BAB 7

15 1 0
                                    

MEREKA semua masuk ke dalam bilik yang menjadi tempat untuk melangsungkan akad nikah. Tuan kadi sudah duduk di kerusi itu.

Pengantin lelaki juga sudah duduk di depan tuan kadi.

Hidni duduk di kerusi sebelah kanan pengantin lelaki. Tangannya sejuk tiba-tiba. Rasa gementar itu lebih daripada ketika dia berkahwin dengan Nafis. Semasa berkahwin dengan Nafis, tak adalah gementar sebegini rupa.

Bau haruman daripada tubuh lelaki di sebelah kanannya ini membuatkan dia tidak senang duduk. Wangian mahal pastinya. Dia tidak pernah bau lagi minyak wangi sebegini rupa.

Hidni melihat dengan ekor matanya. Dari sisi pun sudah nampak segak. Hidung mancung terletak elok.

Hidni menghulurkan tangan kepada Isya. Dia mahu Isya memberi semangat kepadanya.

Isya terus genggam jemari Hidni.

"Kau takut ke?" Isya berbisik.

Hidni mengangguk. Lagi kuat genggaman Isya.

"Aku terima nikahnya Hidni binti Halim dengan mas kahwinnya RM8484 tunai!"

"Mas kahwin kau nombornya pun cantik. Memang pandai kau pilih." Isya berbisik lagi.

Janda pun mas kahwin mahal. Beruntung betul jadi janda macam Hidni.

"Aku tak pilihlah. Semuanya Nafis yang uruskan dengan dia."

Hidni mengetap gigi. Tak terfikir langsung nak letak mahar yang mahal. Dia bukannya nak jual diri. Tambahan, dia adalah janda.

Apabila suara sah kedengaran daripada saksi, Nafis menyebut alhamdulillah dengan kuat sekali. Semua mata memandang Nafis. Nafis tersipu-sipu kerana terlebih gembira.

Ketika tuan kadi menyuruh Aydeen membatalkan air sembahyang, Hidni tengadah. Tersedar dia sudah menjadi isteri buat kali kedua kepada seorang lelaki.

Lelaki yang tidak pernah dikenali dan hanya bekas suaminya saja yang kenal. Nak pandang lelaki ini pun dia rasa takut.

"Kau ingat sikit ya, jangan nak tak nak hulurkan jari pula. Kau tu dah jadi isteri orang." Isya berbisik.

Hidni tersentak kerana dia masih dalam lamunan.

"Nak batal dengan apa?" tanya Hidni, berbisik ke telinga Isya.

"Cium tangan, cium dahi dan sarung cincin. Aku nak ambil gambar banyak-banyak nak simpan buat kenangan. Kau kan tak lama dengan suami ni." Isya memerli Hidni.

Lelaki yang datang dengan Aydeen menghulurkan bekas baldu berwarna biru laut apabila Aydeen hulur tangan kepadanya. Kotak baldu biru laut itu mendedahkan dua bentuk cincin. Satu cincin berbatu biru dan satu lagi hanya kosong tanpa ukiran.

Terkebil-kebil mata Hidni memandang cincin berbatu biru cair itu. Batu cincin itu besar dan cantik. Bersinar-sinar apabila terkena cahaya.

Aydeen menghulurkan tangannya.

Hidni terkebil-kebil memandang Aydeen. Kepalanya rasa kosong selepas melihat cincin berbatu itu yang dirasakan mesti mahal. Dia tidak pernah jumpa cincin berbatu biru cerah begini.

Kali pertama jemarinya disentuh lelaki lain selain Nafis. Bagaikan terkena renjatan elektrik saat jemarinya saat dipegang dan disarung cincin oleh Aydeen. Dia juga menyarungkan cincin ke jari manis Aydeen.

Hidni tak sempat melarikan tangannya apabila Aydeen menangkapnya. Genggamannya kemas.

"Lepas sarung cincin, kena cium tangan, kan?"

Suara manly itu menusuk tajam ke gegendang telinga Hidni. Jantungnya berdebar hebat.

"Betullah tu, Nini. Cepatlah cium, aku nak ambil gambar ni." Isya menyokong Aydeen.

Hidni menjeling Isya. Isya hanya sengih dan sudah bersedia dengan telefonnya.

Kalau tak buat, orang di dalam dewan ini akan hairan. Akhirnya, Hidni tunduk dan mencium tangan Aydeen.

Baru mendongak daripada mencium tangan Aydeen, Aydeen pegang dagunya pula. Terhenti mengejut Hidni. Terkejut punya pasal. Dahinya tiba-tiba rasa panas dengan kucupan.

Hidni yakin peluh sudah merenik di dahinya. Kerana peluh sudah meleleh dari dalam bajunya. Rasa macam nak pengsan.

"Nini, kau jangan pengsan kat sini pula." Isya meletakkan tangan di atas bahu Hidni.

Dia perasan Hidni gementar.

Hidni menjeling Isya.

Aydeen bersalaman dengan tuan kadi dan semua yang berada di dalam dewan kecil tersebut. Mengucapkan terima kasih sebelum berlalu.

Apabila tiba di luar lobi, Isya galak mengetip gambar Hidni dan Aydeen. Naik rimas pula Hidni dengan sikap Isya yang terlebih gula ini. Hyper semacam. Macam-macam gaya yang dia suruh Hidni dan Aydeen gayakan.

Aydeen hanya mengikut saja. Hidni saja yang naik angin dengan Isya, walaupun tidak membantah.

"Kau ni, Isya, kenapa suka sangat ambil gambar?" Nafis naik geram dengan Isya yang menyuruh Hidni dan Aydeen bergambar.

"Biarlah, nak buat kenangan." Isya menjuih.

"Awak, cepatlah. Saya hantar awak balik..." Nafis berkata kepada Hidni.

Hidni tengadah. Barulah dia sedar, dia dan Nafis sudah benar-benar menjadi orang asing. Dia sudah bergelar isteri kepada orang lain. Dia dan Nafis tidak boleh keluar sesuka hati lagi.

"Kau ni, Nafis, peliklah. Nini dah kahwinlah. Kau tu siapa?" tanya Isya, menjegil Nafis.

Biar Nafis sedar diri sedikit. Walaupun hanya atas tiket cina buta, tapi kahwin tetap kahwin. Tidak menghalalkan perancangannya.

Nafis turut menjegil Isya. Mulut Isya celopar sungguh.

"Kau jangan masuk campur, Isya. Ni hal kami. Kami dah janji," kata Nafis.

"Betul apa yang dia cakapkan. Kami akan ke rumah aku." Tiba-tiba Aydeen bersuara tegas.

Dia memandang Nafis seketika sebelum beralih kepada Hidni yang sudah menjadi isterinya.

"Eh, tu bukan dalam perjanjian kita." Nafis berkata.

"Memang betul, sebab tak ada hitam putih pun. Memandangkan dia dah jadi isteri aku, dia kena ikut akulah." Aydeen menyambung lagi.

Dia memandang Nafis tajam.

"Kau hanya cina buta saja. Aku yang minta kau jadi cina buta!" Nafis naik angin. Dia menudingkan jarinya kepada Aydeen.

"Kau tak tahu hukum syarak ke? Kalau nak bercerai, wajib aku dan dia bersama dulu. Kalau tak, tak boleh bercerai," kata Aydeen dengan serius.

Hidni rasa macam nak pengsan mendengar kata-kata Aydeen. Dia tidak menyangka sama sekali Aydeen begitu tegas dengan kata-katanya. Argh! Memang dia boleh pengsan sekarang.

"Jadi, dia akan ikut aku."

Betapa tegasnya apa yang keluar dari mulut Aydeen.

Selesai berkata-kata, Aydeen terus menggenggam jemari Hidni dan membawa Hidni ke kereta Proton Wira tadi.

"Nini!" panggil Nafis.

Hidni hanya mampu memandang muka Nafis yang tidak keruan. Isya pun sama, terkejut dengan drama itu.

Kereta Proton Wira itu memecut keluar dari pekarangan pejabat agama.

Hidni hanya mampumemandang dari belakang, ke arah Nafis yang memanggil namanya.

LELAKI YANG KAU PILIHWhere stories live. Discover now