Helena perhatikan wanita di hadapannya tak berkelip. Rai meninggalkannya bersama Nina kerana dia bekerja sebagai pembantu peribadi seorang artis.
Helena terpaksa mengambil cuti yang agak panjang disebabkan kecederaan yang dialaminya. Jadi, Rai putuskan untuk bekerja dengan seseorang bagi menampung bil bulanannya.
"Awak kenal saya ke?" Helena bersuara apabila Nina merenungnya sejak tadi.
"Awak tak ingat saya siapa?" Nina mahu pastikan yang Helena memang betul hilang ingatan.
Helena gerakkan kepala, mengeyakan.
Sepanjang dia hilang ingatan, hanya Rai dan Haider yang datang menziarah. Jadi, dia memang tak tahu yang dia memiliki seorang lagi rakan.
"Saya, Nina."
"Kita dah lama kawan ke?" Helena mula menyelidik. Sudah berbulan-bulan berlalu, kalau memang betul mereka berdua adalah sahabat, pasti Nina datang melawatnya.
"Sudah-sudahlah tu berlakon, saya tahu awak menipu." Nina berpeluk tubuh. Mahu melihat sejauh mana permainan Helena.
Helena kerutkan dahi. Cuba memahami ayat tersebut.
"Saya betul-betul tak ingat awak siapa," terang Helena. Sudah lama dia merenung wajah tersebut, namun dia masih tak dapat mengingati apa-apa.
"Jadi, awak tak ingat apa yang awak dah buat?" soal Nina tanpa segaris senyuman.
Helena mengangguk.
"Eden tahu awak jumpa saya?" Sebenarnya, Nina masih takutkan Eden. Dia bimbang Eden buat sesuatu yang bahayakan keluarganya.
Helena gelengkan kepala.
Nina letak telefon bimbit ke atas meja, gambar pusara yang dipenuhi bunga ditunjuk kepada Helena.
Membulat mata Helena yang melihatnya.
"Ibu saya dah meninggal. Walaupun maruah saya dipijak-pijak, tapi duit tu tetap tak dapat selamatkan ibu." Nina mengucapkan ayat ini dengan dada yang berombak. Menahan diri daripada kelihatan lemah di hadapan Helena.
Helena mengunci mulut. Cuba menghadam setiap bait, namun dia tak mengerti apa yang cuba disampaikan Nina.
"Sekarang ni, tak ada satu kompeni pun yang nak ambil saya jadi model dia orang disebabkan Eden warning dia orang. Adik saya bergantung hidup dekat saya, El." Sejak pertemuannya dengan Eden, tiada satu syarikat pun yang mahu mengambilnya sebagai model.
Nina sedang kerja sambilan di sebuah kedai makanan segera. Namun, pendapatannya masih tak dapat menampung perbelanjaan setiap bulan.
"Eden, suami saya?" Helena ingin pastikan nama jejaka yang disebut Nina adalah suaminya.
Nina mengeyakan.
"Saya tak nak minta duit dekat awak, tapi tolong suruh Eden jangan kacau periuk nasi saya," pinta Nina terdesak. Pendapatan menjadi seorang model lebih lumayan berbanding kerja sambilan.
Tak mungkin Eden buat macam tu, desis hati kecil Helena.
"Kenapa Eden buat macam tu?"
Nina gigit bibir. Haruskah dia menceritakan semuanya kepada Helena? Nina berfikir sejenak.
Berita yang tersebar sebelum kemalangan yang menimpa kedua-dua wanita itu adalah angkaranya. Dia terlalu ikutkan emosi setelah kehilangan ibunya. Walaupun berita di portal media hilang selepas beberapa jam, namun dia yakin berita tersebut menjadi punca utama kemalangan mereka berdua.
"Nina?" tegur Helena apabila gadis itu hanya membisu.
Lantaklah, bukan masalah aku pun kalau dia ingat balik! Nina betulkan duduk pada kerusi.

YOU ARE READING
[C] Cinta Berakhir Bahagia
RomanceAgency Series (3) Siapa sangka kekasih hati yang hilang tanpa kata, muncul semula menghantui hidup Sharifah Helena. Kini, Eden Zahrin kembali sebagai bakal suami kepada sepupu Helena. "You were my biggest mistake, Helena." - Eden Zahrin Rancangan di...