hidup hamba-Mu ini.' Doanya dalam hati.
Jam menunjukkan tepat pukul lima pagi. Masih ada satu jam sebelum masuknya waktu Subuh. Dalam hening pagi, Aiman duduk membaca al-Quran. Pintu biliknya tiba-tiba terbuka perlahan. Kelihatan Puan Sakinah melangkah masuk dan menuju ke arah anak bongsunya yang sedang mengaji. Dengan lembut, dia meletakkan tangannya di bahu Aiman.
Terkejut, Aiman segera menoleh ke arah ibunya, namun mulutnya masih melantunkan ayat terakhir surah al-Kahf.
"Sadaqallahul 'Azim..." bacaan Aiman tamat. Dia menutup al-Quran dengan tenang.
"Ya, ibu? Nak Iman bantu apa-apa ke? Nanti lepas Subuh Iman buat sarapan, ya?" tanyanya lembut sambil mengusap tangan Datin Sakinah.
"Tak apa, Iman. Nanti lepas Subuh kita buat sarapan sama-sama, ya," ujar Datin Sakinah, tersenyum tipis.
"Iman, ini ibu ada sesuatu untuk diserahkan kepada kamu. Hadiah daripada arwah nenek, khusus untuk anak perempuan yang bakal berkahwin dahulu." Perlahan, Datin Sakinah menghulurkan satu uncang baldu berwarna hijau.
Aiman menggeleng sambil menolak lembut pemberian itu. "Ibu, Iman tak nak. Ibu simpanlah. Iman tak nak kahwin..." rayunya dengan linangan air mata.
"Dah, kesat air mata tu. Ibu tak boleh buat apa-apa, Iman. Tapi ibu percaya... kamu akan bahagia."
Tanpa menunggu jawapan, Datin Sakinah bangkit dan berlalu keluar dari bilik. Aiman hanya mampu memandang tubuh ibunya yang semakin menjauh sebelum pintu kembali tertutup.
***
"AKU terima nikahnya Aiman Amalina binti Jalal dengan mas kahwinnya tiga ratus ringgit tunai."
Dengan sekali lafaz, tangan yang disalam digenggam erat.
"Sah?" tanya Dato' Jalal kepada saksi di sisi.
"Sah..."
"Sah..."
"Sah..."
Tok kadi yang duduk bersebelahan dengan wali pengantin perempuan membaca doa. Selesai akad nikah, pengantin lelaki segera bangkit menuju ke sudut terpencil untuk menunaikan solat syukur.
Tiada cincin yang disarungkan ke jari pengantin perempuan. Selesai solat, Syed Al Iqbal bangkit dari sejadah, lalu tanpa sepatah kata, dia terus melangkah keluar dari dewan masjid. Nissan GTR miliknya dipandu laju, tanpa sempat dia menoleh walau sekali untuk melihat wajah isterinya.
Tiga Hari Sebelum Nikah
"Papa tak kira! Kamu kena kahwin dan dapatkan pewaris tahun ini juga!" tegas Tan Sri Syed Kadir.
"Papa, Mama... tak boleh buat Ibal macam ni! Kalau kakak dah tak nak, biarlah. Kenapa adiknya pula yang dijadikan mangsa? Kesian dia! Bagaimana masa depannya? Kenapa mesti paksa? Ibal tak pernah jumpa adik Asyikin tu..." bantah Iqbal, suaranya masih lembut dan sopan walaupun jelas nada kecewa dengan tindakan ibu bapanya.
"Pihak keluarga pengantin perempuan dah setuju, Ibal. Kali ini sahaja, dengar cakap Papa dan Mama, boleh?" pujuk Puan Sri Sharifah Aminah.
"Tok Aki tahu tak?" tanya Iqbal lagi.
"Kamu tak perlu risau pasal tu. Pandai Papa uruskan dengan ayah Papa. Kamu jangan masuk campur." Jawab Tan Sri Syed Kadir tegas.
Kecewa. Hatinya sakit dengan tindakan ibu bapanya yang mendesaknya bernikah semata-mata untuk mendapatkan pewaris bagi mewarisi harta keluarga mereka. Kakaknya telah memilih untuk mengejar impiannya di luar negara, lalu adiknya dijadikan pengganti.
Semua ini kerana harta!
Kereta yang dipandu Iqbal meluncur laju di Lebuhraya Utara-Selatan. Hatinya berkecamuk—sedih, kecewa, dan marah bercampur menjadi satu. Hanya kelajuan yang mampu meluahkan emosinya.
Tiba-tiba—
Screeeeech!
Tayar bergeser kasar di atas permukaan jalan.
"Ya Allah!" Jeritannya tenggelam dalam bunyi dentuman kuat—
BANG!
Kereta berpusing sebelum terbalik ke tepi cerun. Iqbal cuba menekan brek sekuat hati, tetapi segalanya sudah terlambat.
CRASH!
Dentuman kuat menggegarkan sekeliling.
"Ma... afkan... sa... ya..." Suaranya lemah, sakit mula menjalar ke seluruh tubuh. Pandangannya berpinar... semakin kelam...
GELAP.
ANDA SEDANG MEMBACA
TEPAT PADA WAKTUNYA (HOLD)
RomanceKakaknya, Asyikin Amelia, telah terbang ke Amerika untuk mengejar impiannya sebagai model antarabangsa, meninggalkan satu tanggungjawab besar di bahu Aiman Amalina. Selesai solat tahajud, istikharah, dan taubat, matanya tertancap pada baju nikah yan...
