Eden yang sedang menaip sesuatu, terhenti seketika disebabkan telefon bimbitnya yang berbunyi.
"El ada tak?" soal Ammar yang sudah beberapa kali cuba menghubungi adiknya, namun masuk peti suara.
"Ada, kejap." Eden menuruni anak tangga dan menuju ke sebuah bilik yang berada di tingkat bawah.
"Aku dah call dia banyak kali, tapi tak dapat." Ammar bimbang kerana tak dapat menghubungi Helena sejak dia pulang dari Swiss.
Kening Eden hampir bersambung mendengarnya. Sudah seminggu berlalu sejak mereka bertikam lidah. Selama waktu itu, dia langsung tak melihat bayang isterinya.
Sewaktu daun pintu ditolak, dia terkejut melihat keadaan di ruangan itu sama seperti sebelumnya. Cadar belum terpasang, terdapat sawang di penjuru dinding dan meja yang kelihatan berhabuk. Kelihatan seperti kamar tidur ini sudah lama ditinggalkan dan langsung tak dihuni sesiapa.
"Aku rasa dia keluar ni, belum balik lagi." Eden membuat andaian.
"Aku rasa?" Ammar angkat sebelah kening. Seolah-olah adik iparnya tak tahu di mana keberadaan isterinya.
Eden berdehem seketika. "Kadang-kadang dia keluar tak bagi tahu aku."
Ammar terangguk-angguk beberapa kali.
"Kalau dia dah balik nanti, aku telefon kau balik," ucap Eden sambil menutup pintu bilik.
Talian dimatikan sambil berjalan ke ruang tamu. Mata mengerling jam dinding. 6.30 petang.
Eden duduk di sebuah sofa dan menghidupkan televisyen, rasa tak betah berada di ruangan yang sunyi ini seorang diri.
Pandangan melekat pada satu objek yang berada di bawah sebuah sofa bertentangan dengannya.
Kaki diatur dan tangannya mencapai telefon pintar itu. Ia adalah telefon bimbit yang dihadiahkan kepada Helena beberapa bulan lalu.
Eden cuba menghidupkan telefon bimbit tersebut, namun ia masih tak menyala setelah beberapa kali percubaan.
Dah habis bateri, kut? Eden membuat telahan.
Ia diletak ke atas meja. Badan direhatkan pada sofa sambil menunggu Helena pulang.
Rai palingkan muka ke arah Helena yang masih seperti sebelumnya. Sahabatnya itu lebih banyak termenung berbanding berbual dengannya.
"El..." panggil Rai sambil mendekati Helena yang duduk di sebuah pangkin.
Helena masih di posisi yang sama dan tak mengalihkan kepala.
"Aku tak boleh cuti lama sangatlah, El. Jadi, sekarang aku kena balik sebab esok aku ada kerja," tutur Rai yang terpaksa bersikap profesional.
Dia terpaksa meninggalkan Helena walaupun kesihatan sahabatnya itu seperti tak mengizinkan. Ada tugas yang sedang menunggunya sekarang.
"Kau duduk sini dengan mak aku tau." Dia putuskan membawa Helena pulang ke kampungnya untuk berehat seketika.
Rai ada mengingatkan Helena supaya meminta izin daripada keluarganya dan Eden terlebih dahulu, namun wanita itu terus menangis. Disebabkan tak mahu keadaan Helena bertambah teruk, jadi dia hanya menguncikan mulut.
Kalau itu yang dimahukan Helena, dia akan menghormati keputusannya. Beberapa hari lalu, Helena pinjam telefon bimbitnya untuk menghubungi Mika. Sekurang-kurangnya ada seseorang yang tahu Helena berada di kampungnya dan bukannya hilang.
"Jangan bagi tahu sesiapa yang aku ada dekat sini. Aku boleh percayakan kau kan, Rai?" hanya Rai seorang yang dia percayai sekarang.
Rai mengulum senyum. "Jangan risau, aku takkan bagi tahu sesiapa. Kau duduklah sini selama mana yang kau nak. Nanti bila kau nak balik, bagi tahu aku." Rai mengusap lengan Helena beberapa kali. Cuba beri kekuatan kepada wanita itu supaya tabah menghadapi dugaan yang diberikan kepadanya.

YOU ARE READING
[C] Cinta Berakhir Bahagia
RomanceAgency Series (3) Siapa sangka kekasih hati yang hilang tanpa kata, muncul semula menghantui hidup Sharifah Helena. Kini, Eden Zahrin kembali sebagai bakal suami kepada sepupu Helena. "You were my biggest mistake, Helena." - Eden Zahrin Rancangan di...