Sewaktu melangkah ke dalam rumah, Helena terkejut melihat seseorang yang sudah duduk di sofa.
"Awak tak kerja ke?" Helena jeling jam dinding. 2.30 petang.
Eden diam tak berkutik.
Siapa sangka rancangannya yang mahu mengunjungi rumah Dira sewaktu makan tengah hari kerana mahu mengambil semula cincin yang diberikan Puan Nafisah, menyebabkan dia terdengar perbualan dua orang wanita itu.
"Eden?" tegur Helena sekali lagi.
Eden masih berada di posisi yang sama. Tali leher sudah dilepaskan dan lengan baju kemeja dilipat sedikit.
"Pergi mana tadi?"
Helena mendekati Eden. Hati kecilnya meneka ada yang tak kena sedang berlaku kerana nada suara suaminya kedegaran begitu dingin.
"Keluar kejap, beli barang." Helena duduk bertentangan dengan Eden.
Hujung bibir Eden ternaik sedikit. Mata bergerak melihat tangan Helena yang kosong tanpa sebarang beg kertas.
"Oh... Saya tak beli apa-apa pun. Saja jalan-jalan tadi," terang Helena yang faham dengan pandangan itu.
"Dengan siapa?"
Soalan Eden pendek namun Helena sudah dapat menangkap maksud disebalik pertanyaan itu.
"Awak upah orang ikut saya?" Eden masih sama seperti dulu. Masih meragui Helena dan sanggup mengupah seseorang untuk mengekorinya.
"Awak masih tak berubah, kan?" Pandangan Helena bertaut dengan Eden.
"Jadi, kau dah ingat?" Anak mata Eden merenung tajam wanita yang sudah masuk ke dalam perangkapnya sendiri.
"Atau kau tak pernah hilang ingatan?" tambah Eden lagi tanpa sekelumit senyuman.
Dia rasa Helena sengaja mahu perbodohkan dirinya dengan berpura-pura hilang ingatan.
Helena diam tak berkutik. Soalan itu dibiarkan tak dijawab. Dia buat kesimpulan sendiri, mungkin ini satu-satunya jalan yang dia ada supaya Eden meninggalkannya.
"Selama ni kau tipu aku?" Pandangan Eden kepada Helena masih tak berganjak. Dia perhati raut isterinya yang acuh tak acuh.
Helena tersenyum sumbing.
"Ya! Sebab I tak nak you balik dekat Dira. Puas hati I bila tengok dia nangis macam orang gila. I dah menang, Eden," tutur Helena sambil tersenyum lebar.
"I dah me-nanggg!" Helena sengaja mengulang ayat ini dan perkataan terakhir ditekan sedikit.
Eden melihat senyuman wanita itu yang masih tak lekang di bibir. Seperti sengaja mahu menaikkan darahnya.
"Kau buat semua ni sebab nak menang?" Eden berpeluk tubuh. Cuba tenangkan diri yang hampir meletup.
Helena gerakkan kepala. Mengeyakan.
"Kau yakin kau dah menang?"
Helena mengangguk.
Eden menggelengkan kepala beberapa kali. "Tsk. Tsk. Kau belum menang, Helen."
Senyuman Helena terus mati.
"Kau lupa aku ni siapa?" Giliran Eden pula yang tersenyum.
Helena rasa seerti jantungnya berhenti mengepam darah apabila senyuman itu seolah-olah mengejeknya.
"Aku masih suami kau. Aku yang akan tentukan siapa yang menang. Bukan kau atau Dira," semakin lebar senyuman Eden apabila riak Helena yang angkuh tadi bertukar keruh.
"Aku kenal kau bukan setahun dua, Helen. Aku dah boleh baca apa rancangan kau. Kau rancang nak kahwin dengan Haider, kan?" Eden tersenyum sumbing.
Helena terkejut. Macam mana Eden tahu perbualannya dengan Dira?

YOU ARE READING
[C] Cinta Berakhir Bahagia
RomanceAgency Series (3) Siapa sangka kekasih hati yang hilang tanpa kata, muncul semula menghantui hidup Sharifah Helena. Kini, Eden Zahrin kembali sebagai bakal suami kepada sepupu Helena. "You were my biggest mistake, Helena." - Eden Zahrin Rancangan di...