BAB 53

4.5K 353 11
                                    

Sewaktu sedang menikmati minum petang bersama Siti, rumah itu dikejutkan dengan kehadiran Puan Nafisah.

"Kenapa ibu tak bagi tahu nak datang? Kalau tak, boleh El masak," sapa Helena.

"Tak payahlah. El tu bukan tahu masak sangat. Ibu takut sakit perut pula nanti," jawab Puan Nafisah yang panjangkan leher, mencari kelibat anaknya.

"Eden mana, Siti?" Puan Nafisah pandang Siti.

"Ada dekat atas. Saya panggil dia turun sekarang." Siti menghilangkan diri, naik ke tingkat atas.

"Eden makan apa tadi?" Puan Nafisah keluarkan beberapa bekas makanan dari beg yang dibawanya.

"Hari ni Kak Siti masak nasi ayam. Kalau ibu nak makan, El boleh..."

"Isteri macam apalah kamu ni, El. Suami demam, tak masakkan bubur," potong Puan Nafisah sambil gelengkan kepala.

Puan Nafisah ada menghubungi Eden beberapa kali, namun panggilannya tak dijawab. Jadi, dia menghubungi telefon rumah. Siti memaklumkan yang Eden berkemungkinan sedang tidur kerana demam.

Helena terdiam seribu bahasa. Dia sangkakan Eden hanya berbohong kerana mahu menarik perhatiannya.

"Ibu baru sampai ke?" Eden meraih tangan Puan Nafisah dan dikucup.

Puan Nafisah terus lekapkan tangan ke dahi anak lelakinya. "Panas ni. Doktor cakap apa?"

"Eden tak pergi klinik pun. Panas sikit je ni, esok lusa sembuhlah." Eden alihkan tangan Puan Nafisah.

"Mana boleh macam tu. Sekarang ni ada macam-macam virus..."

"Eden dah makan ubat tadi. Ibu tak payah risaulah," potong Eden yang tak mahu Puan Nafisah memikirkan sesuatu yang buruk.

"Ibu seorang yang risaukan Eden. Ada isteri, tapi macam tak ada isteri pula. Suami tengah sakit, boleh pula dia berseronok minum petang sambil tengok TV." Puan Nafisah menjeling Helena yang dari tadi hanya tersenyum.

"Eden cuma demam, bu. Bukannya Eden sakit sampai tak boleh bangun." Eden cuba jernihkan suasana yang perlahan suram.

"Kalau dah berkurung dalam bilik dari pagi, maksudnya teruklah tu," bidas Puan Nafisah.

"El tak masakkan bubur, kan? Biar ibu yang masakkan untuk Eden." Puan Nafisah mula singsing lengan baju.

"Ni ibu bawa lauk dari rumah. Eden makanlah nanti." Puan Nafisah tunjuk bekas makanan di atas meja.

"Ibu tak payahlah susah-susah masakkan untuk Eden." Eden menahan lengan ibunya.

"Kalau bukan ibu yang susah, siapa lagi? Takkan nak harapkan isteri Eden yang tahu berlawa tu je? Entah makan, entah tak kamu ni nanti." Selepas menuturkan ayat ini, Puan Nafisah menghilang ke dapur.

Puan Nafisah mula membuka kabinet yang ada untuk mencari bahan. Apabila teringatkan sesuatu, dia keluar dari dapur.

"Tulah, Eden... nak yang lawa je. Kalau Eden kahwin dengan si Di..."

"Ibu nak masak apa?" lantang suara Eden berkumandang yang turut membuka langkah, mengikut jejak Puan Nafisah.

Nasib dia sempat menangkap apa yang cuba diucapkan ibunya tadi. Kalau tak, tak ke haru apabila Helena dapat menangkap sebaris nama itu?

Sudahlah hubungannya dengan Helena masih belum pulih, dan ditambah dengan masalah ibunya yang tiba-tiba mengunjungi teratak ini. Makin panjanglah rajuk isterinya nanti.

Senyuman yang dipaksa terukir di bibir, perlahan-lahan menghilang daripada wajah. Helena yang hanya jadi pendengar dari tadi, sandarkan badan ke sofa bersama satu keluhan.

[C] Cinta Berakhir BahagiaWhere stories live. Discover now