Part 10 : Runtuhnya Kepercayaan

6.2K 94 6
                                    

Hari Ahad itu terasa sunyi. Sarah bangun lebih awal seperti biasa. Dia menyediakan sarapan sederhana—nasi goreng kampung dan teh o panas. Namun, tanpa kehadiran suaminya, rumah itu terasa seperti kekurangan sesuatu.

Dia menatap meja makan yang teratur rapi. Makan sendirian tidak pernah menyenangkan, tapi Sarah cuba mengalihkan fikirannya. Hari ini, dia mahu mencuba untuk membuat kek, untuk menyambut kepulangan suaminya nanti.

Dia membuka resepi dan kemudian cuba untuk mencari bahan-bahan yang diperlukan, terdapat beberapa barang yang sudah kehabisan, Sarah kemudian bersiap, mengenakan tudung dan jubah hitam, melangkah keluar ke kedai berdekatan, untuk membeli beberapa barang baking yang diperlukannya.

Petang itu, Hamdi pulang lebih awal dari Sarawak, berhasrat untuk mengejutkan isterinya. Dia menaiki lif dengan beg kerja kecil di tangan, tersenyum memikirkan reaksi Sarah nanti. Mahu menyambung semula kehangatan cinta mereka yang terhenti hujung minggu lepas. Namun, pintu lif terbuka di tingkat tengah, dan dia terserempak dengan Intan yang kelihatan baru selesai bersenam.

"Eh, Hamdi! Awal balik. Bukan Sarah kata sampai minggu depan ke?" Intan menyapanya dengan suara riang.

"Saja nak buat kejutan dekat Sarah," balas Hamdi, senyumannya sedikit canggung melihat sosok tubuk Intan yang sangat menggoda. "Awak baru balik dari gym ke?"

"Iyalah, badan nak kena jaga," jawab Intan sambil tersenyum menggoda, melentikkan punggungnya. "Oh ya, lampu bilik tidur rumah saya rosak. Boleh tolong tengokkan sekejap, Reza takde pula hari ni, ada event luar kawasan. Saya takut duduk dalam gelap."

Hamdi teragak-agak. Dia mahu berjumpa isterinya dan menghabiskan masa bersamanya setelah lama ditinggalkan. Tetapi naluri lelakinya yang baik, yang sukar menolak permintaan membuatkan dia akhirnya akur, mengangguk bersetuju.

"Baiklah, tapi sekejap saja ya." ujarnya perlahan.

Sarah baru sahaja pulang dari membeli barang baking dan membawa beberapa plastik makanan ringan. Langkahnya perlahan-lahan menuju pintu rumah mereka, tetapi matanya terpaku pada satu pemandangan yang tidak disangkanya.

Hamdi keluar dari rumah Intan dengan senyuman kecil, sambil membetulkan lengan bajunya. Intan muncul di belakangnya, memakai baju sukan yang melekap pada tubuh. Mereka kelihatan terlalu santai, terlalu mesra, seakan ada sesuatu yang terjadi.

Jantung Sarah berdetak kencang. Tangannya yang memegang plastik mula bergetar, tetapi dia menahan diri. Dia tidak mahu membuat andaian terburu-buru, tetapi pemandangan itu sukar dikesampingkan. Apa yang disyaki sebelum ini, seakan menjadi kenyataan didepan matanya.

Malam itu, makan malam terasa hambar. Sarah hanya menghidangkan sup ayam dan nasi putih. Tiada perbualan panjang seperti biasa. Hamdi cuba memulakan bicara, memecahkan kesunyian, tetapi Sarah hanya menjawab dengan keluhan kecil dan anggukan.

"Awak okay ke?" tanya Hamdi sambil menyuap nasi.

Sarah mengangguk perlahan. "Ya, cuma penat sikit."

Hamdi tidak mahu mendesak. Dia merasa curiga, Sarah seakan tidak banyak bertanya tentang kepulangannya. Dia dapat merasakan sesuatu yang tidak kena. Tapi hatinya buntu.

Selepas solat Isyak, Sarah meminta izin untuk keluar sebentar.

"Saya nak ke rumah Kak Joe sekejap. Nak berbual," katanya sambil menyarung tudung.

Hamdi hanya mengangguk. "Jangan lama sangat, ya. Saya penat, nak tidur awal."

Sarah bergerak keluar, dan sampai di blok sebelah, dia mengetuk pintu rumah Kak Joe, yang kelihatan agak panik, menyambutnya dengan senyuman terpapar diwajahnya.

Perjalanan HidupkuTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang