KERETA peronda polis laju memecut, membelah jalan. Keadaan jalan yang agak lengang memudahkan Afif untuk memandu dengan pantas. Sesekali dia menjeling Seroja di sebelahnya yang sedang mengerang kesakitan.
Tangan kiri naik mengusap kepala isterinya. Menyalurkan sedikit kekuatan. "Isteri Fifi kuat. Tahan sekejap je lagi. Dah nak sampai."
Seroja tidak mengangguk mahupun menggeleng. Mukanya berkerut menahan rasa sakit ini. Ya Allah! Beginikah perasaan ibunya ketika ingin melahirkan dia dan abangnya? Sangat sakit. Tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata.
Tiba sahaja di hadapan hospital, Afif pantas membuka pintu Seroja dan mendukung isterinya ke dalam. Dia menjerit memanggil doktor di ruangan kecemasan itu. Jururawat yang bertugas menolak kerusi roda ke arah mereka. Seroja diletakkan dengan kemas sebelum dibawa pergi ke dewan bersalin. Afif berlari-lari anak mengikut mereka.
Doktor yang mengikuti dari belakang tadi, menyuruh Afif menunggu di luar sementara mereka melakukan pemeriksaan terhadap Seroja.
"Tuan, tolong telefon waris pesakit." Sebaik sahaja doktor wanita itu keluar, Afif didekatinya.
"Saya suami dia," jawab Afif. Berkerut keningnya memandang doktor itu.
"Oh, saya ingatkan tuan bawa banduan tadi."
"Eh, bukan!" Cepat Afif menidakkan.
Doktor yang bernama Asiah itu menunduk memohon maaf. Dia kembali menyambung percakapannya yang terbantut tadi.
"Bukaan serviks isteri tuan dah 10 cm, sudah bersedia untuk melahirkan. Tuan boleh teman isteri dekat dalam, ya."
Doktor Asiah masuk ke dalam bilik, diikuti Afif setelah lengkap menyarung baju scrub di tubuh berserta pelitup muka.
Seroja yang sedang menyeringai kesakitan didekati. Terus dicapai tangan isterinya dan digenggam. "Bunga Fifi kuat. Aku tahu kau boleh buat."
Peluh yang membasahi dahi licin Seroja dikesat dengan tangan kirinya. Tidak henti-henti Afif memberikan sokongan kepada Seroja. Dia sudah tidak kisah dengan rasa sakit tangannya yang digenggam kejap oleh Seroja.
"Kepala baby dah keluar. Teran lagi sekali puan," kata Doktor Asiah.
Afif yang ternampak kepala anaknya sudah berada di hujung itu, tiba-tiba terasa hendak pitam. Kepala digeleng berkali-kali. Tangan kiri dilepaskan seketika daripada menggenggam tangan Seroja.
Peluh yang membanjiri dahinya, dilap kasar. Nafasnya sudah tidak stabil ketika ini, seperti dia pula yang sedang berperang untuk melahirkan.
Setelah beberapa minit meneran, akhirnya bunyi tangisan bayi bergema di dalam bilik itu.
Bibir Seroja yang kering itu, tidak terlupa untuk mengucapkan syukur. "Alhamdulillah."
Namun, belum sempat doktor menyerahkan bayi mereka kepada Afif, suaminya tiba-tiba rebah di atas lantai.
"Fifi!" panggil Seroja dengan nada tertahan. Terkejut memandang suaminya yang sudah pengsan itu. Keadaan bilik menjadi huru-hara.
Werk! Werk!
Suara tangisan Adyan menjadi halwa telinganya, sebelum matanya turut terpejam.
PAK!
Dengan sekali tamparan di pipi, Afif terduduk tegak di atas katil.
Katil?
Afif memandang kiri dan kanannya. Mana Seroja?
"Woi! Kau berangan apa lagi? Bini kau dekat bilik sebelah," tegur Naufal. Dia menepuk dahinya sendiri. Apa bendalah kawan dia ini. Boleh pula pengsan sewaktu isterinya melahirkan.

ANDA SEDANG MEMBACA
SELAGI JASADKU BERNYAWA [COMPLETE]
Action"Nama aku Ahmad Arif, nama kau Seroja kan?" AHMAD ARIF. Baru sahaja kenal beberapa hari, Seroja sudah melakukan kesilapan terhadap rakan sekelasnya itu. Bukan sekali, tapi banyak kali! Namun, Arif tetap maafkan dia. Makin lama dia mengenali lelaki i...