Seawal 4.30 pagi hari sekolah, Noor Inaya sudah bangun. Sedang adik-beradiknya yang lain masih diulit lena, dia mengemas tempat tidurnya di ruang tamu. Tilam nipis dilipat kemudian diletakkan di sudut ruang tamu di belakang kerusi rehat. Setelah itu, dia capai selimut pula lalu dilipat dengan kemas dan dia tindih di atas tilam itu. Akhir sekali satu bantal diletak di tempat paling atas.
Begitulah dia tidur hanya dengan tiga benda sahaja. Tilam nipis, selimut dan satu bantal. Itu pun dah cukup buat dia tidur lena sampai ke pagi.
Siap mengemas tempat tidur, Inaya menapak pula ke dapur. Di satu sudut dapur ada penyidai kain untuk kain buruk dan kain lap di dapur. Di situ juga Inaya sangkut tuala mandinya. Dan di situ juga ada satu kotak sederhana besar tempat Inaya simpan pakaian-pakaian harian.
Dia cuma keluarkan pakaian dalam. Baju sekolahnya sudah dia siap-siap sangkut setelah dia gosok bersama baju-baju adik-beradiknya yang lain semalam.
Pukul 5 pagi, Inaya sudah siap berpakaian sekolah dan menuruni tangga rumah kayu dihuninya sejak kecil. Siap menyarung kasut, dia termenung sejenak di tangga. Masih mengantuk dan penat.
Dia berpaling ke belakang melihat rumahnya masih gelap. Seronoknya kalau dia boleh tidur macam yang lain juga. Dengan katil empuk, berselimut hangat dan menutup mata hingga pukul 6.30 pagi.
Pak!! Pak!!
Inaya tepuk kedua belah pipinya dengan tapak tangan. Tak boleh layan sangat kantuk dia. Tak pasal-pasal dia lewat lagi hari ini.
Cepat-cepat dia menuruni tangga dan menuju ke arah basikalnya. Tongkat ditolak dengan kaki dan dia tuntun basikal hingga ke laman rumah. Setelah itu dia naik ke atas basikal dan mengayuhnya hingga ke rumah ibu saudaranya, Mak Ngah Huda.
Tiba sahaja di laman rumah wanita itu, sudah semerbak bau-bau rempah masuk ke rongga hidung. Mak Ngah Huda peniaga warung pagi. Setiap pagi jugalah Inaya akan bantu ibu saudaranya menyiapkan makanan untuk dijual di warung.
Berkat itu, Inaya akan dapat duit belanja untuk dirinya. Duit itu Inaya guna untuk belanja sekolah dan bakinya dia simpan untuk dia buat sebuah bilik buatnya di rumah nanti. Itulah angan-angan Inaya. Dia teringin nak ada bilik sendiri macam Ayuni dan Faiza. Kalau ada bilik barulah dia selesa nak rehat lama-lama dan ada ruang privasi untuk dirinya seorang.
Sekarang kalau dia tidur lama sikit di ruang tamu mesti kena bebel dengan ibu. Siang-siang pula, kalau dia penat pulang dari sekolah dia tidak tahu mahu rehat di mana. Maka terpaksalah dia tahan penatnya hingga ke malam.
Bukan dia tak mahu meminjam bilik adik-beradiknya yang lain. Mereka pun asyik berkurung sahaja dalam bilik masing-masing. Bilik itu seperti kawasan jajahan mereka. Kalau Inaya masuk ibaratnya seperti penjajah yang masuk, kemudian pasti dimarahi dan diomeli oleh orang-orang di dalam rumah itu.
"Assalamualaikum, mak ngah." Usai memberi salam, Inaya tolak pintu dapur yang tak tertutup.
"Waalaikumusalam. Dah sampai pun Inaya." Tersenyum Mak Ngah Huda menyapa Inaya.
Inaya menyandar beg sekolahnya di tepi pintu dapur sebelum dia melangkah menghampiri ibu saudaranya.
"Mak ngah dah buat sambal nasi lemak?" Inaya lipat lengan baju sekolahnya kemudian dia capai apron terus dia sangkut pada tengkuknya. Kemudian dia mengikat tali di belakang.
"Belum. Mak ngah baru siap masak nasi."
"Okay, Inaya buat." Tak perlu disuruh, Inaya sudah tahu kerja-kerjanya. Ringan sedikit beban Mak Ngah Huda berkat pertolongan gadis itu.
Selesai menyiapkan makanan pagi, Inaya membantu pula Mak Ngah Huda bawa makanan-makanan itu ke warung di hadapan rumah. Dia bantu Mak Ngah Huda menjual di warung sementara wanita itu pulang ke rumah untuk menyiapkan anak-anaknya untuk ke sekolah pula. Mak Ngah Huda ada dua orang anak lelaki, yang sulung darjah enam, yang bongsu darjah empat.