Helena mendail untuk kali kedua. Dia buat telahan yang Eden berkemungkinan sedang sibuk sekarang.
"Helo."
Helena tersenyum apabila suara suaminya berkumandang. "Awak sibuk ke?"
"Kalau saya tak sibuk, mesti saya yang temankan awak sekarang." Eden melihat jam tangan.
Helena menghadiri temu janji yang terakhir di hospital hari ini dengan ditemani Mika. Tangan yang patah sebelum ini, sudah sembuh sepenuhnya.
"Rai call saya tadi, dia nak jumpa saya." Helena minta kebenaran daripada Eden.
"Dia seorang?"
Helena tertawa nipis apabila nada suara Eden berubah.
"Ya, dia seorang. Haider tak ada," terang Helena yang sudah faham sangat dengan sikap cemburu buta Eden.
"Balik kerja nanti saya ambil awak."
Helena yang berada di dalam sebuah lif kurung kaca, berpusing apabila melihat satu susuk tubuh yang sangat dikenali sedang berjalan ke satu arah. Eden?
"Awak dekat mana sekarang?" Helena tak pasti lelaki tersebut adalah Eden kerana dia tak dapat melihat wajahnya.
"Dekat ofis, kenapa?" Eden kerutkan dahi.
"Saya sibuk ni, mana ada masa nak pergi mana-mana," sambung Eden lagi apabila tiada sebarang suara daripada si pemanggil.
Helena perhatikan susuk tersebut yang menghilang masuk ke satu ruangan.
"Okey, jumpa nanti..."
Ayat Helena terhenti apabila terdengar nama Eden meniti di bibir seorang wanita. Suara itu begitu halus, namun ia kedengaran jelas di telinganya.
"Nanti saya telefon balik." Eden terus putuskan panggilan dan objek tersebut disimpan di dalam kocek seluar.
Helena melihat telefon bimbitnya dengan perasaan tertanya-tanya.
Ponnn! Belum sempat fikirannya melayang, dia terdengar bunyi hon daripada kereta yang dipandu Mika.
"Kak El kenapa?" Mika melihat kakaknya yang seperti kebingungan.
"Tak ada apa. Hantar Kak El pergi alamat ni tau." Helena tekan skrin tablet yang berada dalam kereta dan masukkan alamat sebuah kafe.
Isi kepala yang sudah memikirkan sesuatu yang buruk, dihalau jauh-jauh. Dia harus percayakan Eden. Tambahan pula, dia tak dapat melihat wajah jejaka yang disangka suaminya itu.
Eden pandang Dira yang duduk di atas sebuah kerusi roda. Proses pemulihan wanita ini mengambil masa yang lebih panjang daripada isterinya kerana kecederaan yang dialami Dira lebih parah.
"Mama... Dira nak cakap dengan Eden kejap, boleh?" Dira pandang Puan Duha supaya beri mereka ruang untuk berbicara.
Puan Duha pandang Eden dengan pandangan yang sukar ditafsirkan. Sudah berkali-kali anaknya menghubunginya, baru kali ini Eden munculkan diri.
Dengan langkah yang berat, Puan Duha meninggalkan mereka berdua dan berdiri tidak jauh dari situ.
"Saya call awak banyak kali, Eden. Saya rasa macam saya ni tengah mengemis perhatian awak pula." Dira pandang Eden yang buang pandang.
"Awak dah tahu yang saya dengan Helena dah kahwin, kan? Jadi, kenapa awak beria-ia nak jumpa saya?"
Dira yang mendengar ayat tersebut, terkesima. Ia kedengaran seolah-olah hubungan mereka sebelum ini langsung tak bermakna buat Eden.
YOU ARE READING
[C] Cinta Berakhir Bahagia
RomanceAgency Series (3) Siapa sangka kekasih hati yang hilang tanpa kata, muncul semula menghantui hidup Sharifah Helena. Kini, Eden Zahrin kembali sebagai bakal suami kepada sepupu Helena. "You were my biggest mistake, Helena." - Eden Zahrin Rancangan di...