BARANG-BARANG yang dibeli sebentar tadi dimasukkan ke dalam bonet. Hari ini, seharian mereka berada di luar. Pagi-pagi lagi ibu mengandung itu sudah mengajak kakaknya untuk keluar bersiar-siar di taman. Mahu mengambil angin katanya.
Kemudian, mereka menyinggah di Pasar Raya Axon. Seroja mahu mencari baju buat bayinya. Hampir lima jam mereka di situ. Adib seronok tidak terkata kerana mak ngahnya itu membelikan aiskrim dan mainan baharu.
"Terima kasih, mak ngah! Tak sabarnya nak tunjuk dekat ayah balik nanti," kata Adib setelah masuk ke dalam kereta.
"Sama-sama kasih, Adib." Seroja menarik senyuman lebar kepada Adib.
Tiba-tiba, perutnya berasa sakit dan mengeras. Seroja menggenggam stereng dengan erat.
"Seroja... kenapa ni? Nak bersalin dah ke?" soal Afifah di sebelah. Risau pula dia melihat adiknya berkerut seperti itu.
"Bagi kak longlah pandu. Seroja rehat." Sambung Afifah lagi. Dari awal lagi dia sudah menawarkan diri untuk memandu, tetapi adiknya itu degil.
Tidak mahu bercakap banyak, Afifah keluar dan membuka pintu bahagian pemandu. Seroja dipapahnya dengan berhati-hati.
"Seroja bagitahu Afif tak lagi yang kita keluar ni?" tanya Afifah. Tangannya cekap memulas stereng ke kanan.
Seroja terdiam. Dia memandang Afifah dengan lama. Kepala digeleng perlahan.
"Seroja lupalah, kak long. Tapi... tadi kak long dah bagitahu abang kan yang kita keluar?"
Afifah mengangguk.
"Memanglah kak long dah telefon abang Seroja, tapi Afif tak ada dekat balai tadi. Dia dekat luar."
Alamak.
"Macam mana ni, kak long? Habislah Seroja kena marah nanti." Cepat-cepat dia mencapai telefon bimbit di dalam beg tangan.
10 missed calls. 4 new messages.
Mesej daripada Afif itu dibaca dengan rasa gerun. Mereka sudah tiba di hadapan pagar rumah. Dapat Seroja lihat Afif sedang berdiri sambil menyilangkan tangan pada tubuh di sisi pintu.
Seroja cuba untuk beriak biasa. Dia tersengih memandang suaminya yang sudah merenungnya tajam.
"Seroja pergilah tenangkan adik kak long tu dulu. Kak long nak angkat barang. Adib, jangan lupa bawa keluar cawan aiskrim tadi. Naik atas terus mandi," pesan Afifah.
Seroja mengendahkan arahan Afifah. Dia mengekori Afifah sehingga ke bonet.
"Meh Seroja tolong angkat juga. Kesian kak long," kata Seroja.
Afifah menyepetkan matanya. Tahu sangat bahawa mak buyung ini takut mahu berhadapan dengan suaminya sendiri.
"Tak payah, biar aku yang tolong. Kau pergi naik atas, bersihkan diri." Afif mencelah perbualan mereka. Dia langsung tidak memandang Seroja. Dibiarkan sahaja wanita itu berdiri kaku di sebelah kereta.
"Seroja... pergi masuk dulu. Nanti Afif tenanglah tu," pujuk Afifah.
Seroja mengeluh perlahan.
Selesai membersihkan diri, Seroja bersandar di kepala katil dengan selesa. Perutnya yang mengeras untuk kesekian kalinya, diusap lembut. Afif masih belum masuk ke bilik. Pening kepalanya memikirkan cara untuk menyejukkan hati suaminya itu.
Kakinya turut terasa kebas. Terlalu lama dia berjalan hari ini. Inilah nasibnya. Lain kali, sepuluh kali ukur, sekali kerat Seroja Nirmala. Fikir masak-masak dahulu sebelum bertindak supaya tidak menyesal.
Berseronok sehingga tidak ingat bahawa dia sedang membawa nyawa lain. Akhirnya, dia juga yang merana sakit kaki.
Paha diurut dengan kuat. Bengkak sudah kakinya. Minyak panas di atas meja lampu ingin dicapainya, tetapi tangan Afif lagi laju mengambil botol itu.
Entah bila suaminya masuk ke sini. Seroja tidak sedar. Alih-alih, Afif sudah membuka botol itu dan melumurkan minyak ke kakinya.
Afif memijat kaki Seroja sehingga isterinya berasa lega. Dia tidak memarahi wanita itu. Cuma, geram! Tidak memberitahu dan menjawab panggilannya tadi. Tidak tenang dia mahu membuat kerja. Sudahlah hanya kurang seminggu sahaja lagi isterinya akan bersalin.
"Terima kasih, Fifi. Bunga sayang Fifi banyak-banyak!" kata Seroja. Dia memeluk Afif dari tepi.
"Ya ke sayang aku? Aku telefon tadi tak angkat, mesej aku pun tak terjawab. Keluar rumah tak bagitahu aku. Betul ke sayang aku kalau macam tu?" soal Afif. Sengaja dia menyoal sedemikian. Afif tidak mahu isterinya itu terbiasa bertingkah seperti itu di kemudian hari. Kalau jadi apa-apa, tak ke haru.
Tangan Afif dikucup Seroja. "Maaf, Fifi. Saya, Seroja Nirmala berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tadi. Saya terlupa nak check telefon tadi. Fifi maafkan saya tak?"
Afif diam. Bergerak tidak, bercakap pun tidak.
Tangannya yang menggenggam tangan Afif dileraikan. Dia bergerak menjauhi Afif.
"Adyan... babah marah sayanglah. Babah dah tak sayang kita." Air mata mula bertakung di tubir matanya. Terkebil-kebil dia memandang Afif dengan pandangan yang mulai kabur. Sedikit masa lagi, banjirlah dia di hadapan lelaki itu.
Seroja terdengar Afif menarik nafas perlahan.
Lelaki itu mendekatinya kembali. Afif membelai perutnya sambil berkata, "Mana ada babah marah. Babah penyabarlah. Babah geram je dengan sayang Adyan ni. Degil!"
Dia mencium perut Seroja sebelum menarik wanita itu masuk ke dalam dakapannya. Rambut basah Seroja turut dibelainya.
"Dah, jangan nangis. Nanti Adyan terikut-ikut perangai cengeng sayang dia ni. Tak macho anak teruna kita nanti," ujar Afif, memujuk Seroja untuk berhenti menangis.
Seroja ketawa kecil. Ada saja idea Afif untuk membuatnya terhibur.
"Solat maghrib tak lagi ni?"
"Dah. Saya tunggu Fifi. Tapi, Fifi lambat sangat naik bilik tadi. Sebab tu saya solat dulu."
Bantal disusun dengan tinggi untuk memudahkan Seroja bersandar. "Bagus isteri solehah Afif ni."
"Maaflah aku naik lambat. Aku tengah berbual dengan Naufal tadi." Sambung Afif lagi.
"Naufal datang buat apa?" tanya Seroja lagi. Mesti mereka ada kes baharu yang perlu diselesaikan. Kalau tak, Naufal tak akan berada di rumahnya sesuka hati.
"Malam ni aku kena ke balai semula. Ada kes baharu. Aku nak bonceng motor dia sebab malas nak menunggang motor sendiri malam ni," jawab Afif.
Seroja membundarkan mulut, membentuk huruf 'o'. Lalu, dia bersandar dengan selesa sambil memerhati Afif menunaikan solat maghrib.
Jangan lupa vote!

ANDA SEDANG MEMBACA
SELAGI JASADKU BERNYAWA [COMPLETE]
Action"Nama aku Ahmad Arif, nama kau Seroja kan?" AHMAD ARIF. Baru sahaja kenal beberapa hari, Seroja sudah melakukan kesilapan terhadap rakan sekelasnya itu. Bukan sekali, tapi banyak kali! Namun, Arif tetap maafkan dia. Makin lama dia mengenali lelaki i...