HIDNI masam mencuka ketika mereka dalam perjalanan. Dia tidak tahu ke mana mereka akan pergi sebenarnya. Mungkin ke rumah tadi. Setelah doktor lelaki muda yang merawatnya di rumah mengatakan dia tidak cedera di mana-mana lagi, dia dibenarkan pulang.
Kenapalah tidak ada yang retak atau patah?
Hidni lebih rela sakit dan tidak berdekatan dengan Aydeen.
Kenapa Aydeen yang Nafis ceritakan tidak sama dengan yang ditemuinya ini? Tegas semacam.
Kalau mengikut cerita Nafis, Aydeen si mekanik itu tidak berduit dan takutkan polis. Sekarang, Aydeen yang dia lihat tak takutkan sesiapa pun.
Kereta Proton Wira buruk tadi pun sudah tiada. Sekarang, mereka sedang menaiki kereta lain.
Aydeen memberi signal ke kiri. Dari depan, dia nampak Isya sedang berdiri di pintu keretanya.
Hidni mengeluh lega apabila ternampak Isya. Tak sempat dia mahu membuka pintu, Isya sudah berdiri di tepinya.
"Kau ni buat kerja gilalah, Nini..." Isya bersuara sambil melihat kepala Hidni yang berbalut.
"Syukurlah tak ada yang teruk berlaku pada kau..." Isya menambah.
Dia memegang kepala Hidni. Melihat-lihat balutan tersebut.
"Aku nak balik. Aku tak nak ikut dia." Hidni memegang tangan Isya.
"Kau ni, dia kan dah jadi suami kau. Kau nak lari daripada dia kenapa?" tanya Isya, bagaikan tidak kasihankan Hidni.
"Dia tu cuma cina buta..." Hidni mengetap giginya.
"Memanglah cina buta, tapi aku suami kau..." Aydeen menyampuk.
Dia sudah duduk di tempat pemandu setelah memasukkan pakaian Hidni ke dalam boot kereta.
"Aku dah bawa semua baju kau macam yang Aydeen suruh aku buat." Isya memberitahu Hidni.
"Baju aku?" Hidni terjegil memandang Isya.
Baju? Kenapa dengan baju dia?
"Yalah, baju kau. Takkanlah tak sempat apa-apa lagi kau dah tak berbaju di depan laki kau..." Isya melawak. Dia ketawa kecil.
"Isya!" Hidni menjerkah Isya yang ketawa terkekek-kekek.
Aydeen sembunyi senyuman. Boleh tahan lawak juga kawan Hidni ni.
"Macam mana dia dapat nombor telefon kau?" tanya Hidni perlahan. Dia memegang tangan Isya.
Hairan betul macam mana Aydeen boleh hubungi Isya. Padahal dia tidak pernah pun memberikan nombor telefon Isya.
Isya menjongketkan bahunya. Dia terkejut ketika mendapat panggilan telefon daripada Aydeen. Meminta dia mengemaskan baju Hidni.
Terkejut pun, Isya buat juga apa yang disuruh Aydeen. Aydeen bukannya orang asing lagi dengan Hidni. Dia suami Hidni. Sebab itulah Isya lebih percayakan Aydeen.
"Terima kasih, Isya. Buat masa sekarang, kau tak boleh datang ke tempat aku lagi. Nanti bila dia dah bertenang dan berfikir, baru kau boleh datang." Aydeen jongketkan keningnya kepada Isya.
"Tapi, kenapa?" tanya Isya.
Pelik jugalah kerana tidak dibenarkan datang melawat Hidni. Risau kalau berlaku apa-apa kepada Hidni.
Aydeen hanya kenyit mata kepada Isya sambil mengukir senyuman. Hidni dan Isya agak terkejut dengan kenyitan tersebut.
Isya menutup pintu kereta dan Aydeen memandu pergi.
YOU ARE READING
LELAKI YANG KAU PILIH
RomanceTajuk: LELAKI YANG KAU PILIH Penulis: ZAZA QRY Harga: RM31 / RM34 ISBN: 978-967-2902-73-7 Perkahwinan dengan rasa cinta itu tiba-tiba putus di tengah jalan. Kalau meraung pun sudah tidak berguna kerana si suami sudah melafazkan talak. Bukan satu, t...