Bab 4

142 10 0
                                    


SELESAI aje kelas yang pertama, Lily Ann terus menuju ke tempat duduk Hale. Meja lelaki itu ditepuk kuat sebelum mata Ann teralih kepada Breno di sebelah.

"Apa awak buat kat sini?" soal Ann aneh. Bukan ke dia sudah menolak lamaran lelaki itu?

"Ayahanda awak beritahu yang awak nak sambung belajar dekat sini. Jadi saya minta untuk dimasukkan ke dalam sekolah ni juga supaya kita boleh mengenali antara satu sama lain," sengih Breno lebar.

Ini ke sebab putera raja itu bersekolah di sini? Takde ke orang yang masuk ke sekolah ni dengan tujuan betul-betul nak belajar? Masing-masing ada agenda masing-masing. Hale mencebik dalam diam.

"Macam mana kau boleh masuk ke sini?" soal Ann kepada Hale pula.

Hale jungkit bahu sambil mengemas buku-bukunya. Mereka perlu beralih kelas untuk subjek selepas ini.

"Kenapa baru sekarang kau sibuk nak masuk kelas ni? Kau cuba nak ikut aku eh?" tuduhan Ann tak berasas.

Hale pandang Ann sekilas dengan mata malas sebelum dia bangun dan tidak menjawab soalan pelik dari gadis itu.

"Hoi! Aku bercakap dengan kau! Aku masih puteri Litthelle yang kau patut hormat!" sergah Ann.

Kaki Hale berhenti melangkah sebelum dia berpaling.

"Dalam sekolah ni, kita semua sama. Kau tak baca ke memorandum dekat depan pintu sekolah? Kau langkah aje masuk ke dalam sekolah ni, semua jawatan dan status kau perlu ditinggalkan di luar sekolah. Di sini, kau dan aku takde beza." Berani sekali Hale berkata-kata.

Ann ketap gigi. "Tapi jauh di dasar hati kau, kau tahu kita berbeza pangkat dan status. Macam mana pun kau tak boleh menidakkan yang aku adalah seorang puteri dan kau... cuma.."

"Cuma apa?" Hale mendekati Ann dan jarak antara mereka dipisahkan dengan hanya beberapa inci. Kepala Ann terpaksa didongak melangut ke atas. Ketinggian mereka jauh berbeza!

Ann telan liur. Aneh sekali. Haruman di tubuh lelaki itu tidak seperti yang selalunya.

Hale ada pakai minyak wangi ke?

Dengan tak malunya, Ann mengidu dengan lebih dekat pakaian Hale. Hale yang jadi terkejut dan menjarakkan tubuhnya ke belakang.

"Apa yang kau buat ni?" soal Hale.

"Kau ada pakai perfume ke?" soal Ann tiba-tiba. Matanya bersinar. Riak wajahnya tidak seperti tadi.

Hale kerut dahi. Dia tak pernah pakai minyak wangi. Tapi ada bunga Cecilia di dalam poket bajunya yang dikutip sebelum ke sini.

Ann tak dapat menahan dirinya daripada menghidu bau harum itu. Lagi Hale menjauh, lagi Ann mendekat.

"Apahal dengan kau ni?!" Hale menolak kepala Ann yang mula membongkok mencari punca bau harum itu.

Bila dia kesan di mana bau yang kuat itu datang, terus dia menyeluk tangannya ke dalam poket seluar Hale.

"Hoi!" terkejut Hale dibuatnya.

Bunga Cecilia dan beberapa jenis ranting kecil yang berada di dalam poket Hale ditarik keluar dan dihidu rakus.

Senyum Ann melebar.

"Apa benda ni?" tanya Ann dengan riak yang teruja.

Dengan kerutan seribu di dahi, Hale tetap menjawab, "Cecilia dengan Hawthorn."

Sekali lagi ranting itu dibawa dekat ke hidung Ann. "Ranting ni memang ada bau?"

Hale merampas kedua tumbuhan itu dari tangan Ann sebelum berlalu pergi tanpa menjawab soalan gadis itu.

JINXTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang