Eden yang sedang tidur nyenyak membelakanginya direnung lama. Helena kembali teringat kelakuan Eden kepadanya sebelum dia hilang ingatan. Siapa sangka sikap Eden berubah 180 darjah hanya disebabkan kemalangan yang menimpanya.
Namun, semua itu tak dapat padamkan memori Helena yang diperlakukan seperti seorang pesalah. Hidupnya diselubungi ketakutan setiap kali dia berhadapan dengan Eden.
Helena meluruskan lengan, tangan dikepal beberapa kali untuk mengumpulkan kekuatan. Lima jari direnggangkan, lalu dilayangkan ke satu arah sambil mengetap bibir.
Apabila terdengar satu bunyi yang begitu kuat, Helena tersenyum lebar. Sedikit sebanyak dapat kurangkan perasaan marah kepada lelaki itu.
Apabila badan Eden mula bergerak, pantas Helena menutup kelopak mata dan berpura-pura tidur.
Eden pusingkan badan. Rasa pedih pada kulit di tulang belikat menyebabkan dia terjadi daripada tidur.
Dia pandang isterinya yang masih memejamkan mata. Tangan mengusap belakang badan yang berasa panas akibat dipukul seseorang, siapa lagi kalau bukan Helena.
Dia betulkan gebar isterinya dan ditarik menutupi lengan Helena yang terdedah kepada penghawa dingin.
Tak sampai satu saat tangan itu berada di bawah gebar, tiba-tiba ia bergerak ke arahnya.
Pang! Tangan tersebut melekap di pipi Eden dan kembali ke tempat asalnya semula.
Eden yang terkejut dengan situasi itu, sentuh pipi yang mulai hangat. Fikirannya cuba mencerna apa yang sedang berlaku.
Apabila merasakan ada yang tak kena dengan isterinya, dia goyangkan badan isterinya.
"Hm..." Helena mula berpura-pura terjaga daripada tidur.
"Kenapa awak tampar saya?" soal Eden dengan tangan yang masih melekap pada pipi.
"Bila masa pula saya tampar awak? Saya tengah tidur ni," ucap Helena masih sambil cuba menahan bibir daripada tersenyum.
Puas hatinya apabila melihat Eden yang terkebil-kebil.
"Dahlah, saya nak tidur." Helena kembali tutup mata.
"Sejak bila awak mengigau pukul orang?" Kalau dibiarkan perkara ini berlarutan, pasti ada anggota badannya yang berbirat nanti
"Mana ada saya mengigau!" Helena sengaja naikkan ton suara, seolah-olah berang dengan tuduhan tersebut.
Eden bertukar posisi kepada duduk. Baju yang dipakai ditarik ke atas, lalu belakang badannya ditunjuk pada Helena. Dia yakin kulitnya sudah merah sekarang.
"Kalau awak tak percaya, tengok ni..."
Helena membuka kelopak mata sekali lagi sambil mendengus kasar. Sewaktu melihat kulit Eden yang sudah bertukar warna, dia terus menegakkan badan.
"Kenapa ni?" suara Helena berubah rentak. Sengaja berlakon seperti terkejut melihat kesan lima jari di situ.
"Awak tanya saya?!" Eden turunkan kembali baju yang dipakai.
Badan dipusingkan ke arah Helena. Mereka bertentang mata untuk beberapa saat.
"Tak cukup dengan tu, awak tampar saya juga." Eden tunjuk pipinya.
Mata Helena membuntang dan bibirnya membentuk O.
"Tapi, saya tak ingat apa-apa. Saya tidur..."
"Siang tadi awak buat apa sampai mengigau macam ni?" potong Eden. Tak pernah-pernah isterinya meracau seperti ini.
"Tak buat apa. Saya borak dengan Kak Siti sebelum dia balik. Lepas tu, saya tengok TV." Siti sudah dipulangkan semula ke Puan Marissa kerana dia sudah sembuh sepenuhnya.

YOU ARE READING
[C] Cinta Berakhir Bahagia
RomanceAgency Series (3) Siapa sangka kekasih hati yang hilang tanpa kata, muncul semula menghantui hidup Sharifah Helena. Kini, Eden Zahrin kembali sebagai bakal suami kepada sepupu Helena. "You were my biggest mistake, Helena." - Eden Zahrin Rancangan di...