Selepas bertemu Haider di sebuah pusat beli belah untuk membantunya memilih sebentuk cincin, Helena memandu kereta ke rumah Dira.
Setelah lama bersoal jawab sendirian, barulah dia buat keputusan untuk bersua muka dengan sepupunya. Takut kedatangannya hanya menambah minyak kepada api yang sedang marak.
Helena tarik nafas beberapa kali apabila kaki sudah berada di hadapan rumah keluarga Dira. Walaupun langkah terasa berat untuk diayun, namun dia masih memaksa dirinya untuk menyelesaikan perkara yang dirasakan seperti tak berpenghujung ini.
"Assalamualaikum, mak ngah." Helena berdiri di depan pintu sambil memegang erat tas tangannya.
Puan Duha yang terdengar suara seseorang, pantas melangkah ke arah pintu. Dia tergamam melihat susuk tubuh itu.
"Dira ada?" soal Helena bersama segaris senyuman.
"Kenapa nak jumpa Dira? Tak cukup ke apa yang kau buat sebelum ni?" Puan Duha bercekak pinggang. Rasa mendidih hatinya apabila melihat senyuman Helena.
"El datang sebab nak terangkan semuanya." Helena tak mahu persengketaan di antara dua keluarga berlarutan.
"Kau nak terangkan apa, El? Anak aku tu terpaksa guna kerusi roda sekarang. Takkan kau nak tambah masalah dia? Kau nak anak aku gila ke?!" suara Puan Duha berubah rentak.
Dia akan pastikan tiada sesiapa yang boleh menyakiti anaknya lagi.
"Bukan macam tu, mak ngah..."
"Kau pergi balik sekarang! Aku tak nak tengok muka kau dekat sini! Keluar dari rumah aku sekarang!" Dada Puan Duha turun naik sewaktu menuturkan ayat ini.
Sedikit sebanyak Helena rasa gentar juga apabila berhadapan dengan Puan Duha yang sekarang.
"Ibu... Siapa tu?" tegur Dira apabila terdengar suara ibunya yang begitu nyaring.
Helena panjangkan leher. Dia melihat Dira yang sedang menggunakan kerusi roda.
"Aku nak jumpa kau kejap, boleh?" tutur Helena yang hampir tak kedengaran.
"Aku cakap tak boleh! Kau tak dengar ke?!" Puan Duha menyampuk. Semakin naik angin apabila Helena tak mengendahkan amarahnya.
Dira pandang sepupunya yang kelihatan bersungguh-sungguh mahu bertemu dengannya.
"Kita orang nak cakap kejap, boleh bu?" secara tak langsung Dira menghalau Puan Duha supaya meninggalkan mereka berdua.
Puan Duha mengeluh perlahan. Jika itu kemahuan anaknya, terpaksalah dia turuti.
Setelah melihat bayang ibunya yang sudah menghilang, perhatian diberikan kepada si perampas yang berada di hadapannya. "Kau nak apa?"
"Macam mana keadaan kau sekarang? Dah rasa okey sikit?" tanya Helena yang kedengaran prihatin.
Dira tersenyum sumbing. "Okey?"
"Fizikal atau mental aku?" Dira menghantar soalan berbaur sindiran.
"Aku tak tahu nak terangkan dekat kau macam mana..."
"Kalau kau datang sini sebab nak minta maaf, sampai bila-bila aku takkan maafkan kau, El." Dira memintas.
Hatinya hancur apabila mengetahui tentang Eden dan Helena. Perasaan ditikam oleh tunang dan sepupu yang paling rapat dengannya, tak dapat dilupakan sehingga sekarang.
"Aku tahu... Aku tak sepatutnya rampas Eden daripada kau. Tapi, semuanya dah jadi, Dira. Kalau aku boleh undurkan masa, aku takkan kahwin dengan Eden," ucap Helena yang sudah tertunduk.
Dira tersenyum sinis apabila melihat bayang seseorang yang berdiri tidak jauh dari Helena.
"Jadi, kau dah ingat semuanya? Jangan cakap... selama ni kau cuma berlakon hilang ingatan?" Dira cuba memancing Helena supaya masuk ke dalam perangkap.

YOU ARE READING
[C] Cinta Berakhir Bahagia
RomanceAgency Series (3) Siapa sangka kekasih hati yang hilang tanpa kata, muncul semula menghantui hidup Sharifah Helena. Kini, Eden Zahrin kembali sebagai bakal suami kepada sepupu Helena. "You were my biggest mistake, Helena." - Eden Zahrin Rancangan di...