Seleret senyuman terukir di bibir saat tangan menggenggam segulung ijazah. Akhirnya, setelah 3 tahun, dia berjaya menamatkan pelajarannya.
'Ibu, Naura dah habis belajar. Ibu bangga tak dengan Naura? Naura rindu ibu sangat-sangat. Ibu tenang ya di sana. Naura akan gapai cita-cita Naura dan buat ibu bangga dengan Naura.'
Hati kecil berbisik sayu. Bayangan si ibu muncul di ruang fikiran. Seketika, Naura Melissa memejamkan matanya. Ya tuhan, dia benar-benar merindukan bidadarinya itu.
Sudah 4 tahun ibu dan ayahnya pergi meninggalkan dia buat selama-lamanya. Hidup sebatang kara tanpa pelukan hangat dan kasih sayang orang tua benar-benar menyeksakannya.
Bermula dari hari itu, tiada lagi senyuman ikhlas yang terukir di bibir Naura. Hidupnya terasa suram. Hari-harinya hanya disibukkan dengan perkara yang dapat membuat dia lupa akan rasa sakit kehilangan orang tuanya.
"Naura."
Tubuh dipusingkan ke belakang saat namanya diseru oleh seseorang. Raut wajah mula bertukar. Muka sombong ditayangkan.
"Awak ada nak pergi mana-mana lepas ni?" Lembut si jejaka bertanya.
Sudah lama dia menyimpan rasa terhadap gadis yang berdiri di hadapannya. Meskipun gadis itu tidak pernah melayannya namun, itu tidak menjadi penghalang untuk hatinya terus menyukai.
"Apa kaitannya dengan kau?" Sombong Naura bertanya.
Naura memilih menjadi sombong setelah kematian ibu dan ayahnya. Dia hilang diri dia yang sebelum ini. Jika dahulu, dia sering dikenali sebagai seorang yang lemah lembut, peramah, ceria dan murah dengan senyuman. Namun, semuanya hilang tatkala raja dan ratunya pergi.
"Saya tanya je. Awak ni sombong sangatlah."
"Kalau aku sombong pun, apa masalahnya? Kacau hidup kau ke?"
"Saya suka awak."
Jujur lelaki itu. Naura dipandang. Wajah itu hanya kosong. Tiada langsung ciri-ciri yang menunjukkan gadis itu terkesan dengan luahannya tadi.
"Kau yang suka. Aku tak suka. Jadi, berhenti ganggu aku."
Langkah terus diatur meninggalkan lelaki itu di situ. Benci betul dia mendengar luahan itu tadi. Jijik.
"Naura!"
Naura berdecit tatkala sekali lagi namanya diseru. Toleh ke kanan, mata bertaut dengan sepasang mata milik seorang gadis yang sedang tersenyum manis ke arahnya.
"Nak apa?"
"Jom pergi makan sama-sama," ajak gadis itu dengan teruja.
"Tak berminat."
"Ala, Naura. Jomlah. Untuk raikan kejayaan kita. Jomlah, Naura. Kali ni je," pujuk Haifa dengan lembut.
Naura pandang lama gadis yang berdiri setentang dengannya. Haifa, satu-satunya gadis yang tidak berputus asa mahu berkawan dengannya.
Meskipun layanan yang diberikan sentiasa dingin namun, gadis itu tetap sahaja mahu mengajaknya berborak dan menjadi rakannya.
"Jomlah. Kali ni je. Lepas ni, tak tahu boleh jumpa lagi ke tak."
"Ya lah, jom."
Naura mengalah. Kasihan melihat wajah berharap Haifa. Dia tahu gadis itu ikhlas mahu berkawan dengannya. Namun, Naura masih sahaja menjadi sombong dengannya.
Sepanjang tempoh pengajiannya, Naura tidak mempunyai seorang pun kawan. Bukan tidak ada yang mahu berkawan dengannya, tetapi dia sahaja yang terlebih sombong.

YOU ARE READING
Terciptamu Bukan Untukku
RomanceSifat sombong sudah menjadi sebati dalam diri Naura Melissa, seorang gadis yang ditugaskan untuk menjadi guru bahasa Melayu di sebuah sekolah menengah setelah tamat pengajian. Raut wajah serius sering ditunjukkan menjadikan dia guru yang tidak dimin...