BAB 5

21 0 0
                                    

"SEMUANYA dah selesai." Nafis memberitahu Hidni ketika menelefonnya.

"Awak ni betul ke budak tu boleh dipercayai?" tanya Hidni.

"Alah, budak mekanik yang tak berduit tu mesti tak ada masalahlah. Lagipun dia yang langgar kereta saya. Jadi, dia yang salah," balas Nafis selamba, bagaikan semua itu tidak menjadi masalah kepadanya.

"Habis tu, bila nak dilangsungkan?" tanya Hidni.

Dia pun tak sabar untuk kembali kepada Nafis. Kalau mereka berkahwin semula, mamanya tidak dapat buat apa-apa lagi.

"Hah! Kamu bercakap dengan siapa, Nini? Macam penyamun saja. Kamu bercakap dengan bekas laki kamu ke?"

Sergahan dari belakang Hidni membuatkan dia terkejut. Terus saja panggilan dimatikan.

"Mama nak tengok ke nombor siapa?" tanya Hidni berani.

"Tak payahlah. Kalau kamu tipu mama pun, Allah tahu. Sudah-sudahlah fikir nak berbaik semula dengan Nafis tu. Ringan mulut sangat kata keturunan kita ni lambat nak dapat anak. Asalkan lambat nak dapat anak, orang perempuan yang disalahkan. Mak dia pun sama saja." Puan Aisah mencebik.

Menyampah dengan bekas besan begitu. Macamlah nak mengandung dan melahirkan itu kerja manusia. Manusia apakah itu?

"Dah lepas, mama..." Hidni menenangkan Puan Aisah walaupun dalam hatinya ada rasa gerun.

Mamanya itu sudah berpatah arang, berkerat rotan tak mahu bermenantukan Nafis lagi. Sebab itulah Hidni diamkan saja hal cina buta itu. Nanti kalau mereka sudah selesai berkahwin, barulah mereka beritahu mama.

"Lepas tak lepas, hati mama masih sakit tau. Mak dia tu, tak sangka betul berbisa mulut dia. Hmm, jangan bagi mama nampak dia orang. Yang kamu tu, cubalah pandang lelaki lain. Ni tak, pandang Nafis saja dari mula belajar sampai dah berpisah macam ni. Ramai lagi lelaki yang lebih baik daripada Nafis tu." Puan Aisah membebel lagi.

Hidni hanya diam saja mendengar bebelan mamanya.

"Kamu dengar tak apa yang mama cakap ni, Nini?" tanya Puan Aisah apabila Hidni tidak membalas.

"Dengar, mama..." Hidni menjawab perlahan.

Masalahnya, dia tak nampak lelaki yang istimewa selain Nafis. Kalaupun dia nampak lelaki kacak, dibandingkan juga dengan Nafis. Nafis yang melebihi segala-galanya.

"Baguslah kalau dengar." Puan Aisah menonong masuk ke dalam rumah.

Dia terpaksa mengawal Hidni selepas Hidni bercerai dengan Nafis. Memanglah mereka tidak dapat bersama semula kerana Nafis jatuhkan talak tiga terus. Tapi, dia tetap risau.

Hidni sedang berfikir. Betul ke apa yang mereka lakukan ini? Bagaimana budak mekanik yang diceritakan Nafis boleh bersetuju? Tak sempat nak bercakap lebih mendalam, dia terpaksa mematikan talian kerana mamanya datang.

Hon kereta yang berbunyi mengejutkan Hidni. Dia memandang ke luar pagar. Hidni terus berjalan menghampiri kereta.

"Kau dah tunggu lama ke?" tanya Isya ketika Hidni melabuhkan duduk di sisinya.

"Tak lama pun." Isya terus memandu kereta.

"Isya, aku nak rujuk dengan Nafis nanti." Hidni memberitahu satu-satu sahabat baiknya.

"Kau buat kerja gila ke, Nini?" Isya menjerit.

"Taklah." Hidni menjongketkan bahunya.

Hampir saja rahang Isya jatuh ke bawah dengan jawapan bersahaja Hidni.

"Setahu aku, kau orang bercerai talak tiga. Tak ada peluang untuk rujuk semula." Isya mencebik.

Menyampah apabila Hidni menyebut nama Nafis.

LELAKI YANG KAU PILIHWhere stories live. Discover now